Popular Posts

Thursday, April 30, 2009

Selamat Datang Aqilah Bani Hashim Sayyidah Zainab al Kubra Alaihassalam

Allahumma Solli 'Ala Muhammad Waali Muhammad

Di Masjid Nabi terdapat sebuah masjid, dan dua buah rumah. Satu adalah pancaran cahaya matahari risalah dan yang seterusnya cahaya rembulan wilayah.Pada tanggal 5 Jamadil Awal tahun 5 atau 6 Hijrah, iaitu dua atau tiga tahun selepas wiladah Imam Hussein as. Zainab al-Kubra as. seorang puteri suci yang keindahannya menerangi mata penghuni Madinah lahir ke dunia, lahir di dalam dua buah rumah yang menjadi singgahan Malaikat dan keberkatan. Beliau as. merupakan permata ketiga Ali as. dan Fatimah as. Di dalam rumah itulah, yang Allah SWT sentiasa hadir bersama tetamunya, dan Rasulullah saww pada setiap pagi, akan memulakan harinya dengan menuju ke jendela rumah anakandanya seraya memberikan salam syurga. Di dalam rumah wahyu dan singgahan Jibrail inilah Zainab as. juga akan bersinar indah. Ketika kelahiran beliau as., Rasulullah saww sedang bermusafir. Fatimah Zahra as berkata kepada Amirul Mukminin Ali as: Oleh kerana Ayahku masih di dalam safar, maka berikanlah nama bagi puteri ini. Ali as berkata : Aku tidak akan mendahului ayahmu, kita akan bersabar sehingga Rasulullah saww pulang dari safar (perjalanan). Selepas kepulangan baginda saww, mereka meminta baginda memilih satu nama bagi bayi suci ini. Nabi saww bersabda: Walaupun anak-anak Fatimah merupakan anak-anakku, tetapi urusan mereka adalah dengan Allah dan aku akan menunggu perintah Ilahi. Jibrail pun turun membawa wahyu dan berkata bahawa Allah swt. berfirman: ’Letakkan nama puteri ini Zainab, kerana nama ini telah kami tulis di Luh Mahfuz.’

Gelaran dan Nama Panggilan Sayyidah Zainab as.

Sayyidah Zainab as dikenali dengan Aqilah Bani Hashim. Aqilah adalah gelaran keluarga bagi seorang wanita yang hebat, dikasihi dan dihormati. Gelaran Beliau as yang lain adalah Siddiqah Sughra. Siddiqah adalah gelaran bagi wanita yang sangat jujur. Bondanya, Fatimah Zahra as merupakan Siddiqah Kubra sedang Ali as merupakan pula Siddiq Akbar, maka untuk itu Zainab digelar Siddiqah Sughra. Selain itu, gelaran lain Sayyidah Zainab as adalah Ishmat Sughra, kerana Allah SWT telah menganugerahkan kepadanya keperibadian suci dan jauh daripada dosa. Wanita jujur dan hebat ini mempunyai gelaran lain, iaitu terdiri daripada: Waliyatullah, Aminatullah, ‘Arifah, ’Syarikatul Husain, Mahbubah Musthafa, Zahidah, dan Bakiyah.Selain itu nama panggilan beliau as juga adalah Ummu Kalthum dan Ummul Hasan. Pada tahun 17 Hijrah Zainab Kubra as telah berkahwin dengan sepupunya, Abdullah Bin Jaafar Bin Abi Thalib dan perkahwinan ini berdasarkan petunjuk daripada Rasulullah saw. Ini kerana baginda saww telah bersabda bahawa: “Banatuna libanina wa banuna libanatina” yakni puteri-puteri kami untuk putera-putera kami dan putera-putera kami bagi puteri-puteri kami. (Man La Yahdhurul Faqih, j3, m/s293).Hasil dari perkahwinan ini, beliau as telah dikurniakan empat atau lima cahaya mata yang terdiri daripada Muhammad, Jaafar, Aun, Ali dan Ummu Kalthum. Di mana dua daripada mereka iaitu Aun dan Muhammad telah syahid bersama pakcik mereka Imam Hussein as di Karbala. Sayyidah Zainab as selama bertahun-bertahun hidupnya telah dipenuhi peristiwa dan musibah yang terlalu perit dan pahit sehingga beliau as digelar dengan nama Ummu Mashaib.

Sebahagian daripada peristiwa-peristiwa tersebut ialah:
1- Wafat datuknya, Rasulullah saww pada tahun 11 Hijrah, ketika itu
beliau as baru berumur 5 tahun.

2- Timbulnya perselisihan berkenaan pengganti Rasulullah saww pada tahun 11 Hijrah, di mana ia merupakan musibah terbesar dunia Islam.

3- Syahidnya Ibunda tercinta, Fatimah Zahra as pada tahun yang sama.

4-Masalah dan musibah sepanjang pemerintahan ayahandanya Ali as iaitu antara lain perang Jamal, Siffin dan Nahrawan antara tahun 35 sehingga 40 Hijrah.

5- Syahadah ayahanda tercinta, Amirul Mukminin Ali as pada tahun 40 Hijrah.

6- Syahadah abang tercinta Imam Hasan as dan peristiwa pengebumian beliau as di Baqi’ pada tahun 50 Hijrah.

7- Peristiwa Asyura pada tahun 61 Hijrah iaitu hijrah dan syahadahnya Imam Hussein as bersama pembantu serta anak-anaknya di Karbala.

8- Penawanan seisi keluaga Imam Hussein as. termasuk Imam Ali Zain Al-Abidin as. Zainab Kubra as melihat kanak-kanak dan wanita di Karbala digiring ke Kufah, dan dicekal terus ke Istana Yazid di Syam sambil diarak oleh tenteranya laknatullah.

Kesempurnaan Sayyidah Zainab as.

Zainab Kubra sa mempunyai kesempurnaan yang tidak dapat dibanding dari segi kecantikan, ketenangan dan kehebatan seumpama nendanya, Khadijah Kubra. Seumpama bondanya Fatimah Zahra as dalam kesucian. Seumpama ayahanda Imam Ali Murtadha as dari segi kefasihan dan kepetahan. Seumpama Imam Mujtaba as dari segi keberanian serta keutuhan hati. Dan seumpama Sayyidus Syuhada, Imam Hussein as.

Tarbiyah Sayyidah Zainab as.

Zainab Kubra as. dididik dan dibesarkan dalam lingkungan nubuwwah dan keluarga mulia dengan limpahan wilayah dan Imamah. Beliau as dididik oleh lidah didikan wahyu dan dibesarkan dibawah karamah. Beliau juga mempelajari adab dan akhlak daripada tarbiyah lima manusia suci. Sebahagian mempercayai bahawa Zainab merupakan nama sebuah pokok yang indah dan harum, dan sebahagian lain mengatakan bahawa Zainab pada asalnya, cantuman daripada dua kalimah “Zain” dan “Ab” yang bermaksud hiasan dan kebanggaan ayah. Oleh kerana ini juga, Beliau as juga dinamakan “Zain Abiha” hiasan dan kebanggaan ayahnya; yakni umpama bondanya “Ummu Abiha”. Sebahagian riwayat menambah bahawa huruf ز " pada Zainab diambil dari nama Bondanya Az-Zahra,kerana beliau mewarisi sifat mulia bondanya. Kalimah ي diambil dari nama Ayahnya Ali,kerana beliau mewarisi keberanian ayahnya. Kalimah " ن " di ambil dari dua nama saudaranya iaitu Hassan dan hussein dan kalimah“ " ب " iambil dari nama Nabi saww iaitu Annabi yul ummi al arabi. Maka itu sifat ashabul kisa’ bersatu pada dirinya,dengan itu beliau di namakan Zainab as.

Keakraban Sayyidah Zainab sa dan Imam Hussein as.

Kecintaan dan kasih-sayang Imam Hussein as dan Zainab as antara satu sama lain dapat dilihat melalui seluruh perjalanan hidup mereka. Ketika zaman kanak-kanak, Zainab as hanya akan tenang dalam pelukan Hussein as dan memandang serta mengikuti setiap yang dilakukan oleh beliau as. Adalah dikatakan ketika hendak melangsungkan perkahwinan, Zainab as telah meletakkan syarat pada bakal suaminya, Abdullah supaya memberikan keizinan kepadanya untuk menziarahi Imam Hussein as pada bila-bila masa dan sangat sedikit bilangan hari Zainab as tidak melihat Husseinnya. Sebahagian dari ahli sejarah mengatakan bahawa Imam Ali as telah meletakkan syarat kepada Abdullah ketika perkahwinan Zainab as, iaitu setiap kali Hussein as bermusafir, maka Zainab as juga mempunyai izin untuk mengikutnya bermusafir. Abdullah telah menerima syarat tersebut dan menunaikan janjinya.

Ilmu dan Ibadah Sayyidah Zainab as.

Zainab Kubra as dari segi ilmu mencapai tahap yang mana wanita di Madinah sentiasa hadir disisinya untuk mendalami ilmu tafsir. Hakikatnya ilmu beliau as bukanlah dipelajari dari sekolah, bahkan seperti yang dikatakan oleh Imam Ali Bin Hussein As-Sajjad as di dalam Masjid Kufah selepas membicarakan tentang khutbah Sayyidah Zainab as, bahawa beliau as memiliki kebijaksanaan Ilahi. Allah SWT telah mengalirkan ke dalam dadanya mata air suci dan ketinggian makrifat. Zainab as juga terbilang dalam kekhusyukan, tawadhuk, ibadah dan kehambaan seperti juga ayahanda dan bondanya. Malamnya dihidupkan dengan tahajjud, dan sentiasa membaca Al-Quran. Wanita hebat ini juga, ketika berada di medan getir Karbala, iaitu dari Karbala ke Syam, masih dalam keadaan yang tidak pernah meninggalkan solat malam dan berIbadah kepada Tuhan. Kekal beliau as mengharap redha-Nya meski dalam perit dan bersusah jerih.

Kefasihan dan kepetahan serta kesabaran Zainab as.

Menurut Ibnu Abbas (putera bapa saudara Rasulullah saw), berkenaan Zainab Kubra as: Aqilah kami, Zainab, puteri Ali as, dalam kefasihan, kepetahan dan keberanian berkata-berkata, tidak ada tandingannya. Ketika beliau as mengucapkan sesuatu, kamu akan memikirkan bahawa Ali as yang sedang berucap. Salah satu contohnya adalah ketika beliau as berucap di dalam Majlis Yazid.

Al marhum Sepehr, ahli sejarah yang terkenal berkata: ‘Terdapat banyak kelebihan yang dimiliki Zainab as dan yang paling masyhur dan terkenal adalah kefasihan dan kepetahannya; setiap kali bibirnya mengucapkan kata-kata, umpama Ali Bin Abi Thalib as yang sedang berucap. Ketinggian,kesucian dan ilmu wanita hebat ini tidak tertulis oleh mata pena. Kesabarannya mengagumkan semua. Bukit-bukau, langit dan bumi juga tidak mampu menanggung walau sedikit dari beratnya musibah yang ditanggung beliau as. Duhai, Cinta, sebanyak mana pun kita menulisnya, ia adalah sedikit. Lautan, sebanyak mana pun kita minum, tidak lebih dari setitis airnya. Begitulah Zainab; dari pandangan sabar kerana berapa banyak pun kita meriwayatkannya, hadis yang tiada penghujungnya tak kan dapat mengungkapkan Zainab. Dia datang sebagai penerus Zahra as dan Ali as, hadirnya bagi meneruskan perjuangan abang-abangnya bagi mengingatkan sabar penyayang Hasan as,dalam pangkuan penuh kasihnya, juga mengembalikan ingatan terhadap perlakuan zalim manusia yang berhati buta dalam peristiwa berdarah Karbala yang tercoret dalam sejarah.Salam ke atas dia yang namanya adalah permulaan hakikat Ahlul Bait as dan pelukan sucinya mengikuti pelukan syafaat’nya Zahra as!

Dunia, berhutang denganmu Zainab;

Banu! Dunia, berhutang nafas suaramu;

Dunia, berhutang kalimah khutbah hebatmu, berhutang
laungan-teriak lantangmu;

Dunia, berhutang seluruh kedukaan-keharuan nan tiada penghujung yang engkau tanggungi dan engkau pikul penuh kesabaran;

Dunia, berhutang berbukit-bukit kesabaran yang tiada syarat dan tidak ada tandingan;

Dunia, berhutang risalahmu, wanita hebat dan berani, Zainab!

Salam atasmu, Aqilah Bani Hashim!

Engkau puteri syurga dan tanda kesetiaan
sebahagian wujudnya Zahra Puteri Raja dua Alam
Engkau Ammah Para Imam, dengan pandangan Murtadha kecintaan
Tahniah atas Mahdi Shohib Zaman atas kelahiran Zainab Alaihassalam
Wahai Engkau yang mengajar erti sabar dan ihsan
wahai yang kalamnya penuh dengan irfan
mazhar iman dan surahnya Quran
malam kelahiran saudaranya Hasanain tahniah kami sembahkan


Khidmat Imam Zaman..Ya Aba Soleh Eltimasi Doa..

Email: abalfazl@arridha.com

http://www.arridha.com