Popular Posts
-
Kami ucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia buat semua. Hari ini adalah hari yang penuh bahagia dan keberkatan,hari yang mengilhamkan nilai-ni...
Friday, March 13, 2009
Maulid Rasulullah(saww) dan Imam Jaafar Sadiq(as)
Allah swt. telah mengkhabarkan semua ciri-ciri serta sifat-sifat Rasul Terakhir kepada para Rasulnya; tempat lahir Baginda, tempat tinggal Baginda, tanda-tanda zaman pengutusan (bi’thah) dan hijrah, tanda-tanda yang ada di tubuh Baginda, ciri-ciri perhambaannya kepada Tuhannya, kelebihan-kelebihan yang dimilki syariatnya dan sebagainya. Allah swt. juga telah memerintahkan kepada para Rasul dan Nabinya supaya menyebarkan kepada ummat-ummat mereka dan mengambil perjanjian bahawa apabila telah diutuskan seorang Rasul dengan semua sifat ini, maka mereka akan beriman dengannya.
Perkara ini terdapat didalam kitab-kitab langit yang belum asli tanpa tahrif dan perubahan dan berada di tangan ulama-ulama Yahudi dan Nasrani.(Hatta hari ini,perkara penting ini masih terdapat didalam sebahagian kitab-kitab agama).
Oleh itu, Ulama Yahudi telah menyebarkan perkara ini di Madinah dimana Rasul saww. akan berhijrah ke kota ini. Dengan sebab ini, Ahli Madinah ketika bertemu dengan Rasulullah saww. di Makkah, mereka mengenal dan mengetahui bahawa Rasul inilah yang dikhabarkan Yahudi dan mereka pun beriman kepada Baginda saww.
Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wa aalihi wasallam) telah dilahirkan di kota Makkah, yang terletak di kawasan Hijaz, dalam lingkungan Jazirah Arab.Zaman kelahiran Rasul suci ini adalah pada zaman Jahiliyah.
Zaman Jahiliyah
Lebih-kurang 200 tahun sebelum pengutusan Baginda sehingga zaman pengutusan Rasulullah (saww) dikenali dengan zaman Jahiliyah; dan maksud jahiliyah disini adalah mengamalkan setiap perkara dan amalan yang bertentangan dan salah diatas kejahilan (bukan dengan sengaja dan ilmu). Arab yang tinggal di padang pasir ketika itu tidak memiliki agama yang khusus dan hanya melihat perkara zahir dan keduniaan.Arab yang tinggal di kota dan bandar juga kebanyakannya adalah penyembah berhala, mereka menyembah berhala-berhala atau patung-patung yang dibuat daripada batu, kayu dan kurma, dimana ada ketikanya ketika dalam keadaan fakir, berhala yang disembah tersebut akan dibuat sebagai makanan. Budaya membunuh anak perempuan adalah perkara kebiasaan dan peperangan antara qabilah pula merupakan satu sunah kebiasaan. Kepercayaan kepada ruh sangat tersebar di antara mereka dan fitnah serta khurafat ini memberi kesan pada hidup mereka. Tetapi, dengan kedatangan Rasulullah saww. budaya penyembahan berhala mula dipadamkan dan mengubah cara hidup orang arab jahiliyah yang bangga diri, taksub dan mengamalkan Kebebasan tanpa had. Baginda dengan ketinggian akhlak dan kesucian telah berjaya menyatukan mereka yang sebelumnya sentiasa berperang.
Qabilah Quraish dan Keturunan Rasulullah saww.
Qabilah Quraish yang mana Rasulullah saww. adalah sebahagian daripadanya, merupakan salah satu qabilah Arab yang paling kuat,selepas kedatangan Islam sehingga berkurun-kurun telah memerintah dunia Islam. Kebanyakan Quraish yang mahsyur berketurunan daripada “Qushai Bin Kilab” datuk keempat Rasulullah saww. “Abdul Manaf” , datuk ketiga Baginda saww., mempunyai hubungan yang baik dengan ummat ketika itu. “Hashim” datuk kedua Rasul saww. juga merupakan antara yang pembesar mahsyur Quraish pada zamannya, dan puteranya “Abdul Muthalib”, datuk pertama Nabi saww. dikenali antara yang paling mahsyur dan cerdik pandai Arab pada zamannya.Keturunan Rasulullah saww. sampai kepada Nabi Ismail as. dimana semua mereka beragama Hanif yang bermaksud menyembah Tuhan Yang Satu.
Abdullah, Ayahanda Rasulullah saww. merupakan putera terakhir Abdul Muthalib, terkenal dari segi kecantikan rupa paras dan peribadi yang tinggi di antara Quraish. Beliau telah berkahwin dengan Aminah (salamullah alaiha), puteri Wahab, Beliau terkenal dengan kesucian dan dihormati.Abdullah bagi menjalankan perniagaan telah pergi ke Syam dan dalam perjalanan pulang dari Syam Beliau jatuh sakit dan dirawat di Madinah.Beliau ketika berumur 25 tahun wafat di Madinah.
Keluarga dan Keturunan Tauhid
Keluarga Nabi Muhammad saww. adalah keluarga tauhid (beriman).Berdasarkan kepercayaan umum Ulama Imamiyah, ayah dan datuk-datuk Rasulullah saww. dari Abdullah sehingga Nabi Adam as., kesemua mereka menyembah Tuhan Yang Satu dan tidak ada seorang dari mereka yang musyrik. Perkara ini dibuktikan dengan salasilah ayat dan riwayat. Diriwayatkan daripada Rasulullah saww. yang bersabda : (( Allah swt. menyambung keturunanku dari sulbi-sulbi lelaki-lelaki suci ke rahim-rahim wanita-wanita suci sehinggalah aku dilahirkan ke dunia kamu dan tidak sesekali aku dikotori dengan kekotoran-kekotoran jahiliyah). Seperti yang kita ketahui, tidak ada kekotoran yang lebih kotor dari kemusyrikan dan jika terdapat diantara mereka yang musyrik, maka tidak sesekali mereka dikurniakan dengan kesucian.
Ulama Imamiyah mempunyai kepercayaan bahawa Abu Thalib dan Aminah Binti Wahab menyembah Tuhan Yang Satu.Ali (alaihissalam) berkata: (Aku bersumpah dengan nama Tuhan bahawa Ayahku dan datuk-datukku Abdul Muthalib, Hashim, dan Abdul Manaf, tidak seorang dari mereka yang menyembah berhala; Mereka merupakan pengikut agama Ibrahim dan menunaikan solat ke arah Kaabah.)
Rasulullah saww. dilahirkan pada 17 Rabiul awal tahun Gajah (bersamaan tahun 580 masehi) di kota Makkah. Tahun Gajah, ialah tahun dimana seorang lelaki bernama Abrahah dengan arahan Raja Habshah (Najashi) dengan rombongan tentera telah membuat keputusan untuk memusnahkan Rumah Tuhan. Tetapi, sebelum berjaya menjalankan perkara ini, sekumpulan burung telah membawa batu-batu dengan menggunakan paruh dan kaki-kaki mereka dan terbang ke arah para tentera serta melepaskan batu-batu tersebut yang menyebabkan kemusnahan mereka.
Telah diriwayatkan terdapat pelbagai perkara ajaib berlaku pada hari kelahiran Nabi Muhammad saww. :
1-Runtuhnya seluruh berhala-berhala.
2-Istana Raja Kasra (Raja Parsi di zaman Sasanian) pada malam tersebut bergegar dan 14 daripada menaranya runtuh.
3- Keringnya laut Soweh dimana bertahun-tahun telah menjadi sembahan.
4-Mengalirnya air di padang pasir Samawah dimana bertahun-tahun tidak ada manusia yang melihat air di tempat tersebut.
5-Padamnya Api Majusi Parsi dimana beribu tahun tidak pernah padam.
6-Runtuhnya singgahsana raja-raja dunia.
7-Pada malam yang sama, terpancar cahaya dari tanah Hijaz yang memancar sehingga ke Mashriq.
Aminah (sa) ketika zaman kehamilannya berkata bahawa tidak sesekali aku merasakan aku sedang hamil dan tidak pernah aku merasakan berat membawa bayi ketika hamil seperti wanita-wanita lain. Diriwayatkan bahawa Rasulullah (saww) ketika kelahirannya dalam keadaan suci bersih dan darah serta segala benda lain tidak melekat di badannya ketika keluar dari perut ibunya. Begitu juga diriwayatkan bahawa Nabi Allah (saww) dilahirkan dalam keadaan kepalanya kearah langit kemudian Baginda saww. sujud menghadap Allah swt.
Aminah (sa) berkata ketika kelahiran Rasul saww., seseorang telah berkata kepadanya bahawa beliau telah melahirkan pemimpin manusia, maka namakannya dengan nama “Muhammad”. Ketika Abdul Muthalib mendengar berita kelahiran ini, beliau telah menyembelih kambing, menjemput kumpulan daripada pembesar-pembesar Quraish dan didalam majlis tersebut beliau telah menamakan nama Rasulullah saww. dengan Muhammad yang bermaksud yang dipuji.
Selain kita menyambut hari mulia dan kebanggaan kelahiran Rasul suci Nabi Muhammad saww. , tarikh kelahiran Putera Baginda Imam Jaafar Bin Muhammad As-Sodiq (alaihimussalam) juga bersamaan dengan tarikh kelahiran Datuknya saww..Tahniah atas kelahiran dua manusia suci ini yang disebabkan Mereka dan Ahlul Bait Mereka, Kita masih mengecapi nikmat agama dan hidup ini.
Imam Jaafar Sodiq as. dilahirkan pada hari Jumaat atau hari Isnin 17 Rabiul Awal tahun 80 Hijrah, yang terkenal dengan tahun peperangan, di Madinah. Namun dari pandangan Syeikh Mufid dan Kulaini, tahun kelahiran Imam as. adalah pada tahun 83 Hijrah. Wafat Imam Jaafar as. adalah pada hari isnin bulan Syawal, sebahagian mengatakan 25 Syawal dan riwayat lain mengatakan pertengahan bulan Rejab tahun 148 Hijrah.Maka dengan kiraan ini, boleh dikatakan umur Imam ketika wafat adalah 68 atau 65 tahun dimana 12 tahun dan beberapa hari atau 15 tahun Beliau as. hidup di zaman Datuknya, Imam Ali Zainal Abidin as., 19 tahun bersama Ayahnya dan 34 tahun selepas kesyahidan Ayahnya (alaihimussalam).
Nama panggilan Bondanya adalah Ummu Farwah. Sebahagian meriwayatkan panggilan Beliau adalah Ummul Qasim dan namanya adalah Qaribah atau Fatimah. Nama panggilan Imam Jaafar as. adalah Abu Abdillah dan nama panggilan ini adalah yang paling makruf dan terkenal. Muhammad Bin Talhah berkata : sebahagian menggelar Imam as. dengan Abu Ismail. Ibnu Shahr Osyub juga didalam Kitab Manaqib berkata : Imam as. digelar dengan Abu Abdillah dan Abu Ismail dan nama panggilan khas Beliau as. adalah Abu Musa.
Kelebihan Imam Sodiq as.
Kelebihan Imam as. yang terlalu banyak, hanya dapat dinukilkan disini sebahagiannya.Dari Malik Bin Anas, Imam mahsyur Ahlus Sunnah : “Tidak adalah mata yang melihat, tidak ada telinga yang mendengar dan tidak ada yang terlintas di hati bahawa ada yang lebih baik daripada Jaafar Bin Muhammad”, dari Abu Hanifah juga dari kata-kata mahsyur yang berkata: Aku tidak melihat orang lebih faqih daripada Jaafar Bin Muhammad.
Syeikh Mufid menulis : Ilmu yang diriwayatkan daripada Imam as. terlalu banyak sehingga menjadi buah mulut manusia dan tersebar ke semua tempat, serta tidak ada seorang daripada Ahlul Baitnya, yang ilmu dan pengetahuannya diriwayatkan seperti yang dimiliki Beliau as..
Ibnu Khallikan menulis: Beliau adalah salah seorang daripada Imam Dua Belas mazhab Imamiyah, dan merupakan pembesar keluarga Rasulullah saww. dimana disebabkan benar bicaranya, Beliau digelar dengan Sodiq. Kelebihan dan kebesarannya sangat mahsyur/terkenal sehingga tidak perlu kepada penerangan. Abu Musa Jabir Bin Hayyan TharThusi adalah pelajarnya. Jabir telah menulis sebuah kitab yang memiliki seribu helai kertas daripada pelajaran Jaafar Sodiq yang mengandungi 500 risalah.
Imam dan Fekah Islam
Fekah Syiah Imamiah yang terkenal dengan Fekah Jaafari adalah dinisbatkan kepada Imam Jaafar Sodiq as. kerana kebanyakan hukum-hukum fekah Islam didalam mazhab Syiah Imamiah diambil daripada Beliau as., riwayat yang dinukilkan daripada (para Imam as.) Ahlul Bait alaihimussalam yang lain tidak ada yang sebanyak riwayat yang diriwayatkan daripada Imam Jaafar Sodiq as.. Ahli hadis meriwayatkan bahawa perawi hadis yang dipercayai yang meriwayatkan daripada Imam as. mencapai 4000 orang.
Pada pertengahan awal kurun kedua Hijrah, Ahli-ahli fekah peringkat pertama seperti Abu Hanifah, Imam Malik Bin Anas, dan ahli-ahli hadis yang terkenal seperti Sufyan Syuri ,Syu’bah Bin Al-Hajjaj dan Sulaiman bin Mihran terkenal pada zaman ini. Pada zaman inilah Fekah Islam dilahirkan dan berkembang seperti yang terdapat pada hari ini. Zaman itu juga merupakan zaman berkembangnya hadis, lahirnya pelbagai ilmu dan perbahasan kalam yang penting di Basrah dan Kufah.
Imam Sodiq as. dibesarkan didalam kawasan Madinah dimana tempat lahirnya tabiin, ahli hadis, perawi, dan ahli-ahli feqah yang hebat. Tetapi sumber ilmu Beliau as. didalam Feqah bukanlah tabiin atau ahli hadis mahupun ahli feqah zaman tersebut bahkan Beliau as. hanya meriwayatkan daripada satu jalan(sanad) dimana jalan tersebut adalah jalan yang terbaik dan paling dipercayai.Jalan atau sanad tersebut adalah dari Ayahnya Imam Muhammad Baqir as., Beliau as. daripada Ayahnya Ali Bin Husain as., dari Ayahnya Husain Bin Ali as., Beliau as. juga dari Ayahnya Ali Bin Abi Thalib as. dan Amirul Mukminin as. juga dari Rasulullah saww..
Rasulullah saww bersabda :
- Barangsiapa yang bersolawat keatasku selepas menunaikan solat sebanyak 10 kali maka dia bersamaku di syurga dalam keadaan aku melihat wajahnya bercahaya umpama bulan malam ke14.
- Pada hari kiamat, orang yang paling dekat denganku adalah orang yang paling banyak bersolawat keatasku.
- Banyakkan bersolawat keatasku sesungguhnya solawat keatasku adalah cahaya di dalam kubur, cahaya di jambatan sirath dan cahaya di syurga.
- Bersolawat menghilangkan kefakiran.
- Barangsiapa pada hari Jumaat bersolawat keatasku sebanyak seribu kali maka para malaikat akan memohon baginya keampunan.
- Kuatkan suara kamu ketika bersolawat keatasku sesungguhnya ia memusnahkan nifaq.
- Barangsiapa diakhir kalamnya bersolawat keatasku dan Ali akan masuk ke syurga.
- Syafaatku di hari kiamat bagi mereka yang bersolawat keatasku.
- Perumpamaan keluargaku, laksana bahtera Nabi Nuh as. Barang siapa yang mengikutinya (menaikinya), dia akan selamat. Dan barang siapa yang enggan menaikinya ia akan tenggelam (binasa).
- Sesungguhnya aku tinggalkan pada kalian thaqalain (dua perkara yang berharga) Kitab Allah dan itrah Ahlu l-Baitku. Sekiranya kalian berpegang teguh kepada keduanya niscaya kalian tidak akan sesat selepasku selama-lamanya.
Imam Sodiq as berkata:
- Solat dua rakaat yang dilaksanakan oleh yang sudah berumahtangga lebih baik dari pada tujuh puluh rakaat yang dilaksanakan oleh orang yang belum berumah tangga.
- Orang yang melakukan kezaliman, pembantunya dan orang yang rela terhadap tindakan itu semuanya sama sahaja.
- Orang yang bodoh itu ialah orang yang menjawab sebelum mendengar, berdebat sebelum memahami permasalahan dan menghukumi sesuatu yang tidak di ketahuinya.
abalfazl@arridha.com
Wednesday, March 4, 2009
Syahadah Imam Hassan Askari (as). (Ayahanda Imam Mahdi)
Imam Hasan Askari Alaihissalam merupakan Imam kesebelas keturunan Ahlul Bait Rasulullah (saw). seorang Imam yang hanya memiliki umur yang singkat, Beliau as. beberapa ketika waktu dan zaman, bersama Ayahnya tercinta, Imam Hadi Alaihissalam telah diletakkan dibawah pemerhatian kerajaan Bani Abbasiah dan berterusan sehingga kesyahidan Ayahandanya tercinta. Akhirnya, Beliau as. juga telah syahid pada penghujung kezaliman.
Terbit Bintang
Hari Jumaat, 8 Rabius Thani tahun 232 Qamariah, hari kelahiran putera suci, Imam Hasan Bin Ali Al-Askari as. dalam sejarah kebanggaan Ummat Islam, hari yang tinggal didalam ingatan.Hari dimana rumah Imam Hadi as. terang dengan cahaya suci yang dibawa puteranya, Hasan Askari as..
Bergerak Ke Iraq
Dengan kelahiran Imam Hasan Askari as. pada tahun 232 Qamariah, telah mendatangkan kegembiraan dan kebahagiaan kepada penduduk Madinah dan ahli rumahnya Imam Hadi as. Bani Hasyim telah bergembira dan bersujud syukur dengan kelahiran suci ini. Namun malangnya, kegembiraan dan kebahagiaan ini tidak kekal lama, selepas beberapa ketika telah bertukar kepada kedukaan dan kesedihan keluarga Alawi. Khalifah Abbasi dan pengikut-pengikutnya yang fasiq telah tergugat dan bimbang apabila menyaksikan ketinggian ilmu dan maknawi Imam Hadi as. di kota Madinah dan demi menjaga kekuatan mereka sendiri, maka mereka telah mengarahkan Imam Hadi as. untuk berpindah ke negara terasing Iraq. Imam Hadi as. dengan diiringi Putera kesayangannya, Imam Askari as. pada tahun 233 Qamariah telah berpindah dari kota Madinah ke Negeri Samarra yang merupakan pusat pemerintahan khalifah Abbasi. Imam Hasan Askari bersama Ayahnya menetap di Samarra sehingga ke penghujung hidupnya.
Penjara Tanpa Dinding
Sepanjang tahun ketika Imam Hasan Askari as. berada di Samarra,(selain daripada masa Imam as. didalam penjara Bani Abbas) pada zahirnya, Imam as. hidup seperti manusia biasa yang lain, tetapi hakikatnya seluruh pergerakan dan perlakuan Imam as. adalah dibawah pemerhatian dan pengawalan kerajaan ketika itu.Seluruh pergerakan Imam as. dan pengikutnya dibawah kawalan mereka. Diriwayatkan daripada salah seorang pengikut Imam as. bahawa Imam as. setiap hari Isnin dan Khamis terpaksa hadir ke rumah Khalifah dan terpaksa menerangkan dan menakrifkan tentang diri Beliau as. kepada mereka. Hakikatnya, Samarra adalah penjara tanpa dinding buat Imam as. yang telah merampas seluruh ketenangan dan kesenangan Imam as..
Saudara Lelaki Imam as.
Imam Hasan Askari as. mempunyai tiga orang saudara lelaki yang terdiri daripada Husain, Jaafar dan Muhammad. Husain merupakan seorang Abid dan zahid pada zamannya dan beriman kepada Imamahnya Imam Hasan Askari as. Jaafar, saudara tidak soleh Imam as. yang terkenal dengan jaafar Kazzab. Muhammad pula merupakan putera pertama Imam Hadi as. Beliau meninggal dunia pada tahun 252 Qamariah (dua tahun sebelum kesyahidan Imam Hadi as.). Imam Askari as. sangat berduka cita dengan kewafatan abangnya dan kubur suci beliau berdekatan dengan Samarra dan dinamakan dengan Makam Imam Zadeh Sayyid Muhammad.
Perkahwinan Imam Hasan Askari as.
Imam Hasan Askari as. membesar disisi Ayahandanya tercinta dan mendapat faedah dari lautan ilmu dan kelebihan-kelebihan Ayahandanya. Imam Askari as., beberapa waktu sebelum kesyahidan Imam Hadi as., telah berkahwin dengan seorang wanita Rum yang berwibawa yang bernama Narjis, yang berketurunan daripada Hadrat Syam‘un as., wasi Hadrat Isa as. Narjis,telah ditawan di dalam salah satu peperangan antara Umat Islam dan tentera Rum, dan Beliau telah dibeli oleh Imam Hadi as. dan dikahwinkan dengan Imam Hasan Askari as. Beliau merupakan seorang wanita suci dan mulia yang menemui kebanggaan dengan keislamannya serta merupakan isteri kepada seorang Imam. Dengan perkahwinan Imam Askari as. dan Narjis Khotun, telah menerangi sinar harapan didalam hati-hati mukmin dan para penunggu Imam Zaman ajf. Walaupun tarikh tepat perkahwinan Imam Askari as. tidak diketahui, tetapi adalah pasti bahawa perkahwinan Beliau as. adalah pada zaman hidupnya Imam Hadi as..
Syahid Ayahanda as.
Walaupun Imam Askari as. menjalani hari-hari yang perit di Samarra, namun kewujudan Ayahanda maksum dan penyayang, menghadirkan ketenangan. Pada awal bulan Rejab tahun 254 Qamariah, zaman gembira dan ketenangan Imam as. telah sampai penghujungnya dan Imam as. diselubungi duka atas pemergian Ayahanda tercinta as., Khalifah Abbasi, ketika melihat kerajaannya berada dalam keadaan bahaya, telah mengarahkan untuk meracuni Imam Hadi as..Keterasingan dan kesendirian Imam Askari as. telah bertambah dengan kesyahidan ini. Zaman ini, adalah yang paling susah dan mencabar didalam hidup singkatnya Imam Askari as.. Selepas kesyahidan Imam Hadi as., zaman wilayat dan imamah 6 tahun Imam Askari as. pun bermula. Imam Hasan Askari as., pada malam kesyahidannya, telah menulis banyak surat, dan surat-surat tersebut diserahkan kepada penghantar suratnya supaya dihantar ke Madinah. Imam as. pada saat-saat terakhir hidupnya, telah memohon air dan berkata : “Aku mahu menunaikan solat”. Pembantunya menyediakan sejadah buat Beliau as.. Imam as. mengambil wuduk dan menunaikan solat subuh di tempat pembaringannya. Kemudian Beliau as. mengambil bekas air tersebut daripada pembantunya untuk meminum sedikit air darinya dimana ketika itu tangan Imam as. bergetar dan bekas air pun terhentak pada gigi-gigi Beliau as..Imam as. meminta pembantunya supaya memanggil puteranya Imam Zaman ajf. untuk hadir kesisinya. Ketika itu, Narjis Khotun, Bonda Imam Zaman as. diiringi Imam ajf. masuk ke dalam bilik, ketika mana Imam Askari as. melihat Imam Zaman as.,Beliau as. pun menangis dan bersabda : “Wahai Sayyid Ahlul Bait, berikan aku sedikit air dimana aku akan pergi menemui Tuhanku”. Imam Zaman as. pun memberi minum Ayahanda as. dan Beliau as. pun meninggal dunia. Imam Askari as. syahid pada Hari Jumaat, 8 Rabiul Awal tahun 260 Qamariah, selepas solat subuh pada umur 28 tahun.
Ziyarah Imam Hasan Askari as.
Abu Hashim Ja’fari, meriwayatkan dari Imam Hasan Askari as. dimana Imam as. bersabda : “Kuburku di Samarra, bagi ahli kedua-dua golongan, adalah sumber keamanan dan kesenangan daripada bala dan azab Ilahi”. Alamah Majlisi telah memberi makna ahli dua golongan adalah syiah dan sunni dan berkata bahawa berkat wujudnya Imam as. adalah buat semua. Sebahagian daripada doa ziyarah Imam Askari as. yang kita baca : “ Salam atasmu maulaku, wahai Aba Muhammad Hasan Bin Ali, orang yang menghidayah manusia dan hidayah kepada yang hak. Salam atasmu wahai Putera Amirul Mukminin dan wahai Putera Zahra. Salam atasmu wahai yang menenangkan hati yang berduka. Salam atasmu wahai pemilik ilmu Wasi Rasulullah. Salam atasmu wahai kapal penyelamat dan salam atasmu wahai Ayahanda Imam Muntadzar ajf (Imam Mahdi).. Aku bersaksi bahawa Engkau menunaikan solat dan rukun-rukun yang lain di dalam agama, membayar zakat, menyuruh kepada yang makruf serta melarang yang mungkar. Aku memohon kepada Tuhan dimana dengan perantaraanmu, Dia menerima doaku dan menjadikan aku daripada pembantu-pembantu dan pengikut-pengikut sebenar serta merupakan pencinta-pencintamu.”
Laknat Allah ke atas pembunuhmu dan pembunuh para Ahlul Bait as. yang lain dan semoga kami adalah orang yang diterima sebagai pencinta-pencinta dan pengikut sebenarmu.Jadikan kami antara pencinta dan tentera Puteramu, Al-Imam Muhammad al-Mahdi ajf.Allhumma ‘Ajjil Liwaliyakal Faraj.
Imam Hassan Askari (as) berkata: “siapa yang tidak takut untuk berbuat buruk di hadapan manusia maka dia tidak akan takut kepada ALLAH”
“Orang mulia yang meninggalkan kebenaran akan menjadi hina dan orang yang hina yang mempercayai kebenaran akan menjadi mulia”
“takutlah anda kepada ALLAH, jadilah penghias dan jangan jadi perosak”
abalfazl@arridha.com
Sunday, March 1, 2009
BEBERAPA RAHSIA YANG WAJIB DIKETAHUI OLEH SEORANG ISTERI
Oleh kerana itu, seorang isteri atau seorang ibu di dalam kehidupan berumah tangga janganlah sama sekali hanya memikirkan dirinya sendiri, memenuhi kehendak dirinya sendiri atau berbuat sesuatu supaya orang lain menghormati dirinya sahaja. Perbuatan ini tidak benar kerana kita harus selalu ingat bahawa "saya" sekarang telah berubah menjadi "kami". Jadi ketika berbuat sesuatu maka usahakanlah pekerjaan tersebut bukan sahaja bermanfaat buat dirinya sendiri tetapi untuk semua ahli keluarganya, atau yang lebih parah lagi pekerjaan itu janganlah pula nanti membawa kerugian kepada suami atau anggota keluarga yang lain.
Ada beberapa hal penting lain yang dapat memaniskan dan mengharmonikan kehidupan indah suami dan isteri. Di antaranya adanya rasa cinta dan kasih sayang. Isteri harus tahu bahawa suaminya mencintainya dan suami juga harus tahu bahawa isterinya juga mencintainya.
Salah satu cara untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada pasangan adalah melalui perkataan kita. Perbuatan ini bukanlah suatu penghinaan bagi seseorang isteri atau seorang suami. Rasulullah saww sendiri dalam hal ini bersabda: " Seorang hamba yang paling banyak keimanannya kepada Allah adalah mereka yang banyak menampakan kecintaannya kepada pasangannya." - (Bihar al-Anwar, jilid ke 103, hal: 228)
Cara lain dalam menampakkan rasa cinta adalah dengan menjaga penampilan kita saat berada di dalam rumah dan di hadapan suami dengan memakai busana yang bersih dan rapi, memakai wangian yang sesuai dengan selera suami dan lain-lain yang seumpama dengan amalan ini. Perlu diperhatikan bahawa hal semacam ini bukan hanya tugas seorang isteri, namun suami juga turut memainkan peranan. Imam Sadiq (a.s) dalam hal ini bersabda: " Sebagaimana seorang suami menyukai keindahan dan zinat yang ada pada isterinya, isterinya juga menyukai keindahan dan zinat yang ada pada suaminya." – (Makarimul Akhlak, bab 5, fasal 2, Hal: 80).
Cara ketiga untuk menampakkan cinta kita kepada pasangan kita adalah dengan adanya kerjasama antara suami dan isteri, isteri membantu pekerjaan suami dan suami membantu pekerjaan isteri, walaupun bantuan tersebut sekecil apapun.
Selain rasa cinta dan kasih sayang, hal penting lain yang harus ada di dalam kehidupan suami isteri adalah saling menghormati antara satu sama lain. Setiap manusia suka untuk dihormati, begitu juga dalam kehidupan suami isteri. Suami suka untuk dihormati, begitu juga sebaliknya. Di dalam al-Quran Allah mengumpamakan pasangan suami isteri dengan busana. Kita mengetahui seseorang tidak akan pernah sanggup merobek-robek pakaian yang dipakainya. Begitu juga diibaratkan dengan suami isteri, suami bagaikan pakaian kita, mampukah kita menconteng, menginjak-injak atau merobek-robeknya kehormatannya?
Adapun cara menampakan rasa hormat kita kepada pasangan sama dengan cara menampakan cinta kita kepadanya. Kita dapat menonjolkannya melalui kata-kata atau dengan amalan/tindakan. Contohnya, ketika tetamu berada di rumah, inilah waktu yang paling wajib bagi kita untuk menghormati pasangan dibandingkan dengan waktu-waktu yang lain. Jika suami memerlukan bantuan untuk menjamu tamunya maka kita sebagai seorang isteri hendaklah dengan segera membantunya, atau jika suami berbicara tentang hal yang tidak kita setujui maka hendaknya kita diam dan bersabar sehingga tamu pulang.
Perbuatan seperti ini begitu penting, kerana ini berlandaskan keikhlasan dan tidak menodai harga diri pasangan di hadapan orang lain. Selain itu, bermusyawarahlah dengan pasangan walaupun dalam hal yang kecil, kerana itu merupakan bentuk penghormatan kepada pasangan. Dan banyak hal lagi yang baik bagi kita ketahui sebagai seorang isteri, insyaAllah akan kita lanjutkan pada kesempatan yang lain.
SYARIFAH NAFISAH AL-IDRUS