Popular Posts

Saturday, August 22, 2009

Marhaban Ya Syahru Ramadhan




Imam Ja'far (as) berkata: "Tidurnya orang yang sedang berpuasa itu adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, amalnya diterima dan doanya dikabulkan."

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak!

May Almighty ALLAH accepts our amal and we will be closer to Him..Ya ALLAH..!

Thursday, August 6, 2009

Majlis Wiladah al-Imam Muhammad al Mahdi (as)




Hari kelima belas bulan mubarak Syaabanil Muazzam dengan penuh taufiq bersamaan hari kegembiraan, kelahiran maufurul saadah, wali segala nikmat kemanusiaan, khalifah ar-Rahman, Syarik al-Quran, Imam seluruh manusia dan jin, Kashiful Ahzan, Hujjah Tuhan ke atas hamba-Nya dan Baqiyatullah di bumi-Nya, Pemimpin yang kedua belas, Penjaga rahsia-rahsia Rabbul Alamin, Pewaris ilmu-ilmu kenabian, Hujjatibnil Hassan Arwahuna wa Ajsamuna wa Arwahul Alamin Liturabi Muqaddimahul Fida’.

Tuhanku, limpahkan salam dan selawat-Mu ke atas Maula yang akan bangun dengan perintah-Mu, beliau yang telah ghaib dari kalangan ciptaan-Mu, beliau yang menanti keizinan-Mu dan beliau yang mengukuhkan segala yang benar serta membatalkan seluruh kebathilan. Tuhan kami, ubahkanlah perpisahan dan kejauhan antara kami dan Maula kami ini dengan pertemuan dan penyatuan dan demi kemuliaan-Mu runtuhkanlah hijab keghaiban darinya.

Kenapa bulan ini disebut dengan Syaaban? Ini adalah kerana pada bulan ini manusia akan tergolong pada dua golongan: golongan “Mukminin” dan golongan “Fasiqin”. InsyaAllah, moga-moga kita tergolong dalam kelompok yang pertama. Syaaban merupakan salah satu daripada bulan yang mulia dan bulan ini telah dinisbatkan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wasallam. Baginda saww, sepanjang bulan ini akan berpuasa dan menyambungkannya dengan puasa-puasa bulan Ramadhan. Rasulullah saww bersabda: “Syaaban adalah bulanku dan barangsiapa yang berpuasa satu hari daripada bulan ini maka wajib baginya syurga”. Namun begitu, sudah pasti perkara ini akan menjadi kenyataan dengan syarat seseorang itu bertaubat dari segala maksiat dan dosa-dosa yang dilakukan pada masa lalu dan bertekad tidak akan mengulanginya. Jangan kita sampai menjadi seperti orang yang melakukan semua jenis dosa kecil dan besar (wal’ayazubillah) kemudian berkata, tidak mengapa kerana bulan Syaaban telah tiba, aku akan berpuasa dan aku akan disucikan dengan kemuliaan bulan ini, selepas daripada itu (wanastajirubillah) kembali kepada maksiat seperti biasa. Tidak, bukan begini, ini kerana terdapat riwayat bahawa: seseorang yang bertaubat daripada dosa, kemudian kembali melakukan dosa tersebut selepas bertaubat, insan sebegini hanya mempersendakan dirinya sendiri.




Berkenaan kelebihan berpuasa di bulan Syaaban, Muhaddis Qummi telah meriwayatkan dari Shafwan Jammal yang berkata: Imam Abu Abdillah as-Sodiq Alaihissalam telah berkata kepadaku : “Wahai Shafwan, doronglah mereka yang bersamamu agar berpuasa pada bulan Syaaban”. Shafwan berkata kepada Imam Sodiq as: “Aku ada satu permintaan. Diriku korbananmu wahai Putera Rasulullah saww, adakah kamu membayangkan bagi seorang yang berpuasa di bulan Syaaban sebuah kelebihan dan sesuatu makam?” Imam Sodiq as berkata: “Ya. Setiap kali baginda Rasulullah saww terpandang anak bulan Syaaban, baginda saww. akan bersabda kepada utusannya di Madinah supaya menyeru: Wahai Ahli Madinah, aku mempunyai satu pesanan daripada Rasulullah saww bahawa Rasulullah saaw mengarahkan aku untuk menyampaikan kepada kamu semua--Ketahuilah bahawa bulan Syaaban adalah bulanku dan Allah swt akan mengurniakan rahmatNya yang luas bagi sesiapa yang dengan berpuasa menolong dan mempertahanku—.“ Kemudian Imam Sodiq as. menyambung: “Wahai Shafwan, Maulayil Mawali Ali Ibni Abi Thalib Alaihimassalam berkata: Dari detik aku mendengar suara utusan Rasul saww berkenaan kelebihan berpuasa di bulan Syaaban, maka aku tidak melupakan berpuasa di bulan ini dan tidak akan pernah melupakannya juga pada masa akan datang sehinggalah aku masih hidup di dunia ini.”

Rasulullah saww pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah amalan yang paling baik di bulan Ramadhan?” Rasul saww menjawab: “Pertamanya, bersedekah dan yang kedua, beristighfar daripada melakukan maksiat”.
Antara malam-malam mubarak di bulan Syaaban adalah malam pertengahannya di mana diriwayatkan: “Selepas daripada malam-malam lailatul qadar, malam-malam yang terbaik adalah malam kelima belas Syaaban di mana khalifah Tuhan di bumi, Qaim Aali Muhammad ruhi wa jasadi lahul fida’ dengan kelahirannya, menambahkan kemuliaan dan kelebihan malam ini.”

Hari kelahiran Imam Zaman Ajjalallahu Farajah adalah pada tahun 255 Hijrah di Samarra’ dengan keizinan Tuhan dan kekuatanNya. Nama dan gelaran beliau seperti nama Rasulullah saww. Namun begitu pada zaman keghaiban beliau, kita tidak dibenarkan untuk menyebut nama dan gelaran beliau dengan nama dan gelaran tersebut, malah terdapat riwayat yang banyak dan muktabar antaranya: “Tidak harus bagi seseorang menyebut beliau dengan nama dan gelaran khusus sehingga satu zaman dimana beliau bangun dan memenuhkan bumi dengan keadilan sepertimana ia telah penuh dengan kezaliman dan kejahatan.” Namun begitu, hikmah larangan ini kekal tersembunyi.

Nama dan panggilan Imam Zaman ajf adalah sama dengan nama dan panggilan Rasulullah saww. Ayahnya adalah Imam Askari Alaihissalam yang tidak mempunyai anak selain daripada Imam Zaman ajf. Lahirnya Imam Zaman ajf adalah secara tersembunyi dan rahsia. Hanya sebilangan sahaja yang mengetahui tentang kelahiran ini. Ibundanya bernama Narjis Salamullah Alaiha yang sering digelar Ummu Walad. Diriwayatkan bahawa Imam Zaman ketika kesyahidan ayahandanya hanya berumur 5 tahun. Namun, Allah swt telah menganugerahkannya meskipun umurnya masih kecil pintu-pintu hikmah dan petah berkata-berkata umpama Nabi Allah Isa as,, Allah swt telah menjadikannya sebagai petunjuk dan sebahagian dari tanda-tandaNya bagi semua hambaNya, Allah swt menganugerahkannya hikmah ketika ia masih kecil, umpama kisah Nabi Yahya as dan Imam as dinobatkan sebagai imam ketika masih kecil, namun ianya adalah secara zahir, ini adalah kerana Imam maksum as dalam setiap tahap umur tetap mempunyai makam keimamahannya sepertimana Nabi Musa as yang dijadikan sebagai nabi ketika masih di dalam buaian.

Sekarang mari kita perhatikan bagaimana putera suci ini dilahirkan ke dunia dari cerita wanita suci, Hakimah, puteri Imam Muhammad Taqi Al-Jawad Alaihissalam. Beliau merupakan salah seorang saksi kelahiran besar ini. Ia bercerita: Tatkala sang suria hampir terbenam, aku di waktu itu masih di rumah Imam Askari as dan ketika aku ingin beredar dari situ, beliau as berkata: “Makcik, malam ini tinggallah bersama kami dan bermalamlah di mana Allah swt akan mengurniakan kelahiran seorang pemilik karamah.” Aku bertanya siapa yang akan melahirkannya? Ia menjawab: “Narjis yang akan melahirkannya”.

Hakimah melanjutkan: Aku menghampiri ke sisi Narjis, namun aku tidak melihat tanda-tanda kehamilan daripadanya, kemudian aku merujuk semula kepada Imam Askari as seraya berkata: “Wahai putera Rasulullah, aku berada disisi Narjis sa akan tetapi aku tidak melihat sebarang tanda kehamilan padanya.” Imam as dalam keadaan tersenyum berkata: “Kehamilan Narjis akan kelihatan ketika terbitnya fajar nanti dan ketahuilah keadaan anakku adalah umpama keadaan Nabi Musa Alaihissalam tatkala kehamilan ibunya tersembunyi sehinggalah sampai waktu kelahirannya. Ini kerana Firaun akan mengoyak-ngoyakkan perut wanita-wanita yang hamil bagi menghalang kelahiran Nabi Musa as dan kelahiran bayi yang akan lahir ini juga adalah seperti Nabi Musa as.”




Hakimah menyambung: Pada malam itu, aku sentiasa berada di sisi Narjis dan menjaganya. Ia tidur sehinggalah hampir terbit fajar. Ia tiba-tiba bangun dalam keadaan tertekan dan aku memeluknya, dalam keadaan ini Imam Askari as menyapaku: “Wahai makcik, bacakanlah surah Al-Qadr.” Aku pun memulakan bacaan surah Al-Qadr, dan aku melihat Narjis sa juga turut membaca bersamaku. Aku berasa sangat tertekan, tiba-tiba Imam as berkata kepadaku: “Wahai makcik, janganlah terkejut dengan perintah Ilahi, kerana Allah swt dengan hikmah dan kekuatanNya yang sempurna telah menjadikan kami mampu berkata-kata ketika masih kecil dan menjadikan kami sebagai hujjahNya ketika dewasa. Ketika Imam Askari as menamatkan kata-katanya, tiba-tiba Narjis sa hilang dari pandanganku, umpama terdapat hijab antara aku dan beliau. Kemudian aku pun pergi menghadap Imam Askari as., namun beliau as. berkata: “Wahai makcik kembalilah, kamu akan menemui Narjis di tempatnya.”

Hakimah meneruskan: Tiada lagi hijab ketika aku kembali ke sisi Narjis dan aku terpaku memandangnya. Ketika itulah aku melihat bayi suci yang sedang sujud dan jarinya diarahkan ke arah langit dan berkata: “Asyhadu Alla Ilaha Illallah Wahdahu La Syarikalah Wa Anna Jaddi Rasulullah Wa Anna Abi Amirul Mukminin wa Wasiyyu Rasulillah.” kemudian beliau as menyebut semua nama para Imam maksum Alaihimussalam sehinggalah sampai kepada dirinya sendiri maka beliau ajf berkata: “Tuhanku, penuhilah janji pertolonganmu kepadaku, sempurnakanlah perintah kekhalifahan dan keimamahanku, menangkanlah aku ke atas para musuh dan penuhilah bumi dengan keadilan dengan tanganku.” Kemudian Imam Askari as memangil: “Wahai makcik, bawakan kepadaku puteraku.” Ketika aku pergi ke sisinya supaya dapat aku mendukungnya dan membawanya kepada Imam as, aku telah melihat di bahagian kanannya tertulis: “Kebenaran telah datang dan kebathilan telah hancur, sesungguhnya takdir kebathilan hanyalah kehancuran”. (al-Isra’:18)

Hakimah berkata lagi: Aku membawa bayi suci tersebut kepada Ayahandanya Imam Askari as, beliau ajf menyampaikan salam kepada ayahandanya. Imam as mengambil dan mengucupnya. Imam as meletakkannya di atas tangan kirinya dan tangan kanan pula mengusap kepala bayi suci tersebut.

Setakat ini kita telah membahaskan tentang kelebihan bulan Syaaban dan kelahiran Imam Mahdi ajf. Hari ini, hari kelahiran Imam kita. Hari kegembiraan bagi semua umat Islam. Hari kelahiran seorang Imam yang kita nantikan kezuhurannya. Namun, di sebalik kegembiraan ini, terdapat kedukaan yang masih belum tersembuhkan, kedukaan atas kejauhan, perpisahan dengan keghaiban Imam yang dicintai. Dengan keghaiban Imam ini, kita merupakan muntazirnya (orang yang menanti), dan penantian ini bukanlah hanya satu laungan atau hanya tinggal nama, bahkan ia hendaklah diikuti dengan rasa satu tangungjawab.



Adakah kita seorang muntazir yang setia sementara di dalam tempoh setahun hanya sehari kita mengingati Imam. Atau kita tergolong dalam kelompok yang setiap detik, saat, minit, jam dan saban harinya memohon, mendoakan dan memperbaiki diri serta menyediakan tapak bagi kezuhuran Imamnya? Adakah solat-solat wajib yang ditunaikan kita sertai dengan doa agar disegerakan kezuhurannya. Apakah ketika kita meneguk air, terlintas di benak kita akan namanya sedang ia pemelihara mata air hidayah Tuhan sekalian alam. Apakah ketika kita mengunyah makanan untuk meneruskan hidup, kita ada mengingatinya? Sedang ia tidak lekang mengisi bekal rohani kita. Tidakkah kita mengetahui sebuah hadis yang sering dikumandangkan bahawa tanpanya, bukan hanya air dan makanan, bahkan bumi dan seluruh isinya pasti berguguran. Adakah ketika kita memikirkan masa yang akan kita tempuhi, kita akan terfikirkan tentang kezuhurannya? Adakah ketika kita melihat matahari terbit setiap pagi, kita juga akan mengingati tentang indahnya matahari takkan kekal tanpa wujudnya sambil kita mengucap salam serta solawat kepadanya? Adakah kita rasa terluka dan berduka ketika setiap kali matahari terbenam, siang kini telah bertukar malam dan telah tamat satu hari lagi di mana beliau as belum lagi zuhur? Adakah kita memikirkan dan mengharapkan setiap kali hendak melelapkan mata setiap malam agar Allah swt menjadikan subuh esoknya ketika kita bangun untuk menunaikan solat kita mendapati Imam juga telah zuhur dan kini tiada lagi ghaibat kubra yang dilalui selama ini?

Wahai pencinta Imam as yang mewarnakan dan menerangkan rumah, husainiyah, hauzah, heyat dengan lampu sekali setiap tahun bagi menyambut hari kelahirannya. Tahukah kita setiap kali kita menunggang kenderaan dosa dan maksiat, maka ketahuilah kita telah memadamkan satu demi satu daripada lampu intizar (penantian) yang terdapat pada hati kita yang menghidupkan penantian kita selama ini.
Wahai yang menggelar dirinya sebagai yang menanti kezuhuran! Adakah kita tidak mahu mengetahui kenapa setiap kali terbenamnya matahari hari jumaat hati kita terasa perit dan sakit? Tahukah kita keperitan hari itu puncanya adalah dosa-dosa kita.

Wahai pencinta kezuhuran, tahukah kita, tatkala Imam Zaman ajf zuhur dan mendapati keadaan kita yang sebegini, apa yang akan beliau lakukan? Apakah kita bersedia untuk kezuhuran? Dengan langkah yang mana kita akan menyambut Tuan kita? Apakah dengan langkah yang sama di mana beberapa detik yang lalu ia berlalu dalam kemaksiatan dan menderhaka kepada Allah, Tuhan kita dan Tuhan kepada Mahdi kita?

Wahai penanti kezuhuran, dengan tangan yang mana yang kita letakkan di dada dan melaungkan “Ajjil ‘Ala Zuhurak”? adakah dengan tangan yang sama yang kotor bergelumang dengan dosa? Dengan hati yang mana kita memohon kezuhuran? Apakah dengan hati yang sama yang dipenuhi dengan hasad dengki, marah dan dendam? Dengan hati yang mana, kita memohon Allah swt memberikan kita semula HujjahNya? Apakah dengan hati yang sama yang penuh dengan kealpaan, kejahatan dan kekotoran? Adakah dengan hati yang sama yang menyebabkan kemurkaan Tuhannya? Dengan mata yang mana kita meneliti kezuhuran? Apakah dengan mata yang sama yang melihat yang bukan mahram dan yang diharamkan? Dengan telinga yang mana kita menunggu seruan ketika kezuhuran nanti? Apakah dengan telinga yang sama yang mendengar segala kejelekan? Dengan lidah yang mana kita hendak melaungkan kezuhuran? Apakah dengan lidah yang sama yang kita gunakan untuk mengumpat dan sebagainya? Manusia ketika mana masih berada dibawah kawalan syaitan dan tidak mampu untuk melawannya, maka dia belum merupakan seorang muntazir yang hakiki. Sekarang kita dikelilingi dengan semua nikmat dan kemudahan, namun kita terasing. Semoga Allah swt jauhkan kita daripada kealpaan yang menyebabkan kita jauh dari segala nikmat yang hakiki. Semoga kita tidak hanya bersenang dengan yang zahir dan lupa tentang asal dan tugas sebenar kita. InsyaAllah kita dapat menggunakan peluang yang diberikan untuk berusaha, berusaha untuk menjadi muntazir hakiki Imam ajf dan dapat menyediakan tapak untuk kezuhurannya. Dan insyaAllah setiap langkah hidup kita, kita akan lebih dekat dengan Tuhan Rabbul Alamin.

Antara ibadah yang dianjurkan pada malam 15 Syaaban adalah ziarah Imam Husain as. Kenapa kita dianjurkan untuk tidak meninggalkan ziarah Husain as pada malam ini, sedangkan malam ini malam kelahiran Baqiyatullah ajf? Ya, jangan kita lupa, Imam Husain as merupakan seorang ayah, seorang ayah yang syahid dengan bibir yang kering dahaga, dan Imam Zaman ajf adalah seorang anak yang akan menuntut bela akan darah ayahnya. Dan ini adalah hak yang diperuntukkan di dalam firman Allah: “Dan barang siapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya kami telah menjadikan kekuasaan kepada ahli warisnya..” – (Surah al-Isra’:33).


Kita akhiri kalam dengan kata-kata Imam Sodiq as yang merintih sayu akan kejauhan dan keghaiban puteranya al-Mahdi ajf. Imam Sodiq as menyeru puteranya dengan gelaran tuan dan berkata: “Duhai tuanku, kejauhanmu darimu, derita yang kutanggung bagai musibah sepanjang zaman”.

Ya Allah dengan kebesaran Muhammad dan ahli keluarga baginda, percepatkanlah kezuhuran Imam Zaman kami dan dengan kezuhurannya terangkan hati kami dan tunjukkan kami jalan menujuMu serta kebahagiaan yang abadi.

“Ya Allah, kenalkan daku akan Diri-Mu, jika Engkau tidak kenalkan daku akan DiriMu maka aku tidak akan mengenal nabi-Mu. Ya Allah, kenalkan daku akan nabiMu, jika Engkau tidak kenalkan daku akan nabi-Mu maka daku tidak akan mengenal hujjahMu. Ya Allah, kenalkan daku akan hujjah-Mu, jika Engkau tidak kenalkan daku akan hujjah-Mu daku pasti tersesat dari jalan agamaku”.

Limpahan selawat dan salam buat junjungan Rasulullah saww serta ahli keluarga baginda yang bersih lagi suci dari noda dan dosa, khususnya buat Pemimpin dan Imam zaman kami. Allahumma Ajjil Liwaliyikal Faraj. Ya Allah, percepatkan kezuhuran Hujjah-Mu!!



Eltimasi Doa
Seyyed Abal Fazl Ben Yahya
Khidmat Imam Zaman (as)
Email: abalfazl@arridha.com
http://www.arridha.com