Popular Posts

Wednesday, March 4, 2009

Syahadah Imam Hassan Askari (as). (Ayahanda Imam Mahdi)


Imam Hasan Askari Alaihissalam merupakan Imam kesebelas keturunan Ahlul Bait Rasulullah (saw). seorang Imam yang hanya memiliki umur yang singkat, Beliau as. beberapa ketika waktu dan zaman, bersama Ayahnya tercinta, Imam Hadi Alaihissalam telah diletakkan dibawah pemerhatian kerajaan Bani Abbasiah dan berterusan sehingga kesyahidan Ayahandanya tercinta. Akhirnya, Beliau as. juga telah syahid pada penghujung kezaliman.

Terbit Bintang

Hari Jumaat, 8 Rabius Thani tahun 232 Qamariah, hari kelahiran putera suci, Imam Hasan Bin Ali Al-Askari as. dalam sejarah kebanggaan Ummat Islam, hari yang tinggal didalam ingatan.Hari dimana rumah Imam Hadi as. terang dengan cahaya suci yang dibawa puteranya, Hasan Askari as..

Bergerak Ke Iraq

Dengan kelahiran Imam Hasan Askari as. pada tahun 232 Qamariah, telah mendatangkan kegembiraan dan kebahagiaan kepada penduduk Madinah dan ahli rumahnya Imam Hadi as. Bani Hasyim telah bergembira dan bersujud syukur dengan kelahiran suci ini. Namun malangnya, kegembiraan dan kebahagiaan ini tidak kekal lama, selepas beberapa ketika telah bertukar kepada kedukaan dan kesedihan keluarga Alawi. Khalifah Abbasi dan pengikut-pengikutnya yang fasiq telah tergugat dan bimbang apabila menyaksikan ketinggian ilmu dan maknawi Imam Hadi as. di kota Madinah dan demi menjaga kekuatan mereka sendiri, maka mereka telah mengarahkan Imam Hadi as. untuk berpindah ke negara terasing Iraq. Imam Hadi as. dengan diiringi Putera kesayangannya, Imam Askari as. pada tahun 233 Qamariah telah berpindah dari kota Madinah ke Negeri Samarra yang merupakan pusat pemerintahan khalifah Abbasi. Imam Hasan Askari bersama Ayahnya menetap di Samarra sehingga ke penghujung hidupnya.



Penjara Tanpa Dinding

Sepanjang tahun ketika Imam Hasan Askari as. berada di Samarra,(selain daripada masa Imam as. didalam penjara Bani Abbas) pada zahirnya, Imam as. hidup seperti manusia biasa yang lain, tetapi hakikatnya seluruh pergerakan dan perlakuan Imam as. adalah dibawah pemerhatian dan pengawalan kerajaan ketika itu.Seluruh pergerakan Imam as. dan pengikutnya dibawah kawalan mereka. Diriwayatkan daripada salah seorang pengikut Imam as. bahawa Imam as. setiap hari Isnin dan Khamis terpaksa hadir ke rumah Khalifah dan terpaksa menerangkan dan menakrifkan tentang diri Beliau as. kepada mereka. Hakikatnya, Samarra adalah penjara tanpa dinding buat Imam as. yang telah merampas seluruh ketenangan dan kesenangan Imam as..

Saudara Lelaki Imam as.

Imam Hasan Askari as. mempunyai tiga orang saudara lelaki yang terdiri daripada Husain, Jaafar dan Muhammad. Husain merupakan seorang Abid dan zahid pada zamannya dan beriman kepada Imamahnya Imam Hasan Askari as. Jaafar, saudara tidak soleh Imam as. yang terkenal dengan jaafar Kazzab. Muhammad pula merupakan putera pertama Imam Hadi as. Beliau meninggal dunia pada tahun 252 Qamariah (dua tahun sebelum kesyahidan Imam Hadi as.). Imam Askari as. sangat berduka cita dengan kewafatan abangnya dan kubur suci beliau berdekatan dengan Samarra dan dinamakan dengan Makam Imam Zadeh Sayyid Muhammad.

Perkahwinan Imam Hasan Askari as.

Imam Hasan Askari as. membesar disisi Ayahandanya tercinta dan mendapat faedah dari lautan ilmu dan kelebihan-kelebihan Ayahandanya. Imam Askari as., beberapa waktu sebelum kesyahidan Imam Hadi as., telah berkahwin dengan seorang wanita Rum yang berwibawa yang bernama Narjis, yang berketurunan daripada Hadrat Syam‘un as., wasi Hadrat Isa as. Narjis,telah ditawan di dalam salah satu peperangan antara Umat Islam dan tentera Rum, dan Beliau telah dibeli oleh Imam Hadi as. dan dikahwinkan dengan Imam Hasan Askari as. Beliau merupakan seorang wanita suci dan mulia yang menemui kebanggaan dengan keislamannya serta merupakan isteri kepada seorang Imam. Dengan perkahwinan Imam Askari as. dan Narjis Khotun, telah menerangi sinar harapan didalam hati-hati mukmin dan para penunggu Imam Zaman ajf. Walaupun tarikh tepat perkahwinan Imam Askari as. tidak diketahui, tetapi adalah pasti bahawa perkahwinan Beliau as. adalah pada zaman hidupnya Imam Hadi as..



Syahid Ayahanda as.

Walaupun Imam Askari as. menjalani hari-hari yang perit di Samarra, namun kewujudan Ayahanda maksum dan penyayang, menghadirkan ketenangan. Pada awal bulan Rejab tahun 254 Qamariah, zaman gembira dan ketenangan Imam as. telah sampai penghujungnya dan Imam as. diselubungi duka atas pemergian Ayahanda tercinta as., Khalifah Abbasi, ketika melihat kerajaannya berada dalam keadaan bahaya, telah mengarahkan untuk meracuni Imam Hadi as..Keterasingan dan kesendirian Imam Askari as. telah bertambah dengan kesyahidan ini. Zaman ini, adalah yang paling susah dan mencabar didalam hidup singkatnya Imam Askari as.. Selepas kesyahidan Imam Hadi as., zaman wilayat dan imamah 6 tahun Imam Askari as. pun bermula. Imam Hasan Askari as., pada malam kesyahidannya, telah menulis banyak surat, dan surat-surat tersebut diserahkan kepada penghantar suratnya supaya dihantar ke Madinah. Imam as. pada saat-saat terakhir hidupnya, telah memohon air dan berkata : “Aku mahu menunaikan solat”. Pembantunya menyediakan sejadah buat Beliau as.. Imam as. mengambil wuduk dan menunaikan solat subuh di tempat pembaringannya. Kemudian Beliau as. mengambil bekas air tersebut daripada pembantunya untuk meminum sedikit air darinya dimana ketika itu tangan Imam as. bergetar dan bekas air pun terhentak pada gigi-gigi Beliau as..Imam as. meminta pembantunya supaya memanggil puteranya Imam Zaman ajf. untuk hadir kesisinya. Ketika itu, Narjis Khotun, Bonda Imam Zaman as. diiringi Imam ajf. masuk ke dalam bilik, ketika mana Imam Askari as. melihat Imam Zaman as.,Beliau as. pun menangis dan bersabda : “Wahai Sayyid Ahlul Bait, berikan aku sedikit air dimana aku akan pergi menemui Tuhanku”. Imam Zaman as. pun memberi minum Ayahanda as. dan Beliau as. pun meninggal dunia. Imam Askari as. syahid pada Hari Jumaat, 8 Rabiul Awal tahun 260 Qamariah, selepas solat subuh pada umur 28 tahun.




Ziyarah Imam Hasan Askari as.

Abu Hashim Ja’fari, meriwayatkan dari Imam Hasan Askari as. dimana Imam as. bersabda : “Kuburku di Samarra, bagi ahli kedua-dua golongan, adalah sumber keamanan dan kesenangan daripada bala dan azab Ilahi”. Alamah Majlisi telah memberi makna ahli dua golongan adalah syiah dan sunni dan berkata bahawa berkat wujudnya Imam as. adalah buat semua. Sebahagian daripada doa ziyarah Imam Askari as. yang kita baca : “ Salam atasmu maulaku, wahai Aba Muhammad Hasan Bin Ali, orang yang menghidayah manusia dan hidayah kepada yang hak. Salam atasmu wahai Putera Amirul Mukminin dan wahai Putera Zahra. Salam atasmu wahai yang menenangkan hati yang berduka. Salam atasmu wahai pemilik ilmu Wasi Rasulullah. Salam atasmu wahai kapal penyelamat dan salam atasmu wahai Ayahanda Imam Muntadzar ajf (Imam Mahdi).. Aku bersaksi bahawa Engkau menunaikan solat dan rukun-rukun yang lain di dalam agama, membayar zakat, menyuruh kepada yang makruf serta melarang yang mungkar. Aku memohon kepada Tuhan dimana dengan perantaraanmu, Dia menerima doaku dan menjadikan aku daripada pembantu-pembantu dan pengikut-pengikut sebenar serta merupakan pencinta-pencintamu.”

Laknat Allah ke atas pembunuhmu dan pembunuh para Ahlul Bait as. yang lain dan semoga kami adalah orang yang diterima sebagai pencinta-pencinta dan pengikut sebenarmu.Jadikan kami antara pencinta dan tentera Puteramu, Al-Imam Muhammad al-Mahdi ajf.Allhumma ‘Ajjil Liwaliyakal Faraj.

Imam Hassan Askari (as) berkata: “siapa yang tidak takut untuk berbuat buruk di hadapan manusia maka dia tidak akan takut kepada ALLAH”

“Orang mulia yang meninggalkan kebenaran akan menjadi hina dan orang yang hina yang mempercayai kebenaran akan menjadi mulia”

“takutlah anda kepada ALLAH, jadilah penghias dan jangan jadi perosak”

abalfazl@arridha.com





Sunday, March 1, 2009

BEBERAPA RAHSIA YANG WAJIB DIKETAHUI OLEH SEORANG ISTERI




Ketika seorang gadis memasuki kehidupan rumah tangga, maka dia memiliki beberapa tugas dan tanggungjawab yang berbeza daripada zaman sebelum perkahwinannya. Di saat tugas-tugas dan tanggungjawab tersebut bermula, maka perasaan tidak percaya untuk mencapai kesempurnaan yang sering datang sebelum bernikah akan terasa berkurangan. Kerana sebelumnya dia masih sendiri tetapi kemudian menjadi berdua. Maka automatik kesempurnaan yang akan dicapainya akan lebih mudah dan jalannya akan lebih mulus.

Oleh kerana itu, seorang isteri atau seorang ibu di dalam kehidupan berumah tangga janganlah sama sekali hanya memikirkan dirinya sendiri, memenuhi kehendak dirinya sendiri atau berbuat sesuatu supaya orang lain menghormati dirinya sahaja. Perbuatan ini tidak benar kerana kita harus selalu ingat bahawa "saya" sekarang telah berubah menjadi "kami". Jadi ketika berbuat sesuatu maka usahakanlah pekerjaan tersebut bukan sahaja bermanfaat buat dirinya sendiri tetapi untuk semua ahli keluarganya, atau yang lebih parah lagi pekerjaan itu janganlah pula nanti membawa kerugian kepada suami atau anggota keluarga yang lain.






Ada beberapa hal penting lain yang dapat memaniskan dan mengharmonikan kehidupan indah suami dan isteri. Di antaranya adanya rasa cinta dan kasih sayang. Isteri harus tahu bahawa suaminya mencintainya dan suami juga harus tahu bahawa isterinya juga mencintainya.

Salah satu cara untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada pasangan adalah melalui perkataan kita. Perbuatan ini bukanlah suatu penghinaan bagi seseorang isteri atau seorang suami. Rasulullah saww sendiri dalam hal ini bersabda: " Seorang hamba yang paling banyak keimanannya kepada Allah adalah mereka yang banyak menampakan kecintaannya kepada pasangannya." - (Bihar al-Anwar, jilid ke 103, hal: 228)

Cara lain dalam menampakkan rasa cinta adalah dengan menjaga penampilan kita saat berada di dalam rumah dan di hadapan suami dengan memakai busana yang bersih dan rapi, memakai wangian yang sesuai dengan selera suami dan lain-lain yang seumpama dengan amalan ini. Perlu diperhatikan bahawa hal semacam ini bukan hanya tugas seorang isteri, namun suami juga turut memainkan peranan. Imam Sadiq (a.s) dalam hal ini bersabda: " Sebagaimana seorang suami menyukai keindahan dan zinat yang ada pada isterinya, isterinya juga menyukai keindahan dan zinat yang ada pada suaminya." – (Makarimul Akhlak, bab 5, fasal 2, Hal: 80).

Cara ketiga untuk menampakkan cinta kita kepada pasangan kita adalah dengan adanya kerjasama antara suami dan isteri, isteri membantu pekerjaan suami dan suami membantu pekerjaan isteri, walaupun bantuan tersebut sekecil apapun.

Selain rasa cinta dan kasih sayang, hal penting lain yang harus ada di dalam kehidupan suami isteri adalah saling menghormati antara satu sama lain. Setiap manusia suka untuk dihormati, begitu juga dalam kehidupan suami isteri. Suami suka untuk dihormati, begitu juga sebaliknya. Di dalam al-Quran Allah mengumpamakan pasangan suami isteri dengan busana. Kita mengetahui seseorang tidak akan pernah sanggup merobek-robek pakaian yang dipakainya. Begitu juga diibaratkan dengan suami isteri, suami bagaikan pakaian kita, mampukah kita menconteng, menginjak-injak atau merobek-robeknya kehormatannya?

Adapun cara menampakan rasa hormat kita kepada pasangan sama dengan cara menampakan cinta kita kepadanya. Kita dapat menonjolkannya melalui kata-kata atau dengan amalan/tindakan. Contohnya, ketika tetamu berada di rumah, inilah waktu yang paling wajib bagi kita untuk menghormati pasangan dibandingkan dengan waktu-waktu yang lain. Jika suami memerlukan bantuan untuk menjamu tamunya maka kita sebagai seorang isteri hendaklah dengan segera membantunya, atau jika suami berbicara tentang hal yang tidak kita setujui maka hendaknya kita diam dan bersabar sehingga tamu pulang.

Perbuatan seperti ini begitu penting, kerana ini berlandaskan keikhlasan dan tidak menodai harga diri pasangan di hadapan orang lain. Selain itu, bermusyawarahlah dengan pasangan walaupun dalam hal yang kecil, kerana itu merupakan bentuk penghormatan kepada pasangan. Dan banyak hal lagi yang baik bagi kita ketahui sebagai seorang isteri, insyaAllah akan kita lanjutkan pada kesempatan yang lain.


SYARIFAH NAFISAH AL-IDRUS





Wednesday, January 21, 2009

Al Imam Sajjad as

Assalamualal Husain Wa ‘Ala Ali yibnil Husain Wa ‘Ala Auladil Husain Wa ‘Ala Ashabil Husain

Imam Ali ibnil Hussain as, dikenali dengan Zainal ‘Abidin dan Sajjad,berdasarkan riwayat yang masyhur dilahirkan pada 38 Hijrah di Madinah Munawwarah. Beliau berumur 22 atau 23 tahun ketika berlakunya peristiwa Karbala dan Beliau lebih muda (adik) daripada saudara lelakinya yang telah syahid, Ali Akbar as. berasaskan pendapat ramai ulama’ Islam.Kehidupan kemasyarakatan, kebudayaan, politik dan ilmu Imam Sajad as. merupakan harta yang berharga yang dapat dikaji. Salah satu daripada sejarah hidup Imam Sajad as. adalah hadirnya beliau didalam peristiwa pergerakan Karbala dan kebangkitannya.Kebangkitan besar Asyura adalah kebangkitan yang paling kekal dan diingati dimana telah berlaku pada Muharram, tahun 61 Hijrah. Pergerakan ini mempunyai dua peringkat. Peringkat permulaan adalah penciptaan, pembentukan, jihad, pengorbanan jiwa dan pertahan kemuliaan Islam dan jemputan kepada perlaksanaan keadilan serta menghidupkan agama Muhammadi, sunnat dan sirah Nabawi dan Alawi yang dipimpin oleh Imam Husain as. yang bermula dari pertengahan bulan Rejab, tahun 60 Hijrah dan berakhir pada 10 Muharram, tahun 61 Hijrah. Walau bagaimanapun, peringkat kedua adalah zaman menyampaikan dan membuktikan kepentingan-kepentingan pergerakan jihad budaya (akhlak) serta zaman menerangkan kepentingan berlakunya pergerakan tersebut dimana ia dipimpin pula oleh Imam Ali ibnil Hussain as.



Saksi Peristiwa

Tidak ada lagi syak berkenaan hadirnya Imam Sajad as. didalam Kebangkitan Husaini. Tetapi aktiviti kemasyarakatan dan politik Imam Sajjad as. pada permulaan pergerakan ini tidak terdapat banyak sumber daripada sejarah berkenaannya, yakni dari pertengahan Rejab, titik permulaan pergerakan Karbala sehinggalah malam kesepuluh Muharram, malam terakhir kehidupan Imam Husain as. tidak banyak sumber yang dapat kita temui didalam; apa yang ada didalam sejarah adalah selepasnya. Aktiviti kemasyarakatan dan politik yang pertama Imam Sajad as. didalam pergerakan Husaini berhubungkait dengan malam Asyura. Beliau as. sendiri telah bersabda :
Pada malam Asyura, Ayahku telah menyeru semua pembantu-pembantunya untuk datang ke sisi Beliau as.. Aku yang dalam keadaan sakit juga turut hadir bagi mendengar apa yang ingin diucapkannya. Ayahku telah bersabda: Aku bersyukur ke Hadrat Ilahi dalam setiap kegembiraan dan kesedihan.......Aku tidak mengenal pembantu yang terbaik dan paling setia daripada sahabat-sahabatku dan aku tidak mengenal keluarga yang paling taat dan yang paling mengekalkan silaturrahim selain daripada Ahlul Baitku. Tuhan berikan balasan yang terbaik buat kamu semua. Aku mengetahui bahawa esok kita akan berperang dengan mereka. Aku memberikan kamu keizinan dan aku kembalikan bai-at yang telah kamu berikan kepadaku supaya kamu dapat menggunakan waktu yang masih gelap malam ini untuk mencari jalan menjauhi tempat berbahaya ini, serta bawalah setiap dari kamu salah seorang daripada Ahlul Baitku.Berpisahlah di pelbagai negeri sehingga Allah menentukan nasib-nasib kamu.

Imam Ali ibnil Hussain as. yang juga tidak sihat pada malam tersebut, turut mempertahankan malam terasing itu. Dengan matanya sendiri Beliau melihat ketinggian ruh Husain as. serta ketinggian dan kesetiaan para sahabat dan menyediakan dirinya bagi hari-hari yang perit dan pilu yang akan datang.

Selepas Peristiwa

Berakhirnya peristiwa berdarah Karbala adalah pada asar hari Asyura dengan kesyahidan Sayyidus Syuhada as. dan para sahabat setianya serta bermulalah peringkat kedua Pergerakan Husaini dengan dipimpin oleh Imam Ali yibnil Husain as.Sekarang adalah tanggungjawab Imam Sajjad as. untuk memastikan pasukan tentera Husaini dengan pakaian jihad, tawanan dan dengan bentuk perbahasan dan nasihat yang terbaik supaya sampai kepada semua. Menunjukkan jalan kepada rakyat yang mengikut dan mentaati pemerintahan Bani Umayah kepada Islam yang sebenar, Islamnya Muhammad dan Ali serta Islamnya Quran.Tanggungjawab berat untuk menyampaikan syiar Asyura ditanggung oleh Imam Sajjad as. dan para arif. Beliau as. merupakan orang yang membentuk cara lain bagi menerangkan masalah kepimpinan dan Imamah, keperluan mengenal Imam yang adil, tanda-tanda Imam yang adil, tanda-tanda pemerintah yang fasad dan kejam, serta menyedarkan rakyat yang leka dan lalai tentang tanggungjawab mereka terhadap pemerintah yang adil dan kepentingannya kepada kemaslahatan masyarakat pada zaman yang tidak ada lagi harapan untuk menang dengan pergerakan bersenjata.

Beliau as. mengajar tentang pemikiran asli Islam supaya dapat menghidupkan hati setiap orang, harapan membina sebuah pemerintahan Islam dengan wasilah Keluarga Wahyu. Dari pandangan lain, Beliau as. sendiri merupakan saksi peristiwa Karbala dan mempunyai kesabaran dan kekuatan sehingga dapat membina ingatan peninggalan pergerakan Asyura dalam kehidupan masyarakat Islam. Musuh pada setiap zaman juga telah memahami bahawa markaz asli pergerakan-pergerakan dan penentangan-penentangan para penegak keadilan rakyat adalah Wilayah dan Imamah. Tujuan surat Ubaidullah Bin Ziyad yang telah diriwayatkan: “ Jangan biarkan walau seorang daripada putera Keluarga Husain as. untuk hidup”. Malah telah diriwayatkan bahawa Ubaidillah telah menyediakan ganjaran bagi menangkap dan menghantar Beliau as. kepada pengikut Ibnu Ziyad.Hamid Bin Muslim, orang yang meriwayatkan peristiwa Karbala berkata: Para askar telah menuju ke arah Ali ibnil Hussain dimana Beliau as. dalam keadaan sakit. Syimr berkehendak untuk membunuhnya, kerana Ibnu Ziyad telah memberi arahan untuk membunuh semua lelaki keluarga Hussain as. Aku telah menghalangnya dan berkata Subhanallah! Kamu hendak membunuh kanak-kanak dan orang sakit? Ketika itu, Umar Bin Saad sampai dan berkata : jangan apa-apakan orang sakit ini.

“MEREKA BERKEHENDAK UNTUK MEMADAMKAN CAHAYA ALLAH DENGAN MULUT MEREKA TETAPI ALLAH -MALAH MENGHAMPAKAN ORANG KAFIR- AKAN MENYEMPURNAKAN CAHAYANYA”

Abu Hamzah Thumali telah meriwayatkan dari Imam Baqir as. yang bersabda : Kerana telah sampai waktu kewafatan Hadrat Ali ibnil Hussain as., maka Beliau as. telah mendakapi aku ke dadanya dan bersabda : Puteraku, aku mewasiatkan kamu satu perkara dimana ia telah diwasiatkan padaku oleh ayahku ketika kewafatannya. Beliau as. telah bersabda sucikanlah dirimu daripada kezaliman keatas orang yang menentangmu, sesungguhnya hanya Tuhan adalah penolongmu dan jangan sesekali mengotorkan diriMu dengannya.

Diriwayatkan dari Hadrat Abil Hasan as. bahawa Imam Sajad as. ketika hampir wafat telah tidak sedarkan diri. Beberapa ketika kemudian Beliau as. telah sedar dan membaca Surah Waqiah dan Surah Fath dan bersabda : Syukur kepada Allah yang menyempurnakan janjinya dan memberi ganjaran kepada kami dengan syurga dan kami memilih tempat tinggal mengikut apa yang kami ingini di setiap tempat di syurga. Kemudian Beliau as. membaca ayat 74, Surah Zumar : “Maka betapa baiknya balasan orang yang mengamalkan”Kemudian Beliau as. pun wafat. Imam Sajad as. telah syahid pada 12 (atau 18 atau 25) Muharram tahun 95(atau 94) Hijrah ketika berumur 55 tahun kerana diracuni oleh Walid Bin Abdul Malik. Imam as. telah dimakamkan di perkuburan Baqi’ di Madinah Al-Munawwarah,di perkarangan kubur Pakciknya, Imam Hasan Mujtaba as. yang mana sekarang kubur-kubur suci empat Imam Ma’sum as., Imam Hasan Mujtaba as., Imam Zainal Abidin as., Imam Muhammad Baqir as. dan Imam Jaafar Sodiq as. bersebelahan satu sama lain.





Imam Sajad as. : Tuhanku, berikanku kekuatan supaya aku mampu menang ke atas orang yang menzalimiku, berikanku lidah yang lancar supaya aku dapat menewaskan orang yang menentangku dengan makam hujah-hujah dan dalil-dalil, dan kurniakan aku pengetahuan untuk mengalahkan kelicikan pemikiran musuh, serta mematahkan kekuatan orang yang zalim dari kezaliman.

Di antara kata-kata muatiara Imam Ali Zainal Abidin :
1: “Berfikirlah dan berbuatlah sesuatu sesuai tujuan penciptaanmu kerana Allah tidak menciptakan dirimu secara sia-sia”
2: “Janganlah engkau memusuhi seseorang yang menurut sangkaanmu tidak akan membahayakanmu dan janganlah engkau enggan untuk berteman dengan seseorang yang menurut anggapanmu tidak akan membawa manfaat untukmu”
3: “Seandainya manusia itu menyedari kemuliaan mencari ilmu maka mereka akan mencarinya walaupun harus menumpahkan darah atau mengarungi ombak lautan”
4: “janganlah berbohong baik yang kecil atau yang besar dan dalam keadaan sengaja mahupun hanya gurauan sahaja”

Thursday, January 8, 2009

Wednesday, January 7, 2009

kejam!



*Gambar : Menyayat hati... Mayat seorang kanak-kanak perempuan yang hanya nampak kepala ditemui di bawah runtuhan rumahnya yang musnah akibat serangan tentera Zionis di Gaza.

Cinta Asyura dan Karbala




Oleh HELMI MOHD. FOAD
(WARTAWAN UTUSAN)

PADA 1 Muharam setiap tahun, umat Islam merayakan sambutan Maal Hijrah, bergembira atas kehadiran tahun baru dalam kalendar Islam. Sambutan itu tidak disebut dalam al-Quran atau nas Sunah Nabi secara terus terang tetapi ia tetap dianggap perayaan umat Islam. Ironinya umat Islam masih lebih cenderung meraikan secara berlebihan-lebihan tahun baru Masihi baru-baru ini termasuk dicemari perbuatan songsang lantas mencemarkan kemuliaan Muharam. Kemuliaan Muharam yang pada hari itu kita berselawat memuji-muji Rasulullah - satu amalan yang diperintah Allah. Kita alunkan nasyid-nasyid seperti Talaal Badru Alaina bagi mengingati kembali betapa gembira kaum Ansar menyambut kehadiran Rasulullah bersama Muhajirin di Madinah. Hijrahnya Rasulullah, menandakan tamatnya segala penindasan ke atas golongan mustadafin (tertindas dan lemah) lantas membuka era baru perkembangan Islam - darinya juga bermula sebuah negara yang berlandas pimpinan Ilahiah. Namun bulan Muharam juga mengingatkan kita peristiwa besar yang terjadi dalam sejarah tamadun manusia selepas Rasulullah iaitu 10 Muharram 61 Hijrah yang menyaksikan cucu kesayangan baginda, Hussin bin Ali bersama rombongannya terbunuh di Karbala.
Jika Maal Hijrah, umat Islam bergembira, peristiwa 10 Muharam pula disaduri dengan kesedihan. Tetapi apabila disebut kita sambut 10 Muharam dengan ingatan pada peristiwa Karbala, ia sering kali dianggap suatu yang asing, sesat lagi menyesatkan. Benarkah begitu?Kerana ia selama ini disambut dengan penuh emosi oleh pengikut Syiah dan Ahlul Bait tetapi tidak di sisi pengikut sunni amnya. Bagaimanapun tradisi di rantau ini yang Sunni begitu rapat dengan Asyura sebagaimana rapatnya masyarakat sebelah sini dengan ritual seperti tahlil dan marhaban yang didatangkan dari Hadratulmaut.



Semuanya dikaitkan dengan ingatan terhadap Ahlul Bait.
Bergantung kepada budaya setempat, Asyura (versi Syiah?) disambut seperti di ibu kota Teheran, Iran; Karbala di Iraq; Lucknow, India dan Nabatiye, selatan Lebanon, malah tidak ketinggalan di serata tempat termasuk Malaysia. Hari mereka berdukacita dari 1 Muharam sampailah kepada 10 Muharam dan ia berlanjutan selama 40 hari perkabungan (Arbaen).
Ya, semua itu tiada dalam al-Quran dan Hadis nabi secara berterus terang sebagaimana sambutan Maal Hijrah. Tetapi peristiwa penjarahan kejam terhadap Hussin, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya oleh tentera Umar bin Saad di Karbala membuka lembaran sejarah kepada umat.Ia tidak seharusnya menjadi milik Syiah semata-mata tetapi ia milik seluruh umat yang cintakan perdamaian dan kebencian pada kezaliman. Kerana Ahlul Bait adalah warisan tinggalan Rasulullah buat pegangan seluruh umat selepas al-Quran. Menyambut 10 Muharam dengan mengingati Hussin bukan bererti kita semua menjadi Syiah atau Rafidhah (sesat). Tetapi mengingati kesyahidannya di Karbala adalah sebahagian rasa cinta dan sayang pada belahan jiwa Rasulullah itu. Sedih Sebagaimana yang diulang sebut dalam tahlil kita, ''Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai Ahlul Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya" (al-Ahzab:33). Justeru wajarkah manusia-manusia yang dibersihkan oleh Allah itu dibunuh kejam. Layakkah insan yang dikasihi Nabi diperlakukan sebegitu rupa. Umat apakah kami ini, ya Allah? Jadi wajarkah kita tidak mempunyai secebis rasa sedih meskipun tidak beremosi bila mengenangkan sejarah hitam itu.
Ketika Hussin menyaksikan dengan matanya, Ali Akbar dipanah dalam keadaan tekaknya kering kehausan. Tidak cukup itu, bayi kecil, Ali Asghar yang merengek-rengek perlukan air tetapi panah pula yang dilayang ke tubuhnya. Bagi mereka yang begitu rapat dengan sejarah itu, emosinya membuak-buak, linangan air mata tidak dapat dibendung. Kadang kala kerana faktor budaya setempat, ada yang terdorong melukakan badan mereka, mungkin ingin merasai penderitaan Hussin dan keluarganya. Apa peliknya jika Presiden, Gamal Abdul Naser mati dibunuh Khalid Islamboli, ada juga orang Mesir meratap hingga membunuh diri, inikan cucu Nabi yang dibunuh. Jadi tidak mustahil ada yang bertindak terlalu emosi dan meluahkan segala-galanya. Namun wajarkah mereka yang dikatakan sebagai pengamal bidaah itu dihapuskan dan dihalalkan darah mereka dengan aksi letupan bom sebagaimana sering terjadi di Pakistan dan juga Iraq apabila golongan Syiah beramai-ramai keluar menyambut Asyura secara terbuka selepas puluhan tahun dihalang rejim Saddam Hussein. Seharusnya umat Islam kini tidak lagi dibebankan dengan pertelingkahan sejarah lama. Ketika ada yang marah kerana sambutan Asyura, sebenarnya Karbala moden sedang berlaku dan Asyura terus menangis.
Bumi Gaza dibedil, dijarah sejak 27 Disember lalu. Serangan darat yang telah dimulakan oleh tentera Zionis tidak mengenal kanak-kanak, bayi dan wanita. Sasarannya membabi buta - masjid, hospital dan pasar. Tentera rejim itu tiada bezanya dengan kejamnya Umar bin Saad atau Syamir bin Dzi Al-Jausyan ketika di Karbala.




Keadaannya juga sama, jika tiada seorang pun penduduk Kufah yang berani melawan kezaliman tentera Umayyah untuk menyelamatkan Hussin yang sepatutnya mereka baiah sebagai pemimpin dan ikutan.Begitu juga Gaza, tiada penguasa atau negara yang mampu melawan Israel. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak mampu berbuat apa-apa meskipun Palestin adalah isu yang melibatkan sama ada Sunni atau Syiah.
Kita hanya mampu berdemonstrasi, melaung-laungkan ''Jahanam-jahanam Israel, Hidup-Hidup Islam' atau Hancur Amerika! dan setidak-tidaknya hulurkan bantuan kemanusiaan. Itu semua sekadar tindakan ad-hoc untuk Palestin.
Selepas itu, masing-masing pulang ke rumah boleh bersuka ria dan bergelak ketawa di bulan Muharam ini. Tetapi Asyura membuatkan penderitaan Palestin terasa dekat di hati. Ahli sejarah al-Makrizi dalam al-Khuthath sebagaimana yang dipetik dari tulisan Jalaluddin Rakhmat menyebut; ''Dinasti Fatimiah di Mesir menjadikan Asyura sebagai hari dukacita (mengenang kematian Hussin di Karbala)… Ketika Bani Ayub merebut Mesir, mereka menjadikan hari itu hari gembira… Melanjutkan tradisi orang Syam yang dirintis oleh Al-Hajjaj pada zaman Abdul Malik bin Marwan.''Untuk catatan sepanjang ratusan tahun Hijrah, mimbar masjid di zaman Umaiyah disuruh mengutuk Imam Ali sehinggalah ia ditamatkan oleh Khalifah Umar al-Abdul Aziz yang mengubahnya kepada kalimah ''Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu kepada keadilan dan ihsan.''
Jalaluddin dalam bukunya, Meraih Cinta Ilahi,Pencerahan Sufistik mengungkapkan setiap kali Asyura, pengikut Ali di Karbala merekonstruksi peristiwa itu dan merintih penuh nestapa. Mereka berteriak, ''Setiap hari adalah Asyura dan setiap bumi adalah Karbala. Kita baca ungkapan itu sebagai ''Setiap hari adalah perjuangan dan di mana saja kita berpijak itulah bumi perjuangan," Selawat…




Kezaliman
Lantas Asyura bukan sekadar menjadi lambang penentangan kezaliman pemerintah dalam dinasti Umaiyah. Memandangkan Khilafah ketika itu mendokong aliran sunnah maka ada pihak yang menganggap sambutan Asyura adalah lambang penentangan kepada sunni. Namun sebenarnya Asyura adalah sumbu penolakan kepada sebarang kekejaman dan penindasan ke atas mustadafin. Gelombang semangat Asyura jugalah satu ketika dulu menumbangkan Syahansyah Reza Pahlawi atau Shah Iran oleh pendukung garisan Imam Khomeini, meskipun raja segala raja itu adalah Syiah. Sambutan Asyura tahun demi tahun itulah menyalakan semangat penentangan ke atas tentera Israel oleh Hizbullah, pimpinan Hassan Nasrallah yang mengisytiharkan kemenangan dalam perang 34 hari dengan rejim itu pada 2006. Dan Hizbullah secara jelas mengiktiraf kepimpinan wilayah al-faqih di Iran. Dengan semangat menentang kezaliman itulah juga Presiden George Bush dimalukan oleh wartawan, Muntazer al-Zaidi, seorang Syiah dengan lontaran jamrah 'kasut but' saiz 10 itu. Oleh itu, apabila membaca sejarah Karbala, ia sebenarnya terlalu dekat dengan apa yang telah berlaku sekarang dan mengajak kita berfikir bagaimana harus dilakukan untuk merubah nasib umat. Asyura adalah menyatakan rasa sedih dan meluahkan kecintaan mendalam pada Hussin dan ahli keluarganya, sebagaimana Nabi pernah menyatakan rasa sedemikian rupa pada cucunya itu.