Popular Posts
-
Kami ucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia buat semua. Hari ini adalah hari yang penuh bahagia dan keberkatan,hari yang mengilhamkan nilai-ni...
Monday, September 8, 2008
Bulan Ramadhan Al Mubarak
Segala puji-pujian hanya bagi Allah swt. Tuhan sekelian alam, yang menjadikan setiap sesuatu dengan hikmahNya.Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad (saww) dan kepada keluarganya yang ma’sum yang terpelihara daripada segala noda kekotoran dan dosa yang merupakan pelaksana agama Islam dan yang mengembangkan ajaran ini ke seluruh pelusuk alam.
Bulan Ramadhan adalah bulan yang kesembilan dari bulan Qamariah dalam kalender Islam.Di dalam Al-Quran, bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang disebut berbanding bulan-bulan Qamariah yang lain(1).Dan ini adalah salah satu kelebihan dan keutamaannya atas bulan-bulan Qamariah yang lain dimana telah terdapat nama bulan Ramadhan didalam ayat 185 surah Al-Baqarah.Kalimah Ramadhan merupakan nama salah satu daripada nama-nama Tuhan dan tidak sepatutnya disebut Ramadhan tanpa menyebut bulan (Ramadhan).Hisham B. Salim telah meriwayatkan daripada Sa’ad yang berkata :Kami lapan orang telah bersama Imam Baqir (alaihissalam) dan ketika itu kami teringat tentang Ramadhan dan bercakap mengenainya.Imam Baqir (as) telah bersabda:Janganlah menyebut sekarang adalah Ramadhan,Jangan menyebut Ramadhan telah pergi dan Ramadhan telah datang.Kerana Ramadhan adalah nama salah satu daripada nama-nama Ilahi dimana ia tidak datang dan tidak pergi.Berkata datang dan pergi untuknya adalah salah, hanya sesuatu yang boleh hilang dan musnah, datang dan pergi.Dan Imam (as) menyambung dan bersabda :Bahkan hendaklah menyebut bulan Ramadhan,maka tambahkanlah bulan ketika menyebut bulan Ramadhan kerana Ramadhan tersebut adalah nama Tuhan (2).
Terdapat banyak sekali riwayat daripada para Ma’sumin (alaihimussalam) yang telah sampai kepada kita yang bersangkut-paut dengan masalah ini dimana Al-Marhum Kulaini dalam Furu’i Kaafi telah meletakkan satu bab tersendiri berkenaan masalah ini dengan tajuk (Bab pelarangan menyebut Ramadhan tanpa kalimah bulan) (3).Al-Marhum Hur Amili juga didalam kitab As-Shaum Wasailush Shiah,terdapat satu bab dengan tajuk : Bab (Makruh menyebut Ramadhan tanpa menambah kalimah bulan, dan tidak haram menyebut Ramadhan sahaja serta kaffarah menyebut Ramadhan sahaja) dalam satu riwayat didalam Biharul Anwar dan Wasailush Shiah dari Imam Musa B. Jaafar (as) dari ayah-ayah beliau dari sabda Imam Ali (as) dimana terdapat kaffarah menyebut Ramadhan tanpa menambah kalimah bulan,iaitu hendaklah memberi sedekah dan berpuasa (4).Dari Ulama-ulama Umum (Ahlus Sunnah) juga terdapat riwayat-riwayat daripada Rasulullah (sollallahu ‘alaihi wa aalihi wasallam) berkenaan perlarangan menyebut Ramadhan sahaja (5).Selain daripada dua kelebihan bulan Ramadhan yang telah disebutkan, bulan Ramadhan mempunyai kelebihan-kelebihan dan keutamaan-keutamaan dan ciri-ciri luar biasa dimana untuk mengiranya memerlukan kajian yang meluas dan buat masa sekarang, tidak mungkin dapat memuatkan semuanya dalam waktu yang singkat dan dalam hanya satu artikel.
Oleh sebab itu, didalam artikel ini hanya mengisyaratkan sebahagian daripada keutamaan-keutamaan dan penerangan-penerangan daripada riwayat-riwayat dan hadis-hadis Ma’sumin (as).Antara nama-nama bulan Ramadhan daripada riwayat Ma’sumin (as) adalah :
Bulan Allah
Walaupun sesuatu masa dan tempat dari pandangan maknawi tidak ada perbezaan dari segi zat antara satu sama lain,tetapi dengan perantaraan sesuatu perkara, sebuah tempat seperti Kaabah atau masjid-masjid, atau satu masa seperti bulan Ramadhan dan khususnya Lailatul Qadar, telah menemui nilai yang tinggi, keutamaan dan kepentingan serta menjadi mulia.Di antara bulan-bulan,bulan Ramadhan,Bulan Allah,adalah satu masa yang ditentukan untuk beribadah, dan bulan ini lebih menyediakan peningkatan,penyempurnaan maknawi dan mentarbiyah potensi-potensi,sikap dan tingkah-laku serta akhlak manusia kepada akhlaqullah (akhlak Allah/ketuhanan).Terdapat banyak daripada kata-kata Ma’sumin (as) yang menyebut bulan Ramadhan sebagai bulan Allah.Berdasarkan riwayat Imam Sodiq (alaihissalam),Rasulullah (saww) telah bersabda:Bulan Ramadhan adalah bulan Allah,satu bulan di mana di dalamnya terdapat banyak kebaikan, dan pekerjaan yang baik mendapat berlipat kali ganda pahala (6).Rasul Islam, Nabi Muhammad (saww) dalam beberapa riwayat,mengatakan Syaaban adalah bulanku dan bulan Ramadhan adalah bulan Allah (7).
Imam Zainal Abidin (alaihissalam) dalam doa wida’(perpisahan) dengan bulan Ramadhan dalam (Shahifah Sajjadiyah) bersabda : (Assalamualaika Ya Shahrullahul Akbar Wa Ya ‘Aid Auliyauh) Salam keatasmu wahai bulan Allah yang termulia dan wahai hari perayaan (hari raya dan kegembiraan) bagi pencinta-pencintanya Allah.Imam Jaafar Sodiq (as) bersabda:Bulan Ramadhan adalah bulan Allah,didalam bulan ini perbanyakkanlah berzikir kepada Allah dengan zikir Lailahaillallah, Allahu Akbar,Alhamdulillah dan Subhanallah (8).
Bulan Sabar
Daripada kata-kata Ma’sumin (as),bulan Ramadhan adalah bulan sabar.Rasulullah (saww) ketika menerangkan tentang bulan Ramadhan bersabda: bulan Ramadhan adalah bulan sabar, dan pahala sabar adalah syurga(9). Amirul Mukminin Ali B. Abi Talib (as) bersabda: puasa bulan sabar (bulan Ramadhan) dan puasa tiga hari dalam setiap bulan,akan mengeluarkan keburukan, kesedihan dan was-was daripada hati (10).Bersabda Rasulullah (saww) dalam hadis Qudsi: Semua amalan bani Adam mempunyai 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda pahala,kecuali sabar dimana dikhususkan untuk aku dan aku yang memberi pahala untuknya.Rasululullah (saww) meneruskan : maka pahala sabar hanya diketahui oleh Allah,dan Rasulullah (saww) mengakhiri dengan bersabda : makna sabar adalah puasa(11).Al-Marhum Allamah Thabathabai telah menulis : setiap kali Rasulullah (saww) berhadapan dengan perkara yang sedih dan dukacita, maka Baginda (saww) akan menunaikan solat dan berpuasa bagi membantu melawan kesedihan dan dukacita tersebut(12).Sabar dalam kehidupan seseorang dan kehidupan masyarakat setiap manusia adalah satu keperluan,sabar bagi agama umpama pentingnya kepala bagi badan.Seperti mana manusia tanpa kepala adalah bukan manusia dan tidak berguna, agama juga tanpa sabar dan istiqamah adalah bukan agama dan iman(13).
Bulan Ramadhan adalah jalan yang bersambung kepada sabar,ujian sabar dan penguatannya.Dalam bulan Ramadhan, manusia berlawan dengan hawa nafsu dan tidak boleh menikmati keinginan diri, yang membina dan meningkatkan manusia dan dapat mengetahui bahawa selama ini telah meletakkan tujuan hidup yang bagaimana?adakah kebendaan dan kebinatangan.Menjauhkan diri daripada keinginan-keinginan, menjauhkan diri daripada makan dan minum dalam bulan Ramadhan dalam keadaan perkara-perkara tersebut pada bulan-bulan yang lain bukan sahaja halal dan dibenarkan bahkan adalah mustahab (sunat),puasa merupakan senaman dan ujian yang menguatkan kemampuan manusia,membiasakan diri dan dapat mengatasi nafsu sendiri.Manusia dengan puasa didalam bulan Ramadhan, dapat membiasakan diri dengan sabar sehingga di dalam kehidupan dan masyarakat, tidak akan kalah apabila berdepan dengan masalah dan kesusahan.Puasa adalah kesabaran yang panjang dengan memisahkan diri daripada kebiasaan-kebiasaan terpenting manusia.
Bulan Bekerjasama
Rasulullah berkenaan bulan Ramadhan telah bersabda : Bulan Ramadhan adalah bulan bekerjasama(14).Tolong –menolong, bantu-membantu, bekerjasama dan meninggalkan harta dan kekayaan.Bulan Ramadhan adalah bulan sama-sama merasakan seperti orang faqir, miskin, orang yang kelaparan,kehausan,dhaif dan lemah.Semua manusia yang berharta dan faqir adalah sama dalam lapar dan dahaga.Semua mereka dalam keadaan berpuasa tidak makan dan tidak minum, dan ini adalah satu jalan bagi orang umum khususnya orang berharta, berduit dan kaya untuk sama-sama memahami dan mendalami lapar dan dahaga faqir miskin dan memikirkan mereka,sama-sama dalam kesedihan dan dukacita mereka,menolong mereka atau membantu mereka dengan harta kekayaan sendiri,membayar hak-hak mereka dan tidak meninggalkan khumus dan zakat.
Terdapat banyak riwayat berkenaan ini dimana falsafah diwajibkan puasa adalah orang yang kaya sama-sama merasakan dan menolong yang miskin dan faqir.Hisham B. Hakam telah bertanya kepada Imam Jaafar Sodiq (as):Apakah falsafah diwajibkan puasa?Imam dalam menjawab telah bersabda:Tuhan telah mewajibkan puasa supaya orang yang kaya sama dengan yang faqir kerana orang yang kaya tidak merasa sakit kelaparan untuk berbuat baik kepada yang miskin dan dapat memperoleh apa sahaja yang diinginkan,maka Allah Taala berkehendak untuk menyamakan diantara manusia dimana orang yang kaya dapat merasai lapar supaya mereka membantu yang lemah dan faqir serta berbuat baik kepada orang yang kelaparan(15).Fadhl B. Shazan berkata, Imam Ridha (as) bersabda :Manusia diberikan puasa supaya dapat mengenali kelaparan dan kehausan serta memikirkan keadaan susah di akhirat nanti............, (memahami dan merasakan kesusahan dan kelaparan faqir miskin supaya menunaikan hak-hak yang telah diwajibkan oleh Allah keatas harta-harta mereka(16).Rasulullah (saww) dalam sabdanya mengatakan bulan Ramadhan adalah musim bunga bagi orang-orang faqir (17)adalah hakikat bulan Ramadhan adalah musim bunga bagi orang faqir kerana semua orang adalah sama seperti orang faqir pada hari puasa.Musim bunga bagi orang yang susah kerana orang umum sama-sama memahami dan merasai kesakitan dan kesusahan mereka.
Rujukan:
1)Thabathabai, Muhammad Husain, Al-Mizan, Muassasah Al-‘A’lami Lilmathbu’at, m1973, j2, m/s12. 2)Majlisi, Biharul Anwar, Muassasah Aufa, Beirut, Lubnan, j96, m/s376. 3)Kaafi, j4, m/s69. 4)Wasailush Shiah, j7, m/s 332. 5)Muhammad Rei Shahri, Muhammad, Mizanul Hikmah, Intisharat Daftar Tablighat Islami Hozeh ‘Ilmiyah Qum, Cetakan Pertama 1362 Hijrah Shamsiah, j4, m/s176 diriwatkan daripada Kitab Kanzul ‘Amal. 6)Bihar, j96, m/s340. 7)sama, m/s 356 dan 364. 8)sama, m/s 381. 9)Wasailush Shiah, j7,m/s222 – Kaafi, 4,m/s66. 10)Bihar, j96, m/s341. 11)Bihar, j96, m/s254 12)Thabathabai, Muhammad Husain, Sunanun Nabi, m/s30. 13)Fidhul Islam, Tarjemah dan Syarahan Nahjul Balaghah, Hikmat79,m/s1123. 14)Man La Yahdhuruhul Faqih, j2, m/s95. 15)sama, m/s73. 16)Wasailush Shiah, j7, m/s4. 17)sama, m/s231.
Firman Allah swt didalam Al-Quran berkenaan wajibnya berpuasa di bulan Ramadhan:
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.(Al-Baqarah:183)
Firman Allah swt. berkenaan Larangan atau wajib meninggalkan puasa bagi yang sakit dan yang bermusafir:
Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, kemudian hendaklah ia berpuasa (ganti) pada hari-hari yang lain; dan hendaklah atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.Barangsiapa yang dengan kerelaan hati melakukan kebajikan,maka itulah yang lebih baik baginya,dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.(Al-Baqarah:184)
Firman Allah swt. berkenaan waktu imsak dan berbuka puasa:
Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka(kedua-duanya adalah hiasan bagi selainnya dan memelihara satu sama lain). Allah mengetahui bahawasanya kamu telah mengkhianati diri sendiri (dan kamu telah melakukan perkara yang dilarang), lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam; dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.(Al-Baqarah:187)
Antara Doa-doa yang dianjurkan pada bulan Ramadhan: Imam Jaafar Sodiq(as) dan Imam Musa Kazim(as) bersabda : “Hendaklah kamu membaca doa ini dari awal bulan Ramadhan hingga akhir, selepas setiap solat fardu.”
Ya ‘Aliyyu Ya ‘Azhimu Ya Ghafuru Ya Rohim,AntarRabbul ‘Azhimul lazi laisa kamislihi syai-un,wa Huwas Sami’ul Bashir,wa haza shahrun ‘azhzhamtahu wakarramtahu, washarraftahu wafadholtahu ‘alash syuhur,Wa huwash shahrul lazi anzalta fihil quran,wahudal linnasi wa bayyinatim minal huda wal furqon,wa ja’alta fihi lailatal qadr,wa ja’altaha khairam min alfi shahr, faya zal manni wala yumannu ‘alaika,munna ‘alayya bifakaaki roqobati minan naari fiman tamunna ‘alaihi,wa adkhilnil jannata birahmatika Ya Arhamar Rahimin.
Wahai Yang Maha Mulia, wahai Yang Maha Agung, wahai Yang Maha Pengampun, wahai Yang Maha Pengasih. Engkau Tuhan Yang Agung, tiada sekutu bagi-Nya, Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Bulan ini adalah bulan yang Engkau agungkan dan Engkau muliakan di atas semua bulan, bulan yang Engkau wajibkan padaku berpuasa, bulan Ramadhan yang di dalamnya Engkau turunkan Al-Qur’an petunjuk bagi manusia, keterangan dari petunjuk dan penjelasan; di dalamnya Engkau turunkan malam Lailatul Qadar, dan Engkau jadikan malam itu lebih baik dari seribu bulan. Untuk itu, wahai Yang Memiliki kurnia dan tidak dikurniai, berikan padaku kurnia-Mu keselamatan dari api neraka seperti kurnia orang yang telah Engkau beri kurnia, dan masukkan aku ke syurga dengan rahmat-Mu wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.
(Mafatih Jinan : bab 2)
Rasulullah (saww) bersabda : Barangsiapa yang membaca doa ini pada bulan Ramadhan selepas setiap solat fardu, adalah hak Allah Taala untuk mengampunkan dosa-dosanya sehingga hari Qiamat, dan ini adalah doanya:
Allahumma adkhil ‘ala ahlil quburis surur,Allahumma aghni kulla faqir,Allahumma ashbi’ kulla ja-i’,Allahummaksu kulla ‘uryan,Allahummaqdhi daina kulli madin,Allahumma farrij ‘an kulli makrub,Allahumma rudda kulla gharib,Allahumma fukka kulla asir,Allahumma ashlih kulla faasidim min umuril muslimin,Allahummashfi kulla maridh,Allahumma sudda faqrona bighinak,Allahumma ghaiyir su-a halina bihusni halik,Allahummaqdhi ‘annad daina wa aghnina minal faqri innaka ‘ala kulli syai-in qadir.
Ya Allah, masukkanlah kebahagiaan kepada penghuni kubur. Ya Allah, kayakanlah setiap yang faqir. Ya Allah, kenyangkanlah setiap yang lapar. Ya Allah, berikanlah pakaian setiap yang tidak berpakaian. Ya Allah, tunaikanlah hutang setiap yang berhutang. Ya Allah, bahagiakanlah setiap yang menderita. Ya Allah, kembalikanlah setiap yang terasing.Ya Allah, bebaskanlah setiap yang tertawan. Ya Allah, perbaiki setiap yang rosak dari urusan kaum muslimin. Ya Allah, sembuhkanlah setiap yang sakit. Ya Allah, kayakanlah kami dengan kekayaan-Mu. Ya Allah, ubahkanlah keburukan keadaan kami dengan kebaikan keadaan-Mu. Ya Allah, tunaikan hutang kami dan kayakan kefaqiran kami. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Taqabbalallahu minkum
Selamat Menjalani Ibadah Puasa dan InsyaALLAH segala amal ibadah kita diterima disisi Allah Swt.
Eltimasi Doa
Sekian, Wassalam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment