Popular Posts

Thursday, March 24, 2011

Kelebihan Orang Mu’min



Kemuliaan Dan Ganjaran Yang Di Jamin oleh Allah SWT Kepada Mu’min

Zurarah bin A’ayan berkata dia bersama Imam Ja’far al-Sadiq 'Alaihissalam ketika datang seseorang menemui Imam bertanyakan ayat Qur’an:

“Sesiapa yang datang dengan amal baik, akan diberikan balasan pahala sepuluh kali ganda.” (6:166)

Orang itu bertanya Imam sama ada ayat ini juga ditujukan kepada mereka yang tidak percaya kepada Imamah. Imam 'Alaihissalam menjawab,”Tidak ia hanya dikhususkan untuk mereka yang beriman kepada Imamah Imam-imam dari keluarga Nabi sahaja.”

Yaqoob bin Shuaib berkata dia mendengar Imam Ja’far al-Sadiq 'Alaihissalam berkata,”Tidak diberikan ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada seseorang melainkan orang-orang mu’min yang sebenarnya.”

Imam Ja’far al-Sadiq 'Alaihissalam berkata,”Apabila seorang mu’min yang sebenarnya melakukan amal kebajikan, ganjaran pahala baginya akan bertambah tujuh puluh kali kerana Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman dalam kitab suciNya,

“Allah menambahkan balasan kepada mereka yang Dia kehendaki.”(2: 261)

Orang Mu’min Adalah Cahaya Syurga

Imam yang sama 'Alaihissalam berkata,”Cahaya orang mu’min terang benderang di syurga seperti bintang berkerlipan ke bumi. Orang mu’min adalah ‘teman’ Allah. Dia (Allah) menolong mereka dan amat mengasihani mereka. Mereka tidak berkata kecuali apa yang benar dan tidak takutkan sesuatu kecuali Allah Subhanahu Wa Taala. Apabila dua orang mu’min bertemu, dan mereka berjabat tangan, Allah memberikan anugerah rahmat ke atas mereka dan dosa-dosa mereka digugurkan dari diri-diri mereka.”

Kelebihan Orang Mu’min

Imam Mohammad al-Baqir 'Alaihissalam berkata,”Sifat-sifat Allah tidak dapat dijelaskan. Bagaimana mungkin sifat-sifatNya dapat dijelaskan apabila Dia berfirman,

“Mereka tidak mengetahuiNya dengan sebenar-benarnya?” (6:90)

Maka apa yang dikatakan tentang puji-pujian ke atasNya adalah sebenarnya jauh berkurang daripada apa yang sewajarnya. Demikian juga sifat-sifat keutamaan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wa Aalih tidak dapat dinyatakan (diungkapkan dengan kata-kata) dengan sebenar-benarnya apabila Allah mengangkatnya dari bumi ke ArasyNya dan dibawa hampir denganNya dan membuatkan ketaatan kepadanya sama seperti ketaatan kepada Yang Maha Berkuasa? Allah menyatakan hal ini dalam al-Qur’an,

“Lakukan apa yang Nabi perintahkan ke atasmu dan jauhkan daripada apa yang Nabi larang kamu melakukannya.”(59:7)

Dalam hal yang sama sifat-sifat kelebihan orang mu’min yang menjadi pilihan Allah (Imam-imam dari keluarga Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih) juga tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, kerana Allah telah menghilangkan kekotoran dari mereka dan menyucikan mereka dengan sebersih-bersihnya. Begitu juga sifat-sifat kelebihan orang-orang mu’min yang menjadi pengikut Imam-imam ‘Alaihimussalam ini tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata kerana mereka ini sangat dimuliakan di hadapan Allah SWT, maka apabila dua orang daripada mereka berjabat tangan, dosa-dosa mereka pun gugur ke bumi seperti dedaun berguguran di musim luruh.”

Malik bin A’ayan al-Juhani berkata dia pergi menemui Imam Mohammad al-Baqir ‘Alaihissalam dengan harapan ingin mendapatkan penjelasan tentang mereka, tetapi sebelum dia dapat mengungkapkannya, Imam ‘Alaihissalam mula berkata perkara yang sama dan berkata,”Wahai Malik, bersangka baiklah terhadap Allah. Jangan berfikir anda telah sampai ke tahap yang sebenarnya. Sesungguhnya anda tidak dapat sampai ke hadnya ketika memuji dan mengungkapkan sifat-sifat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kerana sifat-sifat Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak dapat diungkapkan ke suatu had tertentu. Begitu juga anda tidak akan sampai ke suatu had tentang diri-diri kami dengan mengungkapkannya. Wahai Malik, anda tidak akan dapat, walau untuk mengungkapkan dengan sebenar-benarnya suatu penjelasan yang sempurna dan lengkap tentang kualiti seorang mu’min. Seorang mu’min adalah orang yang dimuliakan di hadapan Penciptanya, justeru apabila dia bertemu seorang mu’min dan berjabat tangan dengannya sebagai suatu tanda cinta dan hormat, Allah menurunkan rahmat ke atas mereka, dan dosa-dosa mereka berguguran dari diri-diri mereka sehinggalah mereka berpisah, dan apabila mereka berpisah tidak ada dosa-dosa mereka yang tertinggal. Maka, bagaimanakah anda mengetahui had kualiti orang-orang ini yang amat di muliakan dan dicintai Allah?”

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata,”Apabila dua orang mu’min bertemu, seratus rahmat turun ke atas mereka. Tetapi sembilan puluh sembilan daripada rahmat tersebut adalah untuk orang yang paling besar cintanya terhadap saudara mu’minnya itu.”

Abu Ubaidah meriwayatkan ketika dia bersama Imam Mohammad al-Baqir ‘Alaihissalam dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah. Dia berkata apabila dia berhenti untuk berehat atau memulakan perjalanan, Imam ‘Alaihissalam akan berjabat tangan dengannya. Dia bertanya Imam ;Alaihissalam mengapa hal itu dilakukannya. Imam ‘Alaihissalam berkata,”Apabila dua orang mu’min bertemu, dan berjabat tangan, dan mereka berlalu selepas itu, semua dosa-dosanya akan dihapuskan dari mereka.”

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata, “Tidak ada di kalangan makhluk yang mengetahui (dapat mengungkapkan) sifat-sifat (kebesaran dan keagungan) Allah yang sebenar-benarnya. Begitu juga tidak ada sesiapa yang dapat mengetahui (dapat mengungkapkan dengan kata-kata) sifat-sifat kelebihan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih, para Imam Ahlul Bait ‘Alaihimussalam, demikian juga sifat-sifat keutamaan orang mu’min yang menjadi pengikut Imam ‘Alaihissalam (kerana ia lebih besar daripada apa yang mereka ungkapkan).”

Safwan, penjaga unta berkata bahawa dia mendengar Imam ‘Alaihissalam berkata, “Apabila dua orang mu’min bertemu dan berjabat tangan, orang yang mempunyai rasa kasih yang lebih besar kadarnya daripada saudaranya itu adalah lebih tinggi imannya. Apabila mereka berjabat tangan dan memuji Allah semua dosa-dosa mereka diampunkan.”

Monday, March 21, 2011

Dunia Adalah Penjara Kepada Orang Mu’min



Mohammad bin Ajlan meriwayatkan bahawa ketika dia bersama Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam, datang seorang Syi’ah dari Kufah mengadu kepada Imam tentang penderitaan dan kesusahan yang dia alami. Imam ‘Alaihissalam menasihatkannya supaya bersabar dan mengharapkan semoga Allah melepaskannya dari hal tersebut. Kemudian selepas tidak berkata-kata beberapa saat Imam ‘Alaihissalam menyatakan kepada orang ini,”Katakan kepadaku tentang penjara Kufah. Apakah yang menghalang daripada memasukinya?” Orang itu menjawab bahawa ia adalah penjara kecil bawah tanah yang keadaannya amat buruk sekali.” Pada ketika ini, Imam ‘Alaihissalam berkata kepadanya,”Tidakkah anda ketahui bahawa dunia ini umpama penjara kepada orang mu’min? Maka bagaimana anda dapat mencapai kegembiraan dan kekayaan apabila berada dalam penjara?”

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata bahawa apabila Allah mencintai seseorang, Dia akan mengutuskan seorang malaikat yang memeliharanya dalam penderitaan dan sakit. Jika orang itu sembuh daripada penderitaan dan penyakit, maka dia akan mengalami penderitaan yang lebih besar lagi. Keadaan ini diwujudkan supaya dia sentiasa berpaling kepada Allah dan Allah suka kepada suaranya apabila dia berdoa.”

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata Allah mengetahui tentang orang-orang mu’min yang tidak akan tercapai kedudukan yang dikhaskan untuknya tanpa penyakit, atau kesedihan tentang anak-anaknya. Maka mereka mengalami penderitaan tersebut untuk membantu mereka mencapai kedudukan yang dikhaskan untuknya di akhirat kelak.”

Imam Mohammad al-Baqir ‘Alaihissalam meriwayatkan dari Rasulullah Sallallahu ‘Aaihi Wa Aalih bahawa dia berkata,”Sesungguhnya amat besar kemuliaan orang mu’min: apa yang Allah tetapkan untuk mereka, adalah semuanya baik untuknya. Jika dia diletakkan dalam keadaan penderitaan, dia bersabar, dan jika dia terlepas dari penderitaan itu, dia bersyukur kepada Allah.”

Imam Mohammad al-Baqir ‘Alaihissalam berkata,”Allah memberikan kesenangan nikmat dunia ini kepada mereka yang Dia cintai dan kepada mereka yang Dia benci. Tetapi kesenangan nikmat syurga hanya dikhaskan kepada mereka yang Dia cintai sahaja. Kadang-kadang seorang mu’min berdoa kepada Allah untuk mendapatkan sehasta tanah di dunia ini dan doanya ditolak. Tetapi apabila dia berdoa untuk mendapatkan kesenangan syurga, doanya tidak pernah ditolak. Sebaliknya kadang-kadang seorang kafir mendapat apa yang ia inginkan di dunia ini tetapi jika dia memohon untuk mendapatkan sehasta tanah di syurga dia tidak akan mendapatkannya.”

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata, Allah berfirman kepada orang mu’min,”Makhluk pilihanKu apabila Aku tolak kamu daripada sesuatu, Aku lakukan itu demi kepentinganmu sendiri. Maka bersabarlah mengalami penderitaan dn bersyukur di atas pemberianKu. Kamu akan di nilai sebagai salah seorang orang yang beriman.”

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata pada suatu ketika Rasulullah Sallallahu ‘Aaihi Wa Aalih tersenyum lebar di hadapan sahabat-sahabatnya dan bertanya,”Tahukan kalian mengapa aku tersenyum?” Mereka tidak tahu dan meminta Rasulullah Sallallahu ‘Aaihi Wa Aalih menyatakannya kepada mereka. “Aku fikirkan orang-orang Islam amat beruntung apabila Allah menetapkan sesuatu perkara ke atas mereka, ia adalah demi keuntungan dan kepentingan diri orang tersebut.”

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata, “Di syurga nanti ada suatu kedudukan untuk sebahagian daripada orang mu’min yang tidak mampu dicapai oleh mereka melainkan dengan penyakit pada tubuhnya atau kerugian dalam hartanya ( ketika di dunia ini).”

Thursday, March 17, 2011

Pengajian Akhlak: Pebezaan Hasad dengki dan cemburu



Artike sebelum ini menceritakan tentang bahaya Hasad dan cara merawatnya. Namun apakah yang membezakan Hasad dengan cemburu?


Ulama akhlak dalam maktab Ahlul Bait telah mengklasifikasikan Hasad dan cemburu sebagai dua entiti yang berbeza. Kebiasaannya orang yang mengidap penyakit Hasad akan tidak senang duduk, malah dirinya tidak akan puas selagi orang yang dihasad itu belum ditimpa musibah. Pengidap penyakit ini akan cuba sedaya upaya supaya kelebihan yang ada pada orang lain disingkirkan. Namun orang yang cemburu pula tidaklah tergamak melakukan perbuatan khianat bahkan ia hanya berangan-angan ingin kelebihan itu ada pada dirinya juga.

Cemburu tidaklah haram asalkan dalam persaingan mendapatkan sifat-sifat yang baik contohnya sifat sedekah, ahli ibadat atau kejayaan hidup yang menjadi inspirasi semua orang.

Imam Sodiq mengatakan:

ان الموءمن يغبط ولا يحسد والمنافق يحسد ولا يغبط

"Orang yang beriman cemburu tetapi tidak Hasad. Orang munafiq berhasad dengki namun tidak cemburu". - al-Kafi, jilid 2 halaman 307

Riwayat daripada Rasulullah:

ان المؤمن يغبط و المنافق يحسد

"Sesungguhnya orang beriman cemburu, dan tidak berhasad" - Mahajjatul Baidha, jilid 5 halaman 33.

Kesimpulan.

Hasad mencetuskan usaha menghalang seseorang tidak mencapai kegemilangannya. Namun cemburu pula meningkatkan motivasi seseorang itu berusaha sedaya upaya supaya ia mendapat kejayaan dalam jurusan yang diimpikannya.

Wednesday, March 16, 2011

Doa Jausyan Shaghir untuk yang dizalimi di Bahrain



Rakyat Bahrain yang dizalimi memerlukan doa anda semua dalam menghadapi serangan tentera Saudi.


Doa Jausyan Shaghir untuk yang dizalimi di Bahrain

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Saudara kita yang dizalimi dan tidak mempunyai senjata untuk mempertahankan diri di Bahrain memerlukan doa anda untuk menghadapi kekejaman Arab Saudi dan pemerintah Bahrain.

Jaushan Shaghir merupakan doa orang yang ditindas memohon bantuan untuk menghadapi golongan yang zalim yang sangat mujarab dalam waktu-waktu seperti ini. Setiausaha Agung Hizbullah pernah meminta orang ramai membaca doa ini ketika berlangsungnya peperangan 33 hari Moqawamatul Islamiyah menentang regim penceroboh Zionis.

Begitu juga tatkala konflik serangan pengganas Wahabi terhadap golongan Syiah yang di Paracinar yang tidak berdaya melawan, doa ini telah menambah kekuatan dan kemajuan orang ramai.

Golongan yang ditindas di Bahrain sekarang menghadapi detik-detik bahaya menghadapi angkatan Askar Diraja Ali Khalifah, bala tentera Saudi, Emirates dan Qatar. Pengikut mazhab Syiah diseluruh dunia telah membaca doa Jaushan Saghir sejak malam tadi, diikuti malam Jumaat sehingga malam berikutnya. Doa ini boleh ditemui dalam Mafatih Jinan atau pautan di bawah:

http://www.sibtayn.com/fa/index.php?option=com_content&view=article&id=18940:2010-08-07-15-30-05&catid=1292:2010-02-25-06-02-03&Itemid=1893

kenapa Orang-orang Mu’min Menderita?


Tentera Wahabi mula membunuh di Bahrain.

Orang-orang Mu’min Menderita Supaya Mereka Tidak Mencintai Dunia Ini

Imam Mohammad al-Baqir ‘Alalhissalam meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Aaihi Wa Aalih berkata,”Allah mengizinkan dunia membawa penderitaan dan kemiskinan kepada orang mu’min, supaya mereka tidak mencintainya.”

Sabah bin Sababah berkata dia berkata kepada Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alalhissalam,”Adakah penderitaan orang mu’min kerana dosa-dosanya?” Imam menjawab,”Tidak semestinya. Kadang-kadang Allah suka mendengar aduan dan doa-doa dari hamba-hambaNya dan sebagai balasannya Dia akan meningkatkan ganjaran kebaikan dan menghapuskan keburukan daripada dirinya dan menyediakan ganjaran di Hari Pengadilan kelak.”

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alalhissalam berkata,”Allah menjelaskan kepada mahluk-makhluknya, orang beriman tentang penderitaan dunia dan kesusahan yang dihadapinya seperti mana seorang saudaranya menerangkan kepada saudaranya yang lain sesuatu yang akan menyebabkan saudaranya itu tidak menyukainya. Allah berfirman kepada mu’min bahawa Dia tidak akan menjadikannya miskin untuk menghinanya. Kemudian Allah menunjukkan kepadanya apa yang telah Dia sediakan untuknya di akhirat kelak. Pada ketika ini, orang mu’min bersyukur kepada Allah dan berkata bahawa dia tidaklah peduli lagi kepada kesusahan dan penderitaan.”

Lebih Banyak Penderitaan Maka Lebih Besar Ganjaran Pahala

Abu Abdillah, Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alalhissalam berkata,”Minuman yang terbaik adalah sifat sabar seseorang yang menahan kemarahannya apabila ia marah. Kerana, lebih banyak penderitaan, lebih banyak ganjaran pahala; dan Allah tidak akan menyintai seseorang sehingga Dia mengujinya dengan penderitaan.”

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alalhissalam meriwayatkan dari Nabi Sallallahu ‘Aaihi Wa Aalih bahawa Allah mengisytiharkan,”Terdapat di kalangan mu’min, makhluk pilihanKu, di mana urusan keimanan mereka tidak dapat berjalan tanpa kekayaan dan kesihatan. Maka Aku sediakan mereka dengan kekayaan dan kesihatan yang baik; dan dengan cara ini urusan keimanan mereka dapat berjalan dengan sempurna. Tetapi ada di kalangan mu’min makhluk pilihanKu di mana urusan keimanan mereka tidak dapat berjalan sempurna tanpa kemiskinan dan penyakit. Maka mereka menderita daripada perkara-perkara tersebut demi kepentingan iman mereka.”

Imam ke-enam Ja’far al-Sadiq ‘Alalhissalam berkata Allah telah mengambil perjanjian daripada orang mu’min bahawa kadang-kadang kata-katanya diterima (oleh orang lain) atau dibohongi dan kadang-kadang dendamnya tidak akan dibalas kepada musuhnya dalam dunia ini.

Mohammad al-Baqir ‘Alalhissalam berkata apabila Allah mencintai seseorang Dia mengujinya dengan penderitaan dan kesusahan. Dan apabila orang itu berdoa kepada Allah untuk penyembuhan, Dia berkata kepada orang itu,”Doamu Aku sambut dan Aku boleh menyembuhkan kamu daripada penderitaanmu. Tetapi ganjaran yang aku sediakan untukmu (di akhirat) adalah lebih baik untukmu.”

Abu Hamzah meriwayatkan daripada Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alalhissalam berkata,”Wahai Thabit, sesungguhnya apabila Allah mencintai seseorang Dia akan meletakkannya dalam penderitaan, walaupun berlalunya hari dan malam kepada anda dan kita semua.”

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alalhissalam berkata bahawa sahabat-sahabat Nabi Isa ‘Alalhissalam mengadu kepadanya tentang apa yang diperlakukan kepada mereka oleh orang ramai. Nabi Isa ‘Alalhissalam menjawab kepada mereka bahawa orang mu’min adalah sentiasa dibenci oleh masyarakat mereka. Tetapi dia berkata, iman mereka adalah umpama bijian gandum yang mempunyai nilai dan rasa tetapi tidak mudah untuk memperolehinya.”

Abdul A’ala bin A’ayan berkata dia mendengar Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alalhissalam berkata kepada sahabat-sahabatnya,”Jika kalian sebenar-benarnya ikhwan dan sahabatku, kalian hendaklah bersedia untuk berhadapan dengan permusuhan dan kebencian daripada orang ramai, jika tidak demikian kalian tidak boleh menjadi sahabat-sahabatku.”

Saturday, March 12, 2011

Kesabaran d mata Ahlul Bait Alaihimussalam




Kesabaran Ketika Menghadapi Penderitaan Memperolehi Ganjaran dari Allah SWT

Imam Muhammad al-Baqir dan Imam Ja’far al-Sadiq berkata bahawa orang-orang Mu’min yang ditimpa kesusahan dan bersabar akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT dengan pahala seribu syuhuda.

Abul Hasan Imam Musa al-Kazim ‘Alaihissalam berkata,”Barang siapa di kalangan Syi’ah kami menghadapi penderitaannya dengan kesabaran dan keteguhan iman akan menerima ganjaran pahala seribu syuhada.

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata bahawa Allah berfirman kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam,”Wahai Musa, Aku tidak menjadikan sesiapa jua kekasihKu selain makhlukKu orang-orang Mu’min. Kadang-kadang Aku menimpakannya penderitaan yang sebenarnya lebih baik untuknya. Aku berikannya apa yang terbaik untuknya dan menjauhkannya daripadanya untuk perkara yang lebih baik untuknya. Maka, dia hendaklah bersabar menghadapi penderitaan dengan kesabaran. Dia hendaklah redha dengan takdirKu dan bersyukur ke atas pemberianKu. Dan apabila dia bersikap demikian, Aku memasukkannya di kalangan orang-orang yang beriman, kerana dia bertindak mengikut ketentuanKu dan taat kepada perintahKu.”

Sentiasa Bersabar Kepada Ketentuan Allah

Ishaq bin Ammar berkata beliau mendengar Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata,”Asas kepada ketaatan kepada Allah adalah redha kepada apa yang Allah takdirkan kepada seseorang sama ada hal itu dia sukai atau tidak sukai kerana apa sahaja yang Allah takdirkan adalah baik.”

Yunus bin Ribat melaporkan beliau mendengar Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata para pengikut kebenaran akan sentiasa mengalami penderitaan tetapi jangka masa mereka memperolehi keamanan dan kesenangan akan berkekalan.

Simaah berkata bahawa dia mendengar Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata,”Allah telah mengizinkan musuh-musuhNya melakukan terhadap ‘sahabat-sahabat’Nya (orang-orang beriman) menjadi mangsa mereka dalam dunia ini.

Ramai Yang Membenci Orang Yang Mencintai Allah

Mufazzal bin Umar meriwayatkan dia bersama Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam ketika seorang menyatakan kepada Imam bahawa ada setengah orang yang mendakwa bahawa apabila Allah mencintai seseorang, Dia akan meletakkan perasaan cinta di hati-hati orang ramai kepada orang ini, dan apabila Allah membenci seseorang, Dia meletakkan perasaan benci kepadanya di hati-hati orang ramai. Mufazzal berkata pada ketika itu Imam sedang berbaring di atas tilam tetapi ketika mendengar perkara ini, beliau bangkit dan berkata,”Tidak seperti itu tetapi apabila Allah mencintai seseorang, Dia akan membiarkan orang ramai berpaling daripadanya. Mereka akan membuat fitnah terhadapnya dan hal ini akan menambahkan ganjaran pahala kepadanya di akhirat dan menambahkan dosa-dosa mereka. Dan apabila Allah membenci seseorang, Dia mengizinkan orang ramai mencintai orang itu. Mereka akan menyatakan perkara-perkara yang menambahkan dosa-dosa mereka dan dosa orang itu. Katakan kepadaku adakah sesesiapa yang lebih mencintai Allah daripada Nabi Yahya bin Zakaria ‘Alaihissalam pada ketika itu? Tetapi kita mengetahui orang ramai berpaling daripadanya dan melakukan perkara yang mereka lakukan (akhirnya mereka membunuhnya). Begitu juga adakah ada sesiapa yang mencintai Allah lebih daripada Imam Husayn ‘Alaihissalam pada masa hidupnya? Tetapi kamu mengetahui oang ramai berpaling daripadanya dan membunuhnya tanpa belas kasihan. Siapakah pula yang lebih membenci Allah daripada si polan dan si polan? Tetapi kamu semua melihat apakah yang dikatakan oleh orang ramai terhadap mereka ini. Maka amatlah salah apa yang didakwa oleh mereka itu.”

Zaid –e-Shahham berkata Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata,”Apabila Allah mencintai seseorang Dia mengizinkan mereka berpaling daripadanya.”

Abu Hamzah Thumai meriwayatkan dia mendengar Imam Muhammad Baqir ‘Alaihissalam berkata Allah SWT bersumpah bahawa orang-orang beriman akan ditimpa empat perkara penderitaan. Pertama, dan yang paling mudah, orang beriman yang lain akan cemburu kepadanya. Kedua, apabila orang-orang munafiq akan mengikuti langkahnya dan mengganggunya. Ketiga, apabila syaitan akan datang untuk berusaha untuk menjauhkannya daripada jalan yang lurus. Keempat, apabila orang kafir menganggap memeranginya sebagai perang suci. Maka, bagaimanakah seorang mu’min dapat menjauhkan diri daripada perkara-perkara ini? Soal Imam kepada mereka.

Sunday, March 6, 2011

Penderitaan Adalah Kafarah Kepada Dosa

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata Nabi Musa bin Imran ‘Alaihissalam mempunyai seorang saudara dalam iman, yang amat dicintainya dan dihormatinya. Pada suatu ketika seorang lelaki datang menemui saudaranya itu dan meminta kepadanya pergi menemui seorang raja yang zalim dari kalangan Bani Israil. Saudara Nabi Musa ‘Alaihissalam itu berkata dia tidak hubungan dengan raja tersebut dan tidak pernah meminta lelaki itu sebarang pertolongan. Lelaki itu berkeras juga dan berkata Allah akan memberikan ganjaran yang besar kepadanya jika saudara Nabi Musa itu memenuhi hajatnya pergi menemui raja tersebut. Saudara Nabi Musa itu akhirnya pergi juga kerana berasa kasihan kepada lelaki itu. Ketika raja itu melihat saudara Nabi Musa ‘Alaihissalam yang alim itu, raja itu amat menghormatinya dan memberikannya apa juga yang dikehendakinya. Kemudian selang beberapa hari, raja tersebut ditimpa sakit dan meninggal dunia. Ketika itu ramai orang hadir untuk membawa mayatnya dan semua pasar di negara itu ditutup kerana berkabung dan meratapi kematian raja tersebut. Kemudian dengan takdir Allah, saudara Musa ‘Alaihissalam yang alim itu meninggal dunia pada hari yang sama. Tetapi disebabkan dia tinggal sendirian dan menutup pintu rumahnya dari dalam, maka tidak ada sesiapa pun yang tahu tentang kematiannya. Hal ini berlaku sehingga tiga hari. Begitu juga Nabi Musa ‘Alaihissalam tidak mengunjunginya selama tiga hari. Pada hari keempat Nabi Musa berfikir tentang saudaranya itu dan pergi ke rumahnya. Apabila Nabi Musa membuka pintu dan masuk ke dalam rumah, beliau mendapati saudaranya itu telah meninggal dunia. Ulat-ulat sedang menyelusuri tubuhnya dan membaham wajahnya. Melihat keadaan ini Nabi Musa amat terharu dan berdoa kepada Allah,”Tuhanku, musuh Engkau mati dan sekumpulan ramai orang berkumpul meratapinya. Dan pada masa yang sama’sahabat’Mu meninggal dunia dan ulat-ulat memakan tubuh dan wajahnya.” Allah SWT menjawab kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam ,”Wahai Musa, ‘sahabat’Ku pergi menemui orang zalim itu dan meminta pertolongan daripadanya. Raja zalim itu menghormatinya dan memberikan apa juga permintaannya. Justeru, sebagai ganjaran di dunia, Aku kumpulkan di dunia ini rakyatnya meratapinya supaya dia tidak lagi meminta kepadaKu di akhirat kelak. Dan aku izinkan ulat di atas tubuh orang mu’min itu kerana dia telah pergi menemui raja zalim itu dan meminta sesuatu, daripada berdoa kepadaKu. Dengan cara ini Aku mahu supaya tidak ada lagi dosa yang tinggal ke atasnya yang akan menerima balasan di akhirat kelak.”

Imam Muhammad al-Baqir ‘Alaihissalam berkata jika Allah SWT mahu memberikan kemuliaan kepada seseorang, dan orang itu ada dosa-dosa dalam hisabnya, Dia (Allah SWT) mengizinkannya menderita dengan beberapa penyakit; jika tidak demikian, Dia meletakkannya dalam keadaan kemiskinan; dan jika tidak demikian Dia meningkatkan penderitaannya pada saat kematiannya. Dan apabila Allah mahu menghina seseorang dan orang itu mempunyai beberapa amal baiknya dalam hisabnya, Dia akan memberikannya kesihatan yang baik; jika tidak demikian Dia memberikannya dengan kekayaan; jika tidak demikian, Dia mengurangkan penderitaannya pada saat kematiannya.

Imam yang sama meriwayatkan Allah SWT mengisytiharkan dengan bersumpah bahawa apabila seseorang menghajatkan rahmatNya, Dia akan menghukumnya di atas segala amal buruknya di dunia ini, kadang-kadang dengan mengurangkan sumber rezekinya, kadang-kadang dengan penyakit pada tubuhnya dan kadang-kadang dengan meresahkan fikirannya. Dan jika masih berbaki lagi amal buruknya itu, penderitaan di saat kematiannya akan ditingkatkan. Begitu juga Allah SWT mengisytiharkan jika seseorang patut mendapat kemurkaanNya, dia akan dibalas segala kebaikannya di dunia ini dan kadang-kadang dengan meningkatkan sumber rezekinya, kadang-kadang dengan kesihatan tubuh badannya yang baik dan kadang-kadang dengan memberikan keselesaan dalam fikirannya. Dan jika masih berbaki, maka penderitaan di saat kematiannya dikurangkan.

Imam yang sama ‘Alaihissalam berkata bahawa seorang Nabi dari kalangan Nabi-nabi Bani Israil berjalan melewati seorang mu’min yang baru sahaja meninggal dunia di sebabkan terhempap tembok yang jatuh. Sebahagian daripada anggota tubuhnya berada di bawah tembok dan sebahagian lagi tubuhnya di luar tembok. Bahagian tubuhnya yang di luar tembok di makan anjing dan burung-burung pemakan bangkai. Selepas menyaksikan kejadian ini, Nabi berkenaan memasuki sebuah kota di mana ada orang besar baru sahaja meninggal dunia. Tubuhnya di bungkus dengan kain sutera dan wangi-wangian di bakar di sekelilingnya. Menyaksikan dua keadaan yang bertentangan itu, Nabi berkenaan rasa amat hairan. Dia berkata,”Wahai Tuhanku, tidak diragui, Engkau Maha Berkuasa. Engkau tidak pernah melakukan kezaliman kepada makhluk-makhlukMu. Tetapi aku kini bingung untuk memahami mengapa lelaki yang beriman itu menemui kematiannya dalam keadaan yang menyedihkan padahal lelaki yang tidak pernah beriman kepadaMu itu menemui saat kematiannya secara aman dan di hormati.” Allah SWT mewahyukan kepada Nabi tersebut,”Tidak diragui Aku Maha Berkuasa. Rahsia kejadian yang bertentangan itu disebabkan orang yang beriman itu mempunyai dosa, maka Aku tidak mahu menghukumnya di akhirat kelak, maka dia menemui kematiannya seperti itu yang akan menghapuskan dosa-dosanya daripada dirinya. Dan orang kafir itu mempunyai beberapa amal kebaikan ketika hidupnya, maka Aku mengizinkan kesenangan di dunia ini diberikan kepadanya sebagai balasan terhadap amal kebaikannya itu. Dan pada hari akhirat kelak dia tidak mempunyai apa-apa lagi amal kebaikan.”

Ibn Abi Umair meriwayatkan daripada senarai periwayat-periwayat, bahawa Nabi Musa ‘Alaihissalam sedang berjalan di tepi tebing sungai. Pada ketika itu seorang nelayan datang ke tempat itu dan terus bersujud kepada matahari dan berdoa kepadanya. Selepas menyembah matahari itu, dia terus mencampakkan jaringnya ke sungai dan dalam tempoh masa yang singkat, dia dapat menarik jaringnya itu ke darat dengan ikan yang banyak. Kemudian dia mencampakkan jaringnya sekali lagi dan kali ini juga jaringnya dipenuhi ikan. Dia terus mengulangi perbuatannya untuk kali ketiga dengan hasil yang sama dan dengan hati yang puas dia pergi dari situ dengan hasil tangkapannya itu. Selepas beberapa ketika seorang yang lain datang ke tebing sungai itu. Dia mengambil wudhuk dan berdiri mengerjakan solat kepada Allah. Selepas mengungkapkan doa dan tunduk kepada Allah, doa terus mencampakkan jaringnya ke dalam sungai tetapi apabila diangkatnya jaringnya itu tiada ada seekor ikanpun yang terlekat. Dia mencampakkan lagi jaringnya ke dalam sungai itu dan hasilnya masih lagi kosong. Dia mencampakkan jaringnya ke dalam sungai buat kali ketiga tetapi hasilnya tetap juga kosong. Kemudian pada kali keempat, dia berjaya mendapat seekor ikan yang kecil. Pada saat ini, dia bersyukur kepada Allah, memuji-mujiNya dan berlalu dari situ dengan ikan kecil tersebut.

Melihat perkara ini, Nabi Musa ‘Alaihissalam amat takjub dan menyeru kepada Allah,”Tuhanku, orang pertama datang dan secara terang-terang mengingkari perintahMu dengan menyembah matahari. Tetapi setiap kali dia mencampakkan jaringnya ke dalam sungai dia berjaya mendapat ikan yang banyak sehingga dia berpuasa hati dan berlalu dari tebing sungai ini. Kemudian orang kedua datang ke tebing sungai ini, beliau merupakan orang yang beriman, mengambil wudhuk dan berdiri berdoa kepadaMu. Dia memuji-muji kemurahan rahmatMu dan berdoa kepadaMu dengan bersungguh-sungguh tetapi untuk kali ketiga berturut, dia tidak mendapat walau seekor ikan pun. Pada kali keempat, dia hanya memperolehi seekor ikan yang kecil. Walaupun demikian dia tetap bersyukur kepadaMu dan memuji kemurahan rahmatMu. Tuhanku, aku tidak mengetahui mengapa Engkau mengizinkan perbezaan ini.”

Allah SWT memerintahkan Nabi Musa ‘Alaihissalam melihat kejadian itu dari sudut pandangan kanan. Di situ Nabi Musa ‘Alaihissalam dapat melihat Allah SWT memberikan ganjaran kepada orang beriman itu di akhirat kelak. Kemudian Nabi Musa ‘Alaihissalam diperintahkan melihat pada sisi kiri pula. Maka di situ dia akan dapat melihat apakah balasan yang disediakan untuknya pada hari akhirat kepada orang kafir itu. Kemudian Allah berfirman kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam ,’Wahai Musa, dengan hasil yang terakhir dan muktamad itu apakah yang akan diperolehi oleh orang kafir dan apakah kerugian yang akan menimpa orang-orang yang beriman?”

Pada peringkat ini, Nabi Musa ‘Alaihissalam terus bersujud dan berkata,”Tuhanku, adalah menjadi kewajipan kepada orang-orang yang beriman kepadaMu redha kepada apa yang Engkau berikan kepada mereka.”