Zurarah bin A’ayan berkata dia bersama Imam Ja’far al-Sadiq 'Alaihissalam ketika datang seseorang menemui Imam bertanyakan ayat Qur’an:
“Sesiapa yang datang dengan amal baik, akan diberikan balasan pahala sepuluh kali ganda.” (6:166)
Orang itu bertanya Imam sama ada ayat ini juga ditujukan kepada mereka yang tidak percaya kepada Imamah. Imam 'Alaihissalam menjawab,”Tidak ia hanya dikhususkan untuk mereka yang beriman kepada Imamah Imam-imam dari keluarga Nabi sahaja.”
Yaqoob bin Shuaib berkata dia mendengar Imam Ja’far al-Sadiq 'Alaihissalam berkata,”Tidak diberikan ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada seseorang melainkan orang-orang mu’min yang sebenarnya.”
Imam Ja’far al-Sadiq 'Alaihissalam berkata,”Apabila seorang mu’min yang sebenarnya melakukan amal kebajikan, ganjaran pahala baginya akan bertambah tujuh puluh kali kerana Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman dalam kitab suciNya,
“Allah menambahkan balasan kepada mereka yang Dia kehendaki.”(2: 261)
Orang Mu’min Adalah Cahaya Syurga
Imam yang sama 'Alaihissalam berkata,”Cahaya orang mu’min terang benderang di syurga seperti bintang berkerlipan ke bumi. Orang mu’min adalah ‘teman’ Allah. Dia (Allah) menolong mereka dan amat mengasihani mereka. Mereka tidak berkata kecuali apa yang benar dan tidak takutkan sesuatu kecuali Allah Subhanahu Wa Taala. Apabila dua orang mu’min bertemu, dan mereka berjabat tangan, Allah memberikan anugerah rahmat ke atas mereka dan dosa-dosa mereka digugurkan dari diri-diri mereka.”
Kelebihan Orang Mu’min
Imam Mohammad al-Baqir 'Alaihissalam berkata,”Sifat-sifat Allah tidak dapat dijelaskan. Bagaimana mungkin sifat-sifatNya dapat dijelaskan apabila Dia berfirman,
“Mereka tidak mengetahuiNya dengan sebenar-benarnya?” (6:90)
Maka apa yang dikatakan tentang puji-pujian ke atasNya adalah sebenarnya jauh berkurang daripada apa yang sewajarnya. Demikian juga sifat-sifat keutamaan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wa Aalih tidak dapat dinyatakan (diungkapkan dengan kata-kata) dengan sebenar-benarnya apabila Allah mengangkatnya dari bumi ke ArasyNya dan dibawa hampir denganNya dan membuatkan ketaatan kepadanya sama seperti ketaatan kepada Yang Maha Berkuasa? Allah menyatakan hal ini dalam al-Qur’an,
“Lakukan apa yang Nabi perintahkan ke atasmu dan jauhkan daripada apa yang Nabi larang kamu melakukannya.”(59:7)
Dalam hal yang sama sifat-sifat kelebihan orang mu’min yang menjadi pilihan Allah (Imam-imam dari keluarga Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih) juga tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata, kerana Allah telah menghilangkan kekotoran dari mereka dan menyucikan mereka dengan sebersih-bersihnya. Begitu juga sifat-sifat kelebihan orang-orang mu’min yang menjadi pengikut Imam-imam ‘Alaihimussalam ini tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata kerana mereka ini sangat dimuliakan di hadapan Allah SWT, maka apabila dua orang daripada mereka berjabat tangan, dosa-dosa mereka pun gugur ke bumi seperti dedaun berguguran di musim luruh.”
Malik bin A’ayan al-Juhani berkata dia pergi menemui Imam Mohammad al-Baqir ‘Alaihissalam dengan harapan ingin mendapatkan penjelasan tentang mereka, tetapi sebelum dia dapat mengungkapkannya, Imam ‘Alaihissalam mula berkata perkara yang sama dan berkata,”Wahai Malik, bersangka baiklah terhadap Allah. Jangan berfikir anda telah sampai ke tahap yang sebenarnya. Sesungguhnya anda tidak dapat sampai ke hadnya ketika memuji dan mengungkapkan sifat-sifat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kerana sifat-sifat Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak dapat diungkapkan ke suatu had tertentu. Begitu juga anda tidak akan sampai ke suatu had tentang diri-diri kami dengan mengungkapkannya. Wahai Malik, anda tidak akan dapat, walau untuk mengungkapkan dengan sebenar-benarnya suatu penjelasan yang sempurna dan lengkap tentang kualiti seorang mu’min. Seorang mu’min adalah orang yang dimuliakan di hadapan Penciptanya, justeru apabila dia bertemu seorang mu’min dan berjabat tangan dengannya sebagai suatu tanda cinta dan hormat, Allah menurunkan rahmat ke atas mereka, dan dosa-dosa mereka berguguran dari diri-diri mereka sehinggalah mereka berpisah, dan apabila mereka berpisah tidak ada dosa-dosa mereka yang tertinggal. Maka, bagaimanakah anda mengetahui had kualiti orang-orang ini yang amat di muliakan dan dicintai Allah?”
Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata,”Apabila dua orang mu’min bertemu, seratus rahmat turun ke atas mereka. Tetapi sembilan puluh sembilan daripada rahmat tersebut adalah untuk orang yang paling besar cintanya terhadap saudara mu’minnya itu.”
Abu Ubaidah meriwayatkan ketika dia bersama Imam Mohammad al-Baqir ‘Alaihissalam dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah. Dia berkata apabila dia berhenti untuk berehat atau memulakan perjalanan, Imam ‘Alaihissalam akan berjabat tangan dengannya. Dia bertanya Imam ;Alaihissalam mengapa hal itu dilakukannya. Imam ‘Alaihissalam berkata,”Apabila dua orang mu’min bertemu, dan berjabat tangan, dan mereka berlalu selepas itu, semua dosa-dosanya akan dihapuskan dari mereka.”
Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata, “Tidak ada di kalangan makhluk yang mengetahui (dapat mengungkapkan) sifat-sifat (kebesaran dan keagungan) Allah yang sebenar-benarnya. Begitu juga tidak ada sesiapa yang dapat mengetahui (dapat mengungkapkan dengan kata-kata) sifat-sifat kelebihan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih, para Imam Ahlul Bait ‘Alaihimussalam, demikian juga sifat-sifat keutamaan orang mu’min yang menjadi pengikut Imam ‘Alaihissalam (kerana ia lebih besar daripada apa yang mereka ungkapkan).”
Safwan, penjaga unta berkata bahawa dia mendengar Imam ‘Alaihissalam berkata, “Apabila dua orang mu’min bertemu dan berjabat tangan, orang yang mempunyai rasa kasih yang lebih besar kadarnya daripada saudaranya itu adalah lebih tinggi imannya. Apabila mereka berjabat tangan dan memuji Allah semua dosa-dosa mereka diampunkan.”
No comments:
Post a Comment