Popular Posts
-
Kami ucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia buat semua. Hari ini adalah hari yang penuh bahagia dan keberkatan,hari yang mengilhamkan nilai-ni...
Sunday, August 17, 2008
Wiladah Imam Al Mahdi (as)
Wiladah Imam Mahdi Shahibuz Zaman (as) jatuh pada malam Jumaat, pertengahan bulan Syaaban tahun 255 atau menurut riwayat lainnya pada tahun 256 Hijrah, beberapa kurun selepas hijrah Rasulullah (saww). Setelah berlalu Imamah Imam kesepuluh Imam Ali al-Hadi (as) dan berlangsungnya Imamah Imam kesebelas Imam Hasan al-Askari (as), para perawi, pentadbir dan pemerintah kerajaan taghut mulai risau.
Ini kerana terdapat berita-berita yang turut disampaikan oleh mereka sendiri dari Imam Hassan al-Askari (as) bahawa seorang putera akan lahir di mana takhta dan istana pemerintah taghut dan zalim akan diruntuhkan olehnya serta menjadikan keadilan sebagai gantinya kezaliman dan kejahatan. Telah sampai hadis-hadis sebegini terutamanya daripada Rasulullah (saww), yang menyebut tentang peristiwa ini dan telah sampai ke telinga semua orang di kala itu.
Tatkala Imam Mahdi (as) akan lahir, Muktasim, Khalifah kelapan Abbasi yang mula memerintah dari tahun 218 Hijri, telah menjadikan Samarra, negeri yang baru membangun, sebagai pusat pemerintahannya. Ini bagi menghalang kelahiran bayi yang akan menggoncang tiang-tiang pemerintahannya. Kelahiran bayi tersebut mestilah dihalang, walaupun dengan cara memenggal nyawa para ibu yang mengandung. Mereka menghantar gerombolan tentera ke rumah-rumah di kota Samarra, kalau-kalau ada wanita yang hamil. Peristiwa pencerobohan ini masih kekal dalam catatan sejarah.
Dulu, pada zaman Nabi Ibrahim (as), Namrud juga pernah melakukan perkara yang serupa. Firaun juga melakukan perkara yang sama bagi menghalang kelahiran Nabi Musa (as). Tetapi Tuhan tidak membenarkan. Mereka, ahli taghut, mahu memadamkan obor kebenaran. Tetapi mereka lupa, Tuhan telah menyempurnakan Nur cahayaNya. Walaupun golongan taghut dan penentang ini tidak menginginkan kelahiran zuriat penerus Imam Hassan Askari (as) ini, seperti cerita-cerita di dalam sejarah dahulu, mukijizat sekali lagi berulang. Imam Ali al-Hadi selama 20 tahun di Samarra sentiasa diletakkan dibawah pemerhatian dan kawalan tentera. Kemudiannya, Imam Hasan al-Askari menghadapi situasi yang sama. Ketika telah hampir masa kelahiran bintang yang bersinar ini, ancaman dan bahaya pemerintah semakin parah, kerana mereka pasti akan menghalangnya. Allah SWT dengan kekuasaannya telah menjadikan kehamilan ibunya dan saat kelahirannya jauh dari pengetahuan orang ramai. Tidak ada yang pernah melihatnya kecuali kerabat dan sahabat terpilih Imam Hasan al-Askari (as). Mereka juga hanya beberapa kali melihatnya, bukan selalu dan tidak seperti kebiasaan.
Pengikut Terpilih, Telah Melihat Imam Mahdi (as)
Dalam masa 4 atau 5 tahun permulaan umur Imam Mahdi (as) iaitu semasa hayat ayahnya, sahabat dan pengikut setia telah berpeluang bertemunya. Mereka seramai 40 orang yang setia kepada Imam Hasan al-Askari. Mereka berkehendak Imam Askari memberitahu siapa Hujjah dan Imam setelahnya supaya mereka dapat mengenalnya. Imam menemukannya dengan mereka. Mereka melihat seorang putera, seperti bulan, seiras ayahnya.
Imam Askari (as) berkata: “Selepasku, putera ini adalah Imam kalian, dan khalifahku di kalangan kalian. Perintahnya taatilah. Jangan kalian keluar dari lingkungan wilayahnya, di mana kalian pasti akan selamat dan agama kalian akan terpelihara. Juga ketahuilah, kalian tidak akan lagi melihatnya selepas hari ini, sehinggalah telah lama tahun dan zaman berlalu. Maka disebabkan itu, taatilah wakil atau penolongnya, Usman bin Sa’id”. Dengan kata-kata ini, Imam kesebelas, telah mula mengenalkan tentang akan adanya keghaiban al-Mahdi (as) dan mengenalkan kepada pengikutnya penerus wilayahnya.
Seorang pemikir dan ahli falsafah kurun ketiga hijrah yang sempat berada ketika Imam masih belum ghaib, Abu Sahal an-Naubakhti berkata: “Imam Mahdi (as) ghaib sehinggalah ayahnya yang mulia, Imam kesebelas, Imam Hassan Askari (as) telah syahid pada hari kelapan bulan Rabiul Awal, tahun 260 hijrah. Pada hari tersebut, mengikut sunnah Islam, Imam Mahdi (as) telah menyolatkan sendiri jenazah suci ayahnya, sehingga khalifah Abbasi tidak mampu mengatakan tentang tamatnya penerusan Imamah, atau merealisasikan niat buruk untuk menyesatkan manusia dari jalan sebenar, serta tidak mampu lagi meletakkan warisan maknawi, risalah Islami dan wilayah agama ke tangan orang lain. Rakyat telah melihat seorang anak kecil seperti matahari yang bersinar dengan gemilangnya, pengakhir segala Imam telah keluar, dan Jaafar Kazzab (penipu) yang datang untuk menyolatkan jenazah Imam Askari diketepikannya. Kemudian, Imam sendiri menyolatkan tubuh suci dan mulia ayahnya.
Keperluan Ghaibnya Imam Terakhir
Keluarnya Imam Mahdi (ajf) dan menyolatkan jenazah ayahnya telah tersebar ke semua tempat. Pendokong dan tali barut Abbasi telah menyerang rumahnya Imam Hassan Askari (as). Namun, semakin mereka ingin mencari anak itu, semakin mereka jauh dan tidak menemuinya. Allah SWT menginginkan keselamatan buat hujjahNya sehingga musuh-musuhnya tidak berdaya melakukan apa-apa. Maka, Allah menghilangkan Imam terakhir daripada pandangan manusia, dan dikeranakannya Ia telah mengekalkan ke atas ahli dunia ini keselamatan mereka.
Dengan keghaiban ini, walau hujjah Tuhan tidak muncul di mata, namun riak cahaya hidayatnya selepas dirundung keghaibannya, tetap utuh memimpin umat setia dan sahabat-sahabatnya. Tentang peri pentingnya kewujudan Imam yang ghaib ini, Profesor Henry Carban, seorang ilmuan berbangsa Perancis dalam pertemuan dengan Allamah Thabathabai telah berkomentar: “Saya percaya ajaran Tasyaiyu’ adalah satu-satunya mazhab di mana hubungan hidayat Illahi di antara Tuhan dan makhluk, dipelihara, dihidupkan serta dikukuhkan untuk selama-lamanya, dengan cara bersambung dan tidak terputusnya Wilayah...Mazhab Tasyaiyu’ lah satu-satunya yang mempercayai dan mengetahui berakhirnya Nubuwwah dengan Nabi Muhammad -selawat Allah ke atasnya dan keluarganya- bahkan mempercayai dan mengetahui juga wilayah yang merupakan penghubung hidayah dan penyempurna Nubuwwah selepas Nabi Muhammad (saww), dan wilayah ini sentiasa hidup. Mereka mengecapi hubungan yang menyambungkan Alam Insani dan Alam Illahi, dengan perantaraan dakwah-dakwah agama yang sebelum ini oleh Musa, Isa dan Muhammad -selawat Allah atas mereka- dan selepas Nabi Muhammad (saww), dengan perantaraan wilayah penganti-penggantinya(dari aqidah dan kepercayaan syiah) yang mendapati hubungan itu (Alam Illahi dan Insani) sentiasa telah hidup, hidup dan akan sentiasa hidup. Ini adalah hakikat, dan sampai bila-bila dari pandangan ilmu tidak dapat dikatakan sebagai khurafat dan tidak dapat dipadam dari senarai hak atau kebenaran. Benarlah Tasyaiyu’ adalah satu-satunya mazhab dimana dalam kehidupan seharian, hakikat ini dijadikan pakaian kekuatan dan sentiasa memakainya serta mempunyai kepercayaan dan berpegang teguh bahawa hakikat ini sentiasa berada di antara Alam Insani dan Ilahi,untuk selama-lamanya,kekal dan sentiasa kukuh”. Iaitu yang bermaksud percaya kepada Imam yang hidup dan ghaib.
Ciri Fizikal dan Karakter Imam Mahdi (as)
Rasulullah (saww) telah bersabda:
“Al-Mahdi adalah dari keturunanku, dahinya lebar dan hidungnya mancung lurus.”
“Sungguh Allah akan mengutus seorang lelaki dari keturunanku, giginya tersusun rapi dan sejajar, dahinya lebar”.
“Al-Mahdi anak keturunanku, wajahnya laksana bintang mutiara, warna kulit tubuhnya adalah warna kulit Arab (putih kemerah-merahan), postur tubuhnya adalah keturunan Israil (Nabi Yaakub as)”.
“Al-Mahdi pemuda yang hitam kedua pelupuk matanya, halus dan panjang kedua alis matanya, hidungnya mancung lurus, lebat janggutnya, pipi dan tangan kanannya ada yang tidak ditumbuhi bulu”.
Dalam sebuah riwayat dari Abi Jaafar Muhammad al-Baqir (as), beliau berkata: “Ali bin Abi Thalib (as) ditanya tentang ciri al-Mahdi, beliau menjawab: “Dia adalah pemuda yang berbadan kekar, tampan wajahnya, rambut terurai sehingga bahunya, cahaya wajahnya melebihi sinar hitam rambut dan janggutnya”.
“Al-Mahdi laksana burung merak penduduk syurga, pada dirinya ada penutup-penutup cahaya”.
Raut wajahnya adalah riak seorang pemimpin yang berwibawa, tenungannya mengubah semuanya. Slogannya meluas. Laungannya untuk semua. “Imam Mahdi (as) adalah pemilik (shahib) ilmu dan hikmah yang banyak dan beliau merupakan pemilik warisan Anbiya’.
Beliau Imam yang kesembilan dari keturunan Imam Hussein (as) sehingga sekarang masih ghaib. Wali mutlak, penamat wali-wali dan wasi segala wasi serta pemimpin dunia dan kebangkitan bangsa. Ketika zuhur nanti,beliau akan berada di sisi ka'bah, dan mengangkat bendera Rasul (saww), menghidupkan kembali agama serta menjalankan semula hukum-hukum Allah. Dunia akan dipenuhi olehnya dengan keadilan dan kasih-sayang. Imam Mahdi (ajf) sentiasa menghambakan diri berhadapan dengan Tuhan dan kemuliaan serta kebesaranNya.
Seluruh kewujudannya dilindungi oleh Tuhan dan KebesaranNya. Mahdi (as) adalah seorang yang adil, mulia, suci. Tidak pernah membiarkan kezaliman walau hanya sekecil-kecilnya. Tuhan telah meletakkan agama Islam ini di tangan mulianya. Dalam pemerintahannya, tidak akan ada tempat yang terdapat keburukan kecuali dipenuhi dengan hukum dan perintah Tuhan. Mahdi (as) akan mengembalikan hak setiap orang yang memiliki hak dari orang yang zalim dan mengembalikan pada pemiliknya.
Nanti, ketika Imam Mahdi (as) memerintah, seluruh pemerintahan taghut, zalim, munafik dan pengkhianat akan diruntuhkan. Makkah, kiblatnya mukminin, akan menjadi pusat kebangkitan Mahdi (as). Orang-orang pertama yang bersama dengannya, akan muncul di sana dan berkumpul bersamanya. Kemudian, tidak akan tinggal lagi pemerintahan selain daripada pemerintahan yang adil dan berpandukan Al-Quran, berkembang ke seluruh dunia.
Benarlah, Mahdi (as) akan bangun di atas muka bumi sehingga tidak ada tempat kecuali sentiasa menyebut dan melaungkan nama Muhammad (saww). Ashhadu an la ilaha illallah, wa ashhadu anna Muhammadarrasulullah (Tidak ada Tuhan selain Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah). Pada zaman pemerintahan Mahdi (as), hikmah dan ilmu akan diajarkan pada semua manusia, sehingga wanita-wanita di dalam rumah juga mampu dan tahu tentang Kitab Tuhan dan Sunnah Rasulullah (saww). Pada zaman Mahdi (as) tidak akan ada tempat yang ada kezaliman kecuali telah dipenuhi dengan keadilan.
Pedang Allah SWT
Al-Mahdi (as) adalah Saifullah (Pedang Allah), Saifullahul Muntaqim (Pedang Allah yang menuntut pembalasan). Pedang ketuhanan, pedang yang menuntut balas ke atas orang-orang zalim. Pedang Mahdi adalah pedang yang menuntut balas segala jenayah yang berlaku dalam sepanjang sejarah. Pembalas bagi orang yang zalim, pemberi rahmat dan lindungan bagi yang lemah dan tertindas.
Ghaib Sughra (kecil)
Sebagaimana Nabi Khidir (as) yang bertemu hanya dengan peribadi tertentu, Imam Mahdi (as) hanya bertemu dengan sebahagian orang, akibat dari tentangan fitnah manusia. Dari tahun 255 hijrah sehingga 329 hijrah, dalam masa keghaiban ini, tidak semua yang berkesempatan bertemu dengan Imam, kawan maupun lawan. Hanya yang setia terpilih menyampaikan permasalahan umat untuk diselesaikan. Usman bin Sa’id al-Asadi, yang terbukti kesetiaan dan keikhlasannya di zaman Imam Ali al-Hadi dan Imam Hasan al-Askari, adalah antara yang terpilih. Membesar di bawah payungan Imamah dan berkhidmat untuk tiga imam, beliau akhirnya wafat dan dimakamkan di bumi Baghdad. Muhammad bin Usman adalah yang kedua dari kalangan yang terpercaya, anakanda kepada Usman bin Sa’id. Wafat pada tahun 305 hijrah setelah kurang lebih 40 tahun berkhidmat, beliau juga turut dimakamkan di Baghdad. Hussain bin Ruh an-Naubakhti adalah yang ketiganya (wafat pada tahun 326 hijrah). Yang terakhirnya, Ali B. Muhammad Samiri. Beliau wafat pada tahun 329 hijrah dan dimakamkan di Baghdad. Mereka menjadi perantaraan hubungan rakyat dengan Imam dalam menyelesaikan masalah yang timbul dalam kehidupan beragama.
Ghaib Kubra (besar) dan Wakil-wakil yang Umum
Setelah berlalu tempoh Ghaib Sughra, Imam Mahdi (as) hilang dari pandangan manusia yang keji dan bongkak, sehingga saat ini. Zaman ini adalah zaman ujian. Zaman menilai iman dan amal pekerjaan manusia. Imam (as) telah mengajarkan kaedah-kaedah bagaimana memilih perantaraannya tatkala berlangsungnya Ghaib Kubra. Supaya pada setiap zaman, seorang yang mempunyai syahsiah seperti yang digariskan, diikuti dan dipanuti sebagai wakilnya. Wakil-wakil ini disisi Imam, adalah wali kepada rakyat dan pemutus dalam urusan agama dan dunia. Oleh itu, tidak ada satu zaman pun hubungan Imam (as) dengan rakyat terputus.
Sehingga saat ini juga, ulama yang menepati syarat-syarat faqih agama dan siasah akan membimbing manusia. Ia merupakan pemilik “Wilayah Syariat” sebagai wakil kepada Imam Mahdi (as). Ia bertanggungjwab memelihara kelestarian syariat dan agama Tuhan. hendaklah sentiasa alim dan faqih yang berkemampuan dan ahli untuk mengetuai masyarakat, dan seorang-yang paling beramal dan paling tinggi dilantik sebagai pemimpin dunia Islam. Para mujtahid dan ulama lainnya berkewajipan membantu dan menyokongnya, memelihara Wahdat persatuan umat Islam dan mengekalkan kekuatan agama, sehingga kekuatan yang jahat sekalipun tidak mampu untuk menggugah dan meruntuhkannya.
Kejauhan kita dari Pelindung mustadhafin sangat memeritkan. Namun, walau apa pun bentuk ujian zaman ini, kepercayaan dan pegangan kita tetap teguh dan segar. Al-Mahdi (as), dengan kekuatan Tuhan dan lindunganNya, akan bangkit bersama satu revolusi hebat yang membebaskan orang yang dizalimi dari cengkaman orang-orang yang zalim. Cahaya agama serta syiarnya Islam akan kembali mendapat kemuliaan dan ketinggian.
Kepercayaan kepada Kebangkitan Penyelamat Akhir Zaman
Selain Islam, kepercayaan akan kezuhuran penyelamat akhir zaman terkandung dalam hampir seluruh agama samawi dan ajaran lainnya. Tanpa terkecuali, Yahudi, Zoroaster, Kristian, Hindu dan Budha turut mengakui akan kewujudan penyelamat akhir zaman, biar pun dengan nama yang berbeza.
Kepercayaan Kepada Imam Mahdi (as) Bukanlah Hanya Dalam Syiah
Kepercayaan akan kezuhuran Imam Mahdi (as) bukan hanya milik orang Syiah dan ulama Tasyaiyu’ sahaja, bahkan pendahulu mazhab-mazhab Ahlul Sunnah dan fahaman lainnya mempunyai kepercayaan yang sama. Cerdik pandai mereka, telah banyak menyebut perkara ini dalam kitab-kitab mereka dan mengakui dengan lantang bahawa hadis-hadis Rasulullah (saww) seputar Imam Mahdi (as) adalah mutawatir dan sahih di sisi mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment