Popular Posts

Saturday, June 20, 2009

Wiladah Saidatina Fatimah Az Zahra’ Salamullah Alaiha

Salam dan Tahniah diutamakan ke atas Rasulullah saww. dan para Ahlul Bait as. atas kelahiran wanita suci, pemimpin dua alam khususnya kepada Shahib Zaman ajf. atas kelahiran Ibunda Tercinta. Diikuti berjutaan tahniah kepada seluruh Ummat Islam atas kelahiran Ummu Abiha serta Ibunda buat seluruh manusia sejagat .Selamat Hari Ibu juga diucapkan buat seluruh Ibu Di Dunia, semoga Beliau sa. adalah contoh tauladan sebagai seorang Isteri dan Ibu yang sempurna.



Hari ini adalah hari terciptanya sepenuh kebahagiaan, seluruh keindahan, kesucian serta penuh dengan limpah keberkatan buat makhluk Allah S.W.T di seluruh alam ini. Hari ini juga merupakan hari yang terilhamnya nilai-nilai manusia utama, selaku khalifatullah di muka bumi ini. Syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT dan para Imam-imam suci kerana dengan Izin-Nya dapatlah kita sama-sama berhimpun di hari yang mulia ini. Selawat dan salam kami ucapkan di kala ini, pada hari ulangtahun kelahiran wanita yang penuh dengan keagungan, ketua wanita di syurga yang kekal abadi, wanita suci, wanita yang menjadi kebanggaan semesta alam, dan dialah Fatimah Az-Zahra’ Ketua Wanita sekalian alam. Puteri Mukjizat sejarah dan puteri kepada kekasih Allah, Muhammad Ya Rasullullah.
Wahai Fatimah Az-Zahra’…Wahai Puteri Rasulullah saw…Selawat serta salam ke atas junjungan Muhammad Khatimul Anbia’ Sallallaahu `alayhi wa aalihi wa salam dan keluarganya yang suci.
"Wahai Tuhan Zahra! Dengan hak Zahra (as) ubatilah dada (jiwa) Zahra dengan kezuhuran Hujjah"

Fatimah Az-Zahra’ a.s adalah putri Nabi Muhammad saw, wanita yang paling dikasihi oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Sehinggakan, Rasulullah saw sendiri bersabda dalam hadis yang menerangkan tentang keutamaan Fatimah a.s: “Wanita yang terbaik di dunia ada empat iaitu Mariam, Asiah, Khadijah dan Fatimah.” Mengapa Fatimah begitu dicintai Allah dan Rasul-Nya? Bagaimanakah beliau meraih kedudukan agungnya itu? Adakah kita sebagai seorang Islam benar-benar mengenali peribadi agung wanita suci ini?
Fatimah Az-Zahra’ a.s merupakan puteri Rasulullah saw, dilahirkan pada tanggal 20 Jamadilakhir tahun kelima selepas kenabian Rasulullah saw. Puteri Nabi yang mulia ini mewarisi kedua-dua sifat terpuji Ibunda dan Ayahanda tercintanya. Keagungan sifatnya, kemurahan hatinya, keluhuran budi, ketinggian ilmu, keindahan tarbiyah dan kesabaran terpuji pada dirinya dimiliki dari Bonda Khadijah a.s serta ketinggian malakut Ayahandanya Muhammad Rasullullah. Sayyidah Fatimah Az-Zahra’ a.s adalah seorang yang patut dijadikan contoh kerana keperibadiannya yang sempurna ini. Beliau memiliki ilmu, spiritual yang tinggi, serta keperibadian yang ideal. Malah, kehidupannya adalah kehidupan para kekasih Allah swt.
Fatimah az Zahra… Ketinggian dan kecantikan peribadinya umpama Rasulullah saw. Fatimah Az-Zahra a.s menyerupai ayahandanya dalam perilaku dan akhlaknya. Telah diriwayatkan bahawa Ummu Salamah, isteri Rasulullah saw berkata: “Fatimah adalah manusia yang paling menyerupai Rasulullah saw.” Selain itu, Aisyah juga berkata: “ Sesungguhnya Fatimah merupakan manusia yang paling menyerupai Rasulullah saw dalam berbicara dan caranya berbicara. Fatimah tidak mencintai seorang pun sebesar cintanya terhadap ayahnya.” Keaslian wujudnya Fatimah a.s adalah hakikat tanpa prasangka lagi. Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah saw tatkala keluar bersama Fatimah a.s sambil berpegangan tangan bersabda: “Barangsiapa yang tidak mengenalinya, ketahuilah bahawa Dia adalah puteri Muhammad, Dia sebahagian dari
diri dan jiwaku, Dia adalah ruhku yang berada di antara dua tulang rusukku, maka barangsiapa yang menyakitinya, sesungguhnya dia menyakitiku dan barangsiapa yang menyakitiku, sesungguhnya dia menyakiti Allah”.
Fatimah Az-Zahra’ a.s yang kemuliaannya menjadi contoh tauladan yang sempurna adalah kerana persisnya dirinya dengan ayahandanya Rasulullah saw. Beliau memiliki sifat kemanusiaan, tanggungjawab, harga diri, kesucian, kecerdasan dan ilmu pengetahuan yang sempurna seperti ayahandanya. Ummul Mukminin Aisyah dan yang lain telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah bersabda : “Wahai Fatimah! Tahniah ke atasmu, bahawasanya Allah swt telah memilih kamu daripada seluruh wanita dunia dan seluruh wanita Islam yang merupakan agama yang terbaik.” Keperibadiannya yang tinggi ini adalah kerana Fatimah Az-Zahra a.s tumbuh dalam asuhan wahyu dan kenabian, di rumah yang penuh dengan firman-firman Allah dan ayat-ayat Al-Quran yang mulia. Hubungan dan kedekatan Fatimah Az-Zahra a.s dengan Allah swt, ibadah serta munajat dengan segala keberadaannya adalah hasil didikan Nabi Muhammad saw. Fatimah jugalah yang menjaga ayahandanya setelah bondanya Khadijah al-Kubra wafat. Fatimah berusaha mengisi kekosongan serta senantiasa menghiburkan hati ayahandanya setelah kepergian bondanya. Justeru itulah Rasulullah saw menamainya Ummu Abiha. Ini menjadikannya lebih hampir dengan ayahandanya, Rasulullah saw.
Di hadapan lelaki buta Sayyidah Fatimah (as) melindungi dan memelihara maruahnya. Rasulullah saw bertanya kepadanya, “Mengapakah anda berhijab,sedangkan orang itu buta?” Zahra (as) memberi responnya, “Walaupun dia tidak nampak saya,tetapi saya melihatnya,serta dia boleh mencium bauku” pantas Rasulullah (saw) bersabda, “saya naik saksi bahawa kamu adalah cebisan dari diriku.Amru bin Dinar meriwayatkan dari Aisyah berkata: " Tidak pernah aku melihat seseorang pun yang lebih benar daripada Fatimah salamullah 'alaiha selain daripada ayahnya."[Hilyatul-awliya, Juzuk 2, hlm. 41]
Rasulullah saw sendiri sangat menghormati puterinya Fatimah a.s. Penghormatan ke atasnya bukan hanya kerana kasih seorang ayah terhadap puterinya tetapi kerana hakikat kezahiran kesempurnaan sifat-sifat kehambaan didalam ruhnya. Beliau, Fatimah Az-Zahra adalah wanita agung lagi suci. Kesuciannya terungkap oleh Rasul saw kerana hakikat kewujudannya. Allah swt. telah menjadikan Rasulullah saw dan para Imam as. sebagai manusia versi lelaki yang sempurna, contoh teladan dan hujjah bagi seluruh insan, begitu juga, Allah swt menjadikan Fatimah a.s sebagai contoh dan hujjah versi wanita yang sempurna dan barangsiapa yang mengikutinya adalah mengikut Rasulullah saww. dan para Imam Maksum as.
Fatimah di mata Al-Quran

"Sesungguhnya kami mengurniakan Kamu Kausar. Maka sembahyanglah (iaitu lakukan Solat Aidil Adha) dan korbanilah demi TuhanMu." (Surah Mubarak Kausar, Ayat 1-2)

Diriwayatkan bahawa "Kausar" mempunyai maksud dan makna yang luas, dan di antaranya "kebaikan dan keberkahan yang banyak". Ulama-ulama besar Ahlul Bait secara majoriti mempercayai bahawa salah satu daripada maksud Kausar ini adalah kewujudan suci "Fatimah Zahra a.s.". Ini kerana diriwayatkan sya'ni nuzul ayat (sebab turun ayat) adalah : mereka memfitnah Rasulullah saw. dengan orang yang terputus keturunannya, maka Quran datang menafikan kata-kata mereka dengan berfirman : "Kami mengurniakan kamu Kausar". Disimpulkan disini "kebaikan yang banyak" ini tidak lain adalah Fatimah Az-Zahra a.s. Wasilah puteri zuriat keturunan Rasulullah saw ini tersebar ke seluruh dunia. Kesucian keturunannya bukan sahaja sebagai puteri Rasul saw, bahkan dengan memelihara seluruh kepentingan agama Islam yakni agama junjungan Rasulullah saw, serta menyampaikannya kepada generasi yang akan datang.

Diriwayatkan dalam satu perbahasan menarik daripada "Fakhrulrazi"(ulama Ahli Sunnah) berkenaan isi kandungan tafsir yang pelbagai tentang Kausar yang berkata : “Pendapat yang ketiga adalah surah ini diturunkan bagi menolak mereka yang mengatakan tentang ketiadaan keturunan daripada Rasulullah saw, maka makna surah ini adalah Allah swt. telah mengurniakan keturunan dimana akan sentiasa kekal pada setiap zaman, lihatlah berapa banyak Ahlul Bait yang telah disyahidkan, namun dalam keadaan ini dunia masih dipenuhi dengan mereka, dalam keadaan dimana Bani Umayyah (musuh Islam) sentiasa mencuba untuk menghapuskan mereka dari muka bumi ini. Maka renung dan lihatlah terdapat ramai daripada ulama-ulama besar daripada keturunan mereka seperti Baqir, Sodiq, Ridha dan Nafsu Zakiyah, beribu-ribu anak-anak dari Fatimah as. telah tersebar di seluruh dunia, dan antara mereka, penulis-penulis, fuqaha, ahli-ahli hadis dan tafsir yang mempunyai makam yang tinggi serta pemimpin-pemimpin besar yang telah berusaha dengan berkorban demi menjaga Agama Islam”.



Fatimah di dalam hadis

Rasulullah saw bersabda :

“Allah SWT marah atas kemarahan Fatimah dan Allah SWT redha atas keredhaannya. Dan sabda Rasul lagi “Fatimah a.s adalah sebahagian dariku, barangsiapa yang menyakitinya maka dia menyakitiku, orang yang mencintainya maka mencintaiku. Fatimah adalah jiwa dan ruhku, Fatimah adalah Pemimpin Dua Alam.”

“Fatimah a.s puteriku adalah bidadari manusia, setiap kali aku merindui syurga, aku akan mencium Fatimah a.s”.
Imam Jaafar Sadiq as. telah ditanya:
Apakah maksud Haiya 'Ala Khairil 'Amal (marilah melakukan sebaik-baik amal), Amal yang terbaik itu apa? Imam as. menjawab : Amal yang terbaik itu adalah berbuat baik terhadap anak-anak Fatimah sa., keturunan Fatimah sa.
Imam Ali al-Ridha berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda:
" Hassan (as) dan Husayn (as) adalah makhluk yang terbaik di dunia selepasku dan selepas bapa mereka (Ali as) dan ibu mereka (Fatimah as) adalah wanita yang terbaik di kalangan semua wanita."[Bihar, Jilid 43, hlm. 19 dan 20]

Fatimah Az-Zahra’ a.s. telah berkata :

"Kami Ahlul Bait Rasulullah saw adalah wasilah penghubung Allah dengan para makhluk, kami adalah para pilihan Allah dan tempat kesucian, kami adalah hujjah-hujjah (dalil-dalil) terang Allah dan waris para nabi Allah”.

(Syarah Nahjul Balaghah, Ibnu Abil Hadid, J16, m/s 211)


Fatimah (Yang Melindungi)

Imam Shadiq as telah berkata kepada salah seorang sahabatnya: “Tahukah engkau apa maknanya Fatimah?” Dia menjawab, ‘Beritahukan aku wahai penghuluku’. Lalu Beliau menjawab, “Sekiranya bukan Amirul Mukminin yang menikahinya, nescaya tidak ada tandingannya di atas bumi ini sampai hari kiamat dari sejak Adam hingga seterusnya.”
Dan di dalam hadis mutawatir telah diriwayatkan Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Fatimah dinamakan Fatimah kerana Allah Azza wa Jalla melindungi pencintanya dari api neraka.” Sesungguhnya kelahiran Sayyidah Fatimah Az-Zahra ini merupakan rahmat bagi seluruh makhluk semesta alam ini.

Doa Solawat Fatimah:
"Ya Allah Ya Tuhanku! curahkan lah Rahmat -Mu- atas Fatimah, Ayahnya, Suaminya dan kedua Puteranya (Hasan dan Husain) dengan sebanyak bilangan ilmuMu yang Engkau ketahui "

Malam kelahiran Az-Zahra, putri tercinta Rasulullah,
Merupakan malam penuh berkah,
Di sisinya doa pada malam ini diterima,
Malam anugerah, malam Al-Quran, dan malam penuh cahaya,
Malam pemberian Al-Kautsar bagi Rasul yang mulia,
Wahai yang terpandang di sisi Allah,
Kurniakanlah pada kami syafaatmu… Ya Fatimah Az-Zahra…

Eltimasi Doa
Khidmat Imam Zaman (as)
Email: abalfazl@arridha.com
http://www.arridha.com

No comments: