Hauzah Ar Ridha (as) Kuala Lumpur Malaysia 5 July 2009
Wiladah Putra Kaabah Imam Ali al-Murtadha Alaihissalam
Wiladah Putra Kaabah Imam Ali al-Murtadha Alaihissalam
Sambutan hari kelahiran senantiasa diiringi riang gembira dan gelak tawa. Tatkala sambutan sebegitu bertujuan meraikan seorang kekasih, kegembiraan kita akan bertambah, dan usaha kita menyediakan acara sambutan itu juga semakin bersungguh-sungguh, seperti sambutan hari ini, hari kelahiran satu-satunya putera Kaabah. Hari ini merupakan sambutan hari kelahiran seorang Imam yang hanya kepadanya Allah SWT memberikan izin untuk diputerakankan di bahagian dari bumi yang terbaik dan paling suci iaitu Kaabah. Hari ini adalah hari sambutan kelahiran Imam pertama, Imam Ali al-Murtadha Alaihissalam. Ucapan tahniah buat semua.
Berdasarkan riwayat para ahli sejarah, Imam Ali as dilahirkan pada hari Jumaat, tanggal 13 Rejab tahun ketiga puluh Tahun Gajah dalam keadaan yang luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini, iaitu di dalam Kaabah, di Masjidil Haram.
Ayahanda beliau ialah Abu Thalib, putera Abdul Muthalib bin Hashim bin Abdul Manaf dan ibundanya pula Fatimah, puteri Asad bin Hashim. Oleh kerana itu, nasab Ali dari kedua-dua orang tuanya adalah Hashimi. Abu Thalib, sebelum kelahiran Ali telah memiliki 3 orang putera. Mereka ialah Thalib, Aqil dan Jaafar.
Namun, wiladah bayi ini bukanlah seperti kelahiran kanak-kanak yang lain. Kelahirannya penuh luar biasa dan diiringi unsur maknawi. Ibunda bayi ini merupakan seorang muwahhid (menyembah yang Esa) dan hidup dengan menganuti agama Hanif, ajaran Nabi Ibrahim as dan bermunajat kepada Allah serta mengatakan bahawa Allah telah memudahkan kehamilan yang dilaluinya kerana selama menghamilkan bayi ini beliau senantiasa melihat cahaya Ilahi dan mendapat ilham daripada alam Malakut yang mulia bahawa bayi ini sangat berbeza daripada kelahiran yang lain.
Syeikh Saduq menukilkan tatkala kehamilan Fatimah binti Asad cukup 9 bulan dan sakit melahirkan bayinya mulai mencengkam, beliau mengucapkan: “Tuhanku, aku beriman kepada-Mu dan kepada para Rasul dan kitab-kitab suci yang diutuskan dari-Mu, aku juga membenarkan kata-kata datukku Ibrahim al-Khalil dan bagindalah yang membina dan mendirikan Rumah Mulia ini. Dengan hak Rumah yang dibina ini dan dengan hak bayi didalam kandunganku ini, permudahkanlah kelahirannya.” Yazid bin Qa’nab berkata: “Kami telah melihat dengan mata kami sendiri bahawa dinding Kaabah terbuka dan Fatimah masuk ke dalamnya dan hilang dari pandangan mata kami lalu dinding pun tertutup kembali, kemudian kami berkehendak untuk membuka kunci Rumah Kaabah namun gagal, maka ketahuilah kami bahawa perkara ini adalah perintah daripada Allah Azza wa Jalla. Fatimah keluar empat hari kemudiannya sedang Amirul Mukminin as di atas pangkuannya.”
Nikmat dan kemuliaan diputerakan di dalam Kaabah hanya kebanggaan milik Amirul Mukminin as. Tiada yang mengecapi nikmat ini, dulu kini dan selamanya melainkan Ali as. Hakikat ini diakui semua. Ibnu Shabagh al-Maliki, seorang pemuka dan ilmuan Ahlus Sunnah menulis di dalam kitabnya Fushul Al-Muhimmah: “Sebelumnya tiada seorang pun yang dilahirkan di dalam Kaabah melainkannya, dan ini merupakan satu kelebihan yang Allah telah khususkan buat Ali as agar manusia mengenal ketinggian martabatnya serta memuliakannya.
Di dalam jilid 9 Biharul Anwar berhubung penamaan beliau as dengan nama“Ali” telah tercatat bahawa ketika Abu Thalib mengambil bayi dari ibunya dan meletakkan ke dadanya serta mengambil tangan Fatimah, serta bermunajat ke Hadrat Allah Subhanahu Taala: “Wahai Tuhan pemilik malam yang gelap dan bulan yang bersinar cahaya, di atas hukum aturan-Mu tunjukkan bagi kami nama selayaknya kami berikan buat bayi ini. Terdengar suara menyeru lembut: “Kamu berdua (Abu Thalib dan Fatimah) telah dikurniakan seorang anak yang mulia, suci lagi terpilih, maka namanya adalah “Ali” dan “Ali” adalah dari nama Allah al-Aliyyul A’la”.
Ulama-ulama besar Ahlus Sunnah juga didalam kitab-kitab mereka telah mengisyaratkan perkara yang sama. Muhammad bin Yusuf al-Ghanji as-Syafii dengan perbezaan beberapa lafaz dan kalimah telah menulis di dalam kitabnya Kifayatul Thalib bahawa telah terdengar suara sebagai jawapan kepada permintaan Abu Thalib yang berbunyi: “Wahai ahli keluarga Al-Musthafa An-Nabi, telah dikurniakan kepadamu anak yang suci, sesungguhnya namanya adalah “Ali” dan “Ali” adalah dari nama Tuhan al-Aliyyul A’la.”
Terdapat di dalam sebahagian riwayat bahawa Fatimah binti Asad sebelum menamakan bayinya dengan nama “Ali” yang mana berlaku dengan wasilah suara ghaib, beliau telah memanggil bayi kecil ini dengan nama “Haidar”.
Oleh kerana nama beliau telah diletakkan dengan nama Ali, maka nama Haidar kekal menjadi sebahagian daripada nama-nama gelarannya. Antara gelaran beliau as yang paling mahsyur adalah Haidar, Asadullah (Singa Allah), Murtadha, Amirul Mukminin dan Akhu Rasulullah (saudara Rasulullah saww). Nama panggilannya pula adalah Abul Hasan dan Abu Turab.
Keimanan ayahanda dan bonda beliau as kepada Allah serta penerimaan Islam Fatimah dan Abu Thalib juga dapat diketahui daripada pelbagai jalur riwayat bahawa mereka pada zaman Jahiliah beriman kepada yang Esa dan bagi meletakkan nama anak, mereka memohon pertolongan kepada Allah. Fatimah binti Asad disisi Rasulullah saww adalah umpama seorang ibu dan merupakan antara orang pertama yang beriman kepada baginda saww, berhijrah ke Madinah, dan tatkala beliau wafat, Rasulullah saww telah menjadikan pakaian baginda sendiri sebagai kafan buat wanita mulia ini. Baginda menyembahyangkan jenazahnya, mengebumikannya dan menalqinkannya serta mendoakannya agar dipermudahkan kehidupan rohnya di alam barzakh.
Abu Thalib as juga merupakan seorang muwahhid (penyembah Tuhan yang Esa) dan telah beriman kepada Nabi saww selepas pelantikannya sebagai Rasulullah saww.. Namun, oleh kerana beliau merupakan syeikh dan ketua Quraish maka dikeranakan kemaslahatan, beliau menyembunyikan keimanannya. Di dalam kitab Amali Saduq, seorang lelaki telah berkata kepada Ibnu Abbas: “Wahai putera bapa saudara Rasulullah saww. Beritakan kepadaku apakah Abu Thalib seorang muslim? Jawab Ibnu Abbas: “Bagaimana mungkin beliau bukan seorang muslim sementara beliau senantiasa mengatakan - Musyrikin Makkah mengetahui bahawa putera kami (Muhammad saww.) disisi kami bukanlah penipu dan tidak akan memberi perhatian kepada kata-kata yang tidak berfaedah dan salah”.
Abu Thalib umpama Ashabul Kahfi yang menyembunyikan iman mereka di dalam hati dan tidak menzahirkannya demi keselamatan dan maslahat. Imam Sodiq as berkata: “Abu Thalib umpama Ashabul Kahf dimana terdapat iman di dalam hati mereka dan pada zahirnya mereka adalah musyrik, Allah swt. mengurniakan mereka dua pahala (satu untuk iman dan satu bagi taqiyah)”.
Terdapat banyak bait-bait syair daripada Abu Thalib yang mana mukhatabnya adalah Rasulullah saww di mana keislaman beliau daripada bait-bait tersebut sangat jelas. Sebagai contoh daripada bait syair beliau: “Kamu telah mengundangku dan aku tahu bahawa pasti kamu menginginkan kebaikan bagiku dan kamu yang sejak dahulu merupakan seorang yang jujur dan amin (terpercaya) serta agama yang kau bawa kepada manusia adalah agama yang terbaik.” (Biharul Anwar, Jilid 35, m/s124)
Bertanya seseorang kepada Imam Sodiq as bahawa terdapat sekumpulan manusia yang menyangka bahwa Abu Thalib merupakan seorang kafir, maka Imam as berkata: “Mereka berdusta, bagaimana mungkin beliau seorang kafir dalam keadaan beliau sentiasa berkata - Adakah kamu tidak mengetahui bahawa kami menemui Muhammad sebagai nabi seperti Musa di mana didalam kitab terdahulu telah tertulis namanya.”
Berbalik kepada putera ini yang dilahirkan di dalam Haramnya Allah di dalam Rumah Allah dan Masjidil Haram. Pada malam dimana bintang-bintang tidak kelihatan dan terbit bintang yang paling bercahaya bersama bulan. Dunia tidak memiliki kelahiran cemerlang sepertinya (tidak akan pernah ada yang akan lahir sepertinya) kecuali putera Aminah, Muhammad Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aali Wa Sallam.
Antara untaian kata mutiara Rasulullah saww untuk Imam Ali as, baginda bersabda:
“Wahai manusia barangsiapa mengakui aku adalah maulanya, maka Ali adalah maulanya, Tuhan menyukai orang yang menyukainya dan bermusuhan dengan orang yang bermusuhan dengannya”
“Aku dan Ali adalah ayah kepada Ummah ini,Aku adalah kota ilmu dan Ali merupakan pintunya.”
“Barangsiapa yang ingin menyaksikan keilmuan dan kebijaksanaan Adam, kzuhudan Nuh, kesabaran Ibrahim dan kemuliaan Musa serta kesungguhan ‘Isa maka lihatlah pada Ali”.
“Barangsiapa yang ingin hidup seperti hidupku dan wafat seperti wafatku serta masuk ke syurga yang telah dijanjikan kepadaku oleh Tuhanku iaitu Jannatul Khuld, maka hendaklah ia berwilayah (berpemimpin) kepada Ali dan keturunan sesudahnya, kerana sesungguhnya mereka tidak akan mengeluarkan kamu dari pintu petunjuk dan tidak akan memasukkan kamu ke pintu kesesatan.” (Shahih Bukhari, jilid 5, hal. 65, cet. Darul Fikr).
Ya Aba Soleh Eltimasi Doa
Khidmat Imam Zaman (as)
Email: abalfazl@arridha.com
No comments:
Post a Comment