Popular Posts

Friday, October 30, 2009

Imam Reza as




Bismi Taala

قُل لا اسألُكُم عَليه اَجراً اِلّا المَوَدّة في القُربى

Katakanlah wahai Nabi! Aku tidak mengharapkan ganjaran daripada kalian, kecuali kecintaan kepada keluargaku. (Syura, 23)

Imam Ali Ar-Ridha alaihissalam dalam menerangkan tafsir ayat ini dan bukti kedudukan Ahlulbait alaihimussalam berkata :

Di dalam Al-Quran terdapat ayat yang seumpama ini, turun berkenaan sebahagian Rasul-rasul seperti Nabi Nuh, Hud, Soleh, Luth dan Syuaib dengan hanya perbezaan pada ayat yang berbunyi (pahala dan ganjaran para Rasul hanya terletak disisi Allah), tetapi (kecintaan kepada keluarga)) mereka tidak disebutkan. Al-Quran merakamkan berkenaan Rasul terakhir, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Aalih bahawa ganjaran bagi risalah Rasul, kecintaan kepada keluarga terdekatnya.
Imam Ridha Alaihissalam meneruskan : Allah swt, mewajibkan kecintaan kepada Ahlul Bait Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Aalih kerana Dia mengetahui bahawa Ahlul Bait Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Aalih tidak akan sesekali membelakangi agama dan tidak akan sesekali tersesat atau terpesong.

Imam Ridha Alaihissalam berkata : selepas turun ayat ini dan sebelum ia dibaca kepada orang ramai, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Aalih berada bersama pengikut-pengikutnya dan mengucapkan syukur ke Hadrat Ilahi kemudian bersabda : ‘Wahai manusia, Allah Subhanahu Taala telah mewajibkan ke atas kamu satu tanggungjawab, adakah kamu akan mengamalkan tanggungjawab ini?’

Tidak ada yang menyambut persoalan yang dikemukakan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Aalih , kerana mereka menyangka tanggungjawab mereka itu adalah dari segi harta. Hari kedua, Rasulullah Sallallhu Alaihi wa Aalih mengulang sekali lagi perkara yang sama dan mereka masih diam membisu sehinggalah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Aalih bersabda : ‘Tanggungjawab ini, bukanlah (dari segi harta dan) membayar emas dan perak, makanan atau minuman.’ Mereka bertanya : ‘Jika bukan semua itu, maka apakah itu? Maka Baginda Sallallahu Alaihi wa Aalih membaca ayat-ayat yang telah diturunkan kepadanya dan bersabda : ‘Ganjaran risalahku adalah kecintaan kepada ahlul baitku’.. mendengar ayat ini mereka berkata : ‘Kami menerima perintah Tuhan, dan kewajipan ini akan kami tunaikan.’ Imam Ridha Alaihissalam kemudian berkata : ‘Namun ramai manusia tidak mengamalkan tanggungjawab Ilahi ini dan tidak setia pada apa yang telah mereka janjikan.’

Imam Musa al-Kazhim Alaihissalam, seluruh keluarga Bani Hashim serta para pengikutnya Imam Jaafar As-Sodiq Alaihissalam masih dalam keadaan berduka-cita atas kesyahidan ayahnya, sebagai ketua dan pemimpin tercinta. Madinah juga turut berduka atas kehilangan pemimpin dan imam tercinta seperti Imam Sodiq alaihissalam, langit juga tampak suram di mana matahari, bulan dan bintang-bintang amat masgul.. Dari 25 Syawal sehingga 11 Zulkaedah, tidak terlihat walau senyuman dibibir para pengikut imam. Sehinggalah hari ke 11 Zulkaedah yang mana matahari terbit berbeda dan Madinah serta ahlinya mendapat khabar gembira tentang kelahiran seorang putera di rumah Imam Musa Al-Kazhim Alaihissalam.

Kelahiran seorang putera yang dinamakan ALI, yang menenangkan serta membawa cahaya ceria kepada seluruh alam.

Abul Hassan, Ali ibni Musa Alaihimussalam yang terkenal dengan gelaran Ar-Ridha, pemimpin dan imam yang kelapan, dilahirkan pada 11 Zulkaedah tahun 148 Hijrah. Imam a.as yang merupakan salah seorang daripada Ahlul Bait Alaihimussalam yang telah diwajibkan kecintaan ke atas mereka.

Kelahiran mulia ini telah dikhabarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih di mana telah diriwayatkan bahawa Hamidah Salamullah Alaiha, ibunda Imam Musa Al-Kazhim Alaihissalam telah melihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih pada satu malam di dalam tidurnya, Baginda Sallallahu Alaihi Wa Aalih bersabda kepadanya supaya mengahwinkan Najmah Salamullah Alaiha dengan puteranya Musa Alaihissalam, kerana daripada wanita itu akan lahir seorang putera yang terbaik daripada seluruh penduduk bumi. Oleh sebab itu, Hamidah Salamullah Alaiha telah mengahwinkan Imam Musa Kazhim Alaihissalam dengan Najmah Salamullah Alaiha. Terdapat riwayat lain daripada Imam Musa Al-Kazhim Alaihissalam yang berkata : ‘Datuk dan ayahku telah berkata kepadaku di dalam tidur.. Wahai Musa! Daripada hamba ini akan lahir seorang yang terbaik daripada seluruh penduduk bumi. Letakkan namanya Ali yang mana Allah Subhanahu wa Taala akan memberikan dengannya segera keadilan, rahmat dan barakah disebabkan beliau.Berbahagialah mereka yang membenarkannya dan sengsaralah mereka yang memusuhinya dan mengingkarinya.’

Kelahiran Imam Ridha Alaihissalam adalah sebuah harapan dan merupakan cita-cita datuknya Imam Sodiq Alaihissalam untuk bertemu dengan beliau. Imam Kazhim Alaihissalam meriwayatkan ‘Aku telah mendengar acapkali daripada ayahandaku, Jaafar Bin Muhammad yang berkata.. alim Aali Muhammad akan lahir daripadamu dan alangkah berbahagianya jika aku dapat melihatnya. Namanya adalah sama dengan nama datukku Amirul Mukminin Alaihissalam.’

Khurasan pada malam kelahiranmu merupakan tempat yang paling dikasihi. Malam ini para malaikat dan hati-hati menjurus ke arah kota Mashad. Hati-hati malam ini mengharapkan bahawa alangkah bahagia dan beruntungnya jika kita dapat menyambut kelahiran mulia ini disisi sang kekasih, di Haram dan tempat bersemadi tubuh sucinya.
Pada kelahiran Imam Ridha Alaihissalam kali ini, kita akan cuba meniliti apakah kepentingan dan kelebihan yang dijanjikan dengan menziarah ke makam beliau Alaihissalam.




Antara kelebihan ziarah ke Makam Imam Ridha Alaihissalam :
1) Ziarah Imam Ridha Alaihissalam lebih baik daripada menziarahi Sayyidush Syuhada Alaihissalam.

Syah Abdul Azim Hasani berkata ‘Aku telah bertanya kepada Imam Jawad Alaihissalam, kemanakah aku perlu berziarah, adakah ziarah Imam Husain Alaihissalam atau ayahandamu, (Imam Ali Ar-ridha a.s.)
Imam Alaihissalam berkata ‘Bersegeralah! Kemudian beliau berduka dan menangis.Imam Jawad menjelaskan lagi..’Penziarah Imam Husain Alaihissalam begitu banyak namun penziarah Ayahandaku amatlah sedikit berbandingnya.’

Di dalam riwayat lain beliau Alaihissalam berkata ‘Menziarahi ayahku lebih utama kerana Imam Husain Alaihissalam didatangi oleh semua manusia namun ayahku hanya diziarahi para pengikut syiah Imam 12.

Ini adalah kerana semua golongan syiah seperti Isna ‘Asyaari, Zaidiyah,Ismailiyah, waqifiyah dan lain-lain menerima wilayahnya Imam Husain Alaihissalam akan tetapi tidak semua golongan syiah menerima wilayah dan kepimpinan Imam Ridha Alaihissalam. Oleh kerana itu, terdapat riwayat yang menekankan bahawa beliau Alaihissalam adalah عارفا بحقه yang bermaksud beliau adalah imam yang wajib ditaati.

2) Janji keampunan dosa-dosa yang terdahulu dan yang akan datang bagi penziarah Imam Ridha Alaihissalam.

Imam Jawad Alaihissalam bersabda ‘Barangsiapa menziarahi makam ayahku di Tus, Allah Subhanahu wa Taala akan mengampuni dosa-dosanya baik yang terdahulu mahupun yang akan datang, pada hari kiamat akan didirikan mimbar baginya yang berhadapan dengan mimbar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih dan dengan tenang duduk di atasnya sehinggalah amalan semua hamba dihisab oleh Allah Subhanahu Taala.
Riwayat ini menunjukkan dua perkara :

1) Pengampunan dosa
2) Kemudahan dalam hisab
3) Ziarah dengan makrifah ganjarannya 70 syahid
Hamzah Bin Hamran meriwayatkan daripada Imam Sodiq Alaihissalam bahawa beliau Alaihissalam berkata ‘Barangsiapa yang menziarahi cucuku di Khurasan dengan mengenali haknya, akan mendapat ganjaran 70 syahid daripada para syuhada yang dikebumikan berhampiran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalih.
‘Aku berkata , aku adalah korban bagimu.’

Apakah maksud daripada mengenalinya hak itu? Berkata Alaihissalam :
Mengetahui bahawa beliau Alaihissalam adalah Imam yang wajib ditaati, terasing dan syahid.

4) Pada hari kiamat, semua manusia hanya ingin memikirkan diri sendiri tetapi Imam Ridha Alaihissalam berusaha untuk menyelamatkan para penziarahnya
Di hari kiamat, semua manusia hanya memikirkan diri sendiri dan perkara-perkara ini:
1) Timbangan amal.. ‘Adakah akibatnya baik atau buruk?’
2) Bagaimana melalui Jambatan Sirath..’Adakah berjaya melintasinya atau akan jatuh ke bawah?’
3) Menerima buku amalan.. ‘Adakah akan menerima buku amalan daripada tangan kiri atau tangan kanan?’



Imam Ridha Alaihissalam berkata : Aku akan menolong para penziarahku dalam menghadapi kesulitan itu dan mensyafaati mereka.

Imam Ridha Alaihissalam berkata.. ‘Barangsiapa menziarahiku yang berada dikejauhan, aku akan membantunya pada 3 tempat dan memudahkan 3 kesulitan itu :
1) Ketika buku-buku amalan diberikan pada tangan kiri atau kanan.
2) Ketika melalui jambatan sirath.
3) Ketika amalan ditimbang.

Kita memohon daripada Allah Subhanahu wa Taala supaya memberikan taufiq kepada kita untuk mengenali hak dan keutamaan Ahlul Bait Alaihimussalam, mencintai mereka sesuai dengan perintah Allah Subhanahu wa Taala. Semoga Allah memberikan inayah kepada kita untuk dapat menziarahi makam mereka Alaihimussalam khususnya makamnya Imam Ali Ibni Musa Ar-Ridha Alaihissalam.

Eltimasi doa

No comments: