Bismillahirrahmanirrahim
Bagaimanapun aku berfikir apa yang patut aku tuliskan berkenaan Imam Sodiq as. tidak aku temui didalam fikiranku. Bagaimanakah aku hendak menggelarkan aku sebagai seorang syiah, adakah aku boleh digelar sebagai pengikutnya Mazhab Jaafari, aku walau dalam keadaan terpaksa mungkin tidak mampu untuk meriwayatkan walau 4 baris daripada kata-kata Imam dan pemimpin mazhabku sendiri.
Setiap muharam atau majlis azadari yang aku hadiri, apabila Imam Husain as. bertanya semua pukulan dada atau tangisan buatnya untuk apa?apa yang aku ketahui? Mungkin aku boleh menjawab kerana ini kerana itu. Namun apabila sampai kepada Imam Hassan as., aku hanya mengetahui bahawa Imam Hassan as. berada di lorong-lorong Madinah dan hadir ketika kejadian tamparan kepada Ibunya dahulu, atau Imam Hassan as. syahid dikeranakan racun yang diletakkan oleh isterinya sendiri, ataupun Imam Ali as. telah berkata kepada Imam Hassan as. : Hasanku sayang, jika kamu mahu menjalankan qisas kepada pembunuhku maka hanya dengan satu pukulan, dan hanya ini…..
Kini tiba syahadah Imam Sodiq as., Imam yang mazhabku terkenal dengan namanya, mazhab Jaafari!... apakah yang patut aku lakarkan berkenaan dengannya, apa yang aku patut tuturkan berkenaan musibahnya?...diri kerdil ini terlalu jahil untuk bercakap mengenai Imam besar ini…
Namun, ringkasan daripada apa yang aku temui daripada kitab-kitab atau bahan-bahan bacaan berkenaan Imam Sodiq as., akhirnya artikel ini dengan segala kekurangan dan dengan harapan diterima oleh Imam tercinta as. disembahkan kepada semua.
Nama Imam Sodiq as., Jaafar, gelarannya Sodiq dan nama panggilannya Abu Abdillah. Ayahnya, Imam Muhammad Al-Baqir as. dan ibunya Ummu Farwah. Hari kelahiran beliau as. adalah pada 17 Rabiul Awal tahun 83 Hijrah Qamariah di Madinah. Zuriat peninggalan Imam Sodiq as. adalah 10 orang, 7 lelaki dan 3 perempuan, salah seorang daripadanya adalah Imam Musa Al-Kazhim as.
Masa keimamahan Imam Sodiq as. bersamaan dengan zaman akhir pemerintahan Bani Umayyah dan permulaan pemerintahan Abbasi, maka oleh kerana zaman tersebut antara zaman yang paling sesuai dan terbaik, Imam Sodiq as. memiliki ramai pelajar yang menuntut ilmu daripadanya.
Pelajar-pelajar Imam Sodiq as. boleh dibahagikan kepada dua kumpulan : tanpa perantaraan (seperti Malik Bin Anas, Abu Sufyan Thuri dan Jabir Bin Hayyan) dan dengan perantaraan (umpama Imam Syafie dan Abu Hanifah). Sebab kenapa Mazhab kita digelar dengan Mazhab Jaafari adalah kerana Imam Sodiq. Mempunyai ramai pelajar dan banyak hadis-hadis daripadanya yang sampai pada kita, Imam Sodiq as. mempunyai banyak hak atas kita syiah-syiahnya.
Musibah Imam Sodiq as.
Khalifah Mansur Dawaniqi Mal’un sangat risau dan takut akan pergerakan-pergerakan Imam Sodiq as., maka dengan itu dia sentiasa menyakiti dan menyeksa imam as. dengan menggunakan kuasa pemerintahan yang dimiliki.
Dia telah memerintahkan menteri Madinah dan Makkah Hasan Bin Ziyad supaya membakar rumah Imam Sodiq as.. Dia telah mematuhi perintah tersebut dan membakar rumah Imam as. yang mana api tersebut telah merebak sehingga pertengahan rumah, Imam Sodiq as. keluar dan berjalan diantara api yang membara dan berkata :
Aku merupakan putera Ismail as. dimana anak-anaknya seperti urat nadi dan akar yang tersebar ke seluruh kawasan bumi dan aku juga merupakan putera Ibrahim Khalil as. (dimana api Namrud telah sejuk baginya dan diselamatkan).
Satu malam, dengan arahan Mansur Imam Sodiq as. pada pertengahan malam dengan kepala tanpa amamah dan pakaian luar telah dibawa menemuinya, Mansur dengan penuh kemarahan dan tidak sopan berkata kepada beliau as. :
Wahai Aba Jaafar, adakah kamu tidak malu dengan umur sebegini ingin merampas pemerintahanku dan mencetuskan fitnah dan permusuhan antara kaum muslimin?
Kemudian dia mengeluarkan pedang dan menghalakannya ke arah Imam as. untuk menghentak leher Imam as., namun tiba-tiba dia melihat Rasulullah saww. berdiri dihadapannya, maka dia menyimpan semula pedang kedalam sarungnya, dan ini telah berulang sebanyak 3kali, oleh itu, Mansur membatalkan hasratnya untuk membunuh Imam as.. dan akhirnya Mansur menggunakan anggur beracun untuk membunuh Imam as..
Terdapat banyak riwayat berkenaan bulan kesyahidan Imam Sodiq as.. Sebahagian mengatakan 25 Syawal dan sebahagian yang lain mengatakan pertengahan bulan Rejab, namun riwayat 25 Syawal lebih masyhur. Namun berkenaan tarikh wafat Imam as., para ahli sejarah Syiah dan Sunni bersepakat mengatakan pada tahun 148 Hijrah. Masa keimamahannya adalah selama 34 tahun. Masa kesyahidannya juga bersamaan tahun ke12 pemerintahan Mansur.
Begitu juga, para penulis dan ahli sejarah Syiah mempercayai bahawa wali Madinah atas arahan Mansur Abbasi telah meracuni Imam as. dengan racun dan mensyahidkannya. Kaf’ami didalam kitab Mishbah meriwayatkan bahawa Imam as. diracuni dan syahid dengan anggur baracun, begitu juga sebahagian daripada para penyelidik Ahli Sunnah juga meriwayatkan bahawa kesyahidan Imam disebabkan oleh racun seperti penulis-penulis kitab Is’af Ar-Raghibin, Nur Al-Abshar, Tazkirah Al-Khawash, As-Showa’iq Al-Muhriqah.
Kewafatan Imam as.
Telah diriwayatkan daripada beliau as.ketika dalam keadaan telah hampir dengan kewafatannya yang berkata :
Aku beriman kepada Allah, dan aku kufur kepada Thagut, Ya Allah ya Tuhanku peliharalah aku didalam tidur dan jaga (kiamat).
Upacara pengebumian jenazah Imam as. sangat luar biasa yang mana didalam sejarah para Imam as. yang lain tidak pernah berlaku. Umat Islam, kafir, syiah dan sunni semua turut hadir dalam upacara duka tersebut.
Telah diriwayatkan daripada kitab Mishkah Al-Anwar bahawa seorang lelaki yang merupakan salah seorang sahabat Imam as. telah pergi menemui Imam as. ketika Imam as. dalam keadaan sakit (yang menyebabkan kewafatannya),lelaki tersebut menangis pilu apabila melihat keadaan Imam as. yang tersangat kurus dan lemah yang mana boleh dikatakan Imam as. tidak lagi memiliki apa-apa daripada tubuh badannya kecuali kepala.
Imam as. berkata : kenapa kamu menangis? Dia berkata : adakah aku tidak patut menagis apabila melihat keadaan Tuan begini. Berkata as. : Janganlah menangis, sesungguhnya seorang mukmin itu apabila setiap perkara yang menimpanya baginya adalah kebaikan, jika anggota badannya terpotong, baginya kebaikan dan jika dia memiliki kekayaan utara dan barat juga baginya kebaikan.
Syeikh Thusi daripada Salamah, hamba Imam Sodiq as. meriwayatkan bahawa berkata : Aku berada disisi Imam Sodiq as. ketika Imam as. pengsan dan ketika beliau as. kembali sedar, berkata as. : berikan kepada Hasan Bin Ali Bin Ali Bin Husain Bin Ali Bin Abi Thalib as. yang terkenal dengan Afthas, 70 syiling emas, berikan kepada fulan dan fulan sebanyak fulan ini, aku berkata : kamu ingin berikan kepada seorang lelaki yang menentang kamu dengan parang dan ingin membunuhmu? Berkata as.: Adakah kamu berkehendak aku tidak menjadi salah seorang daripada mereka-mereka yang Allah puji disebabkan silaturrahim yang mereka lakukan, yang mana Allah swt. berfirman tentang sifat-sifat mereka :
Dan mereka yang melakukan apa yang diperintah oleh Allah (menjaga silaturrahim) , takut akan Tuhannya dan gerun atas hari perhitungan yang buruk.
Kemudian berkata as. : Wahai Salamah, sesungguhnya Allah swt. telah menciptakan syurga dan menjadikannya harum mewangi dimana bau wangi tersebut dapat dihidu walau sejauh dua ribu tahun. Bau tersebut tidak akan dapat dihidu dan ditemui oleh mereka yang derhaka kepada ibu bapa dan mereka yang memutuskan hubungan silaturrahim dengan keluarga.
Syeikh Kulaini telah meriwayatkan daripada Imam Musa Kazhim as. bahawa berkata as.: Aku telah mengafankan ayahku dengan dua kain putih buatan mesir dimana kain tersebut telah digunakan sebagai ihram, sepasang baju dan amamah yang telah diwarisi daripada Imam Zainul Abidin as. serta sehelai kain buatan Yamani yang telah dibeli dengan 40 dinar emas.
Syeikh Saduq telah meriwayatkan daripada Abu Bashir yang berkata : Aku telah pergi menemui Ummu Hamidah, isteri Imam Sodiq as. bagi mengucapkan takziah, kemudian beliau menangis dan aku juga turut menangis dikeranakan tangisannya. Selepas itu beliau berkata : Wahai Abu Muhammad, jika kamu melihat Imam Sodiq as. ketika waktu kewafatannya,sesungguhnya kamu akan melihat perintah yang ajaib. Beliau as. telah membuka matanya dan berkata : bawakan aku mereka-mereka yang ada hubungan kerabat dan kekeluargaan denganku.
Maka kami semua yang merupakan keluarganya hadir disisinya, Imam as. melihat ke arah kami semua dan berkata :
Syafaat kami tidak akan sampai kepada mereka yang meringankan sembahyang.
Imam Sodiq as. telah dikebumikan di perkuburan Baqi’ bersebelahan Imam Hasan Mujtaba as., datuknya Imam Ali Zainul Abidin as., ayahnya Imam Muhammad Baqir as. dan Imam Sodiq as. merupakan Imam terakhir yang dikebumikan di Baqi’. Selepas beliau as. semua Imam as. dikebumikan di bumi Iraq kecuali Imam Ali Ar-Ridha as yang telah dikebumikan di bumi Khurasan, Iran.
Antara hadis daripada Imam Sodiq as.
Imam Sodiq as. berkata : Ibadah yang terbaik adalah yang diiringi dengan berfikir berkenaan Allah dan kekuatannya.
Imam Sodiq as. : Barangsiapa yang mati dalam keadaan tidak kenal Imam zamannya, maka dia mati dalam keadaan jahiliyah.
Takziah diucapkan kepada seluruh Ummat Islam atas pemergian Imam agung as. ini, khusus kepada Imam Zaman Hujjat Ibnil Hasan ajf... Hanya doa supaya diberi kesabaran menghadapi musibah dan kedukaan ini kita iringkan.
Atas Muhammad wa Aali Muhammad Salawat...
Eltimasi Doa
Seyyed Abal Fazl Ben Yahya
Khidmat Imam Zaman (as)
No comments:
Post a Comment