Inilah saat-saat kehadiran terindah di tanah suci, tanah tempat Rasulullah(s.a.w.w.) pertama kali menyampaikan suara wahyu Ilahi. Cinta kepada Ilahi telah menarik jutaan manusia dari tanah kelahiran dan rumah mereka untuk datang berbondong-bondong ke sebuah tanah yang aman dan suci. Puji-pujian dan syukur kita panjatkan kepada Allah, Tuhan yang Maha Agung, kerana telah menganugerahkan usia sehingga kita bertemu lagi dengan bulan Dzulhijjah yang mulia ini. Kini kita boleh menyaksikan kembali tibanya hari-hari ketika jutaan ummat Muhammad(s.a.w.w.) berkumpul, bersama-sama mengucapkan kalimah talbiah, Labbaik, Allahumma labbaik. Inilah aku Ya Allah, datang menemui panggilan-Mu.
Saat Nabi Ibrahim (a.s.) membangunkan sebuah bangunan sederhana berbentuk empat segi sebagai tempat untuk beribadah kepada Allah, mungkin saat itu tidak ada yang boleh mengira bahawa tempat itu akan menjadi pusat jalinan persaudaraan paling tulus daripada jutaan ummat manusia yang mendambakan pertemuan dengan Allah. Tiada sesiapapun yang menyangkakan bahwa kehadiran jutaan ummat manusia secara terus dalam sebuah upacara keagamaan haji ini juga akan menjadi kritikan bagi para pengikut Marxisme yang mengatakan bahawa agama menyebabkan kelompok masyarakat menjadi rendah dan hina. Mereka yang masih berpendapat demikian seharusnya saat ini datang ke Mekah. Lihatlah, betapa jutaan manusia mampu menunjukkan keagungan mereka secara kolektif melalui syiar-syiar agama.
Haji adalah panggilan dari rumah Allah yang ditujukan kepada orang-orang yang beriman di seluruh pelusuk dunia. Haji mengajak mereka untuk menghirup air mata cemerlang dan segar di rumah Allah. Husein Thurabi, salah seorang penziarah Baitullah berasal dari Iran yang tahun ini mendapatkan kesempatan menunaikan ibadah haji, mengatakan sebagai berikut:
”Saya sangat berbahagia. Sejak awal tahun, saya selalu menghitung hari demi hari kerana sangat tidak sabar untuk menunggu tibanya hari ini. Kerana itulah, ketika kesempatan itu telah tiba, iaitu ketika saya punya kesempatan untuk bertemu dengan Allah di rumah-Nya, tidak ada hal lain yang lebih layak untuk saya lakukan kecuali memanfaatkan sebanyak mungkin berbagai suasana spiritual di rumah Allah ini untuk mempercepatkan proses penyempurnan jiwa kita”.
Haji adalah ibadah yang melibatkan jutaan manusia. Disebabkan itu, ibadah ini juga menampilkan suasana pertemuan yang sangat indah. Saat ini, di Mekah, kita boleh menyaksikan orang-orang yang berasal dari berbilang bangsa dan dengan pakaian yang berbeza, bersama-sama berkumpul di Baitul Haram. Orang-orang dari Malaysia, Indonesia dan bangsa Melayu lainnya melakukan solat dengan cara khas mereka. Kaum perempuannya juga memakai pakaian khas kawasan itu. Akan tetapi, dengan segala pengkhususan pakaiannya itu, mereka semua sangat serasi dengan bangsa-bangsa lain yang beribadah dengan pakaian khas mereka pula. Tidak ada yang janggal dari kepelbagaian mereka kerana yang mereka lakukan adalah hal yang sama, iaitu beribadah di rumah suci.
Melihat semua itu, kita dengan mudah meyakini bahawa ibadah haji memang secara sengaja dirancangkan oleh Allah untuk sebuah rancangan yang agung dan dahsyat. Hal ini juga boleh kita ambil dari pelbagai riwayat atau ayat Al-Quran yang berbicara tentang ibadah haji. Allah SWT dalam surah Al-Haj ayat 27 dan 28 berfirman sebagai berikut:
”(Wahai Muhammad), panggillah manusia untuk mengerjakan haji, hingga mereka datang kepadamu dengan berjalan kaki atau menaiki binatang-bianatang yang kurus. Mereka datang dari segala penjuru bumi yang sangat jauh. Biarkanlah mereka menyaksikan berbagai hal yang bermanfaat buat mereka sendiri. (Ajaklah mereka) agar menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan, iaitu ketika mereka berqurban dengan binatang-binatang ternak mereka. Maka, makanlah sebahagian dari daging korban itu, dan sebahagian lainnya, berikanlah kepada kaum faqir untuk mereka makan”.
Imam Khomeini dalam salah satu pidatonya berkata:
” Salah satu tugas penting kaum muslimin adalah memahami hakikat haji ini. Kita seharusnya bertanya-tanya, mengapa kita harus melakukan ibadah haji yang perlaksanaannya menelan belanja sangat besar ini? Sekilas pandang sahaja, kita boleh melihat bahwa haji adalah sebuah acara yang digelar oleh kaum muslimin dalam rangka mempamerkan kekuatan spiritual dan bahkan kekuatan material yang dimiliki oleh kaum muslimin. Akan tetapi, pemahaman sekilas ini sahaja jelas tidak cukup untuk menggali rahsia keagungan yang tersembunyi dalam ibadah haji ini. Para ulama dan cendekiawan muslim harus berupaya keras untuk memahami, dan memahamkannya kepada orang lain, tentang mutiara hidayah, hikmah, dan kebebasan yang terkandung dalam ibadah ini”.
Sementara itu Syeikh Muhamad Yazbaki, salah seorang ulama besar Lebanon, mengatakan sebagai berikut:
”Falsafah yang terkandung dari ibadah haji sebagai kongres kaum muslimin sedunia adalah sebuah gerakan contoh untuk menyatukan langkah dan hati kaum muslimin sedunia dalam menghadapi kekuatan kesombongan kuasa besar antarabangsa. Saat bertemu dalam upacara haji, kaum muslimin dari pelbagai bangsa boleh berkongsi pengalaman mereka tentang perjuangan menegakkan agama mulia ini di tempat mereka. Hari ini, keperluan untuk menyatukan langkah di antara kaum muslimin itu makin terasa kepentingannya, mengingati saat ini kaum muslimin sedang menghadapi fitnah dan konspirasi Barat dalam memecah-belahkan kaum muslimin dengan slogan-slogan palsu, sebagai contoh, pembanterasan dan penghapusan pengganas”.
Ibadah haji memang sangat indah. Pada saat masyarakat dunia banyak kehilangan arah dan pegangan hidup, para penziarah rumah Allah secara serentak melaungkan Labbaik Allahumma labbaik. Ya Allah, aku datang memenuhi panggilan-Mu. Pada saat tiada keamanan dan ketenteraman di banyak tempat di dunia ini, jutaan kaum muslimin di Mekah beribadah secara khusyu’ dan tenteram, sambil saling menunjukkan kasih sayangnya terhadap sesama mereka. Melalui ibadah dan kekhusyukan ini yang mereka gelar di Mekah, kaum muslimin seakan-akan menyampaikan pesan indah berikut kepada seluruh ummat manusia di dunia.
Jika seluruh manusia mahu menyembah Allah yang Maha Esa, Zat yang mengajarkan keindahan dan kemuliaan hidup, Zat yang mengajarkan kehidupan damai dan kebaikan terhadap sesama makhluk, dan jika seluruh ummat manusia mahu menyembah Allah dengan segala sifat keagungan dan kebaikanNya seperti itu, niscaya manusia pada masa sekarang tidak perlu ragu-ragu dengan pelbagai macam kekacauan, krisis, dan pertentangan di antara sesama mereka. Manusia niscaya akan hidup damai, tenteram, dan sentosa, sebagaimana yang diperlihatkan secara indah oleh kaum muslimin saat mereka menunaikan ibadah haji
No comments:
Post a Comment