Popular Posts

Wednesday, December 24, 2008

TIDAK BERPUTUS ASA KEPADA ALLAH SWT

Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

Apa yang dimaksudkan dengan tidak berputus asa? Iaitu kita memulakan sesuatu kerja dengan mengharapkan natijahnya. Sepertimana seseorang yang menanam sebiji benih di dalam tanah dan berusaha menunggu hasilnya, bukannya seperti seseorang yang tidak menanam sebarang benih dan tidak berusaha apa-apa untuk mendapatkan hasil tanaman tersebut, namun akhirnya menunggu dan mengharapkan hasilnya akan terhasil.

Harapan merupakan sayap kedua di mana sayap pertama merupakan rasa takut/taqwa. Melalui kedua-dua sayap ini kita terbang untuk taat dan beribadah kepada Allah SWT. Tidak berputus asa adalah punca kepada cita-cita, dan harapan pula punca bagi manusia untuk berharap dan taat kepada Allah serta takut kepada-Nya.

Manusia apabila berhadapan dengan amalan ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT memerlukan rasa takut (taqwa) dan harapan. Ini merupakan satu hakikat bahawa harapan itu lebih indah dan dapat menikmatinya berbanding dengan rasa takut kerana punca harapan adalah kepercayaan sepenuhnya kepada Allah SWT dan kepercayaan sepenuhnya kepada rahmat Allah SWT itu adalah lebih luas di mana belas simpati dan kasih Tuhan itu dilimpahkan berdasarkan rahmat-Nya. Hakikatnya, sesiapa yang beribadah berdasarkan harapan kepada Allah SWT itu lebih mulia dan tinggi kedudukannya berbanding dengan orang yang beribadah kerana rasa takutnya kepada azab dan pembalasan dari Ilahi.

Allah SWT di dalam ayat suci al-Quran telah melarang manusia daripada rasa berputus asa. Allah SWT berfirman: " Janganlah berputus asa daripada rahmat Allah kerana hanya kaum kafir yang berputus asa dengan rahmat Allah SWT." (surah Yusuf : 87)

Imam Ali (a.s) telah menasihatkan kepada seseorang yang berputus asa kerana dosa-dosanya yang lalu dengan berkata: " Berputus asa itu lebih besar dosanya berbanding dengan dosa-dosa amalan silammu” . Kerana Rasulullah saww bersabda: " Allah SWT akan menghidupkan orang-orang yang berputus asa atas rahmat-Nya di hari kiamat kelak dengan wajah-wajah yang diselaputi kehitaman dan warna kehitaman di wajah-wajah mereka mendominasi warna putih yang terdapat di kulit wajah-wajah mereka dan Allah SWT akan berkata: " Lihatlah wajah-wajah mereka ini yang berputus asa terhadap rahmat Tuhan."





Seseorang telah bertanya kepada Imam Hussein (a.s) tentang tafsir ayat: " Hanya orang-orang yang bertaubat dan melakukan amalan soleh, Allah akan menukarkan keburukan-keburukan mereka kepada kebaikan-kebaikan." Imam Hussein (a.s) menjawab: " Ayat ini ada kaitannya dengan kalian semua. Begitulah keadaan orang-orang mukmin pada hari kiamat nanti dan orang-orang mukmin yang pernah melakukan dosa di dunia sebelum ini akan dihisab dan dihitung di hadapan Allah SWT satu-persatu. Namun kerana lutf, belas kasih dan rahmat-Nya, Allah SWT akan memaafkan dan menghilangkan satu-persatu dosa-dosa lampaunya dan bersabda: " Sememangnya kamu telah melakukan kejahatan ini pada hari dan waktu tertentu (disebutkan waktu dan harinya). Kemudian, orang mukmin akan menjawab: " Benar wahai Tuhanku! Saya telah mengetahuinya." Beginilah cara ditunjukkan dosa-dosa orang mukmin dan mereka menjawab " saya mengetahuinya " pada setiap jawapan yang diberikannya kepada Tuhan di akhirat kelak. Sejurus selepas itu, Allah SWT akan berfirman: " Sesungguhnya Aku telah menyembunyikan semua amalan-amalan buruk dan dosa-dosamu, dan pada hari ini turut Aku ampuni dan lupakan segala dosa-dosamu dan menggantikannya dengan amalan-amalan kebaikan. Kemudian, Allah SWT akan menunjukkan buku catatan amalan orang mukmin ini kepada orang-orang mukmin yang lain dan kesemua di antara mereka berasa terkejut dan terpegun lalu berkata: "Subhanallah! Bagaiman mungkin orang ini langsung tidak pernah melakukan dosa di dalam hayatnya? " Dan tutur kata ini terpacul dari mulut mereka hanya disebabkan Allah SWT telah menukarkan keburukan-keburukan orang mukmin kepada kebaikan-kebaikan.

Oleh itu, setiap hamba Allah hendaklah sentiasa bersangka baik kepada penciptanya kerana bersangka baik merupakan penyebab terkuat untuk berharap kepada rahmat Allah SWT.

Imam Shodiq (a.s) bersabda: " Di hari akhirat kelak, ada seorang hamba Allah SWT yang telah diputuskan untuk dihantar ke neraka, lalu di dalam perjalanan membawanya ke neraka, hamba Allah ini ingin berpatah semula dan berpaling ke belakang. Ketika beliau berbuat demikian, lantas Allah SWT bersabda: Bawalah beliau ke sisiKu! " Ketika dihadapkannya kepada Allah SWT, Allah lalu bertanya kepadanya mengapa beliau memandang ke belakang? Lalu hamba Allah tersebut berkata: " Wahai Tuhanku. Ketahuilah bahawa sangkaanku dahulu (di dunia) terhadap-Mu bukanlah seperti mana keadaan sekarang ini! " Allah SWT berfirman: " Bagaimana sangkaanmu terhadap-Ku di dunia sebelum ini? " Hamba Allah ini menjawab: " Wahai Tuhanku! Sangkaanku tentang diri-Mu sebelum ini adalah bahawa Dikau akan mengampuni dosa-dosaku dan tidak akan mencampakan daku ke dalam api neraka dan Dikau akan memasukkan daku ke dalam syurga dengan limpahan rahmat dan belas simpati-Mu terhadapku." Lantas Allah SWT berfirman kepada malaikat-Nya: " Jikalau hamba-Ku ini hatta hanya sekali di dunia bersangka baik terhadap-Ku, akan Aku masukkannya ke dalam syurga dan tidak sama sekali memasukannya ke dalam neraka. Meskipun hamba-Ku ini berbohong kepada-Ku dengan memberi alasan bahawa bersangka baik terhadap-Ku di dunia, namun Aku memaafkannya disebabkan katanya yang berbaik sangka kepadaku sekarang, lantas Aku masukkannya ke dalam syurga. MasyaAllah, lihatlah betapa belas kasih dan luasnya rahmat Allah SWT sehingga orang yang berbohong di hari perhitungan namun disebabkan wujudnya sekelumit rasa harapan dan sangka baik terhadap Allah, menyebabkan Allah SWT memaafkannya dan memasukkannya ke dalam syurga. Hayatilah wahai orang yang mempunyai akal dan perasaan!




Namun di sini, kita tidak boleh lupa bahawa harapan itu mempunyai makna jika anda pada awalnya melakukan sesuatu amalan, seperti mempercayai kepada Allah SWT dengan beribadah hanya untuk-Nya dan seumpama dengannya. Kemudian, anda berharap kepada Tuhan meskipun sedikit daripada hidayah dan taufik dari-Nya diberikan kepada anda sehingga melayakkan anda masuk ke syurga. Namun bukanlah bermakna harapan kepada Allah jika anda sentiasa menyekutukan-Nya dengan sesuatu, dan tidak melakukan sebarang amalan ibadah dan ketaatan kepada-Nya, lalu terus berharap kepada Allah semoga dimasukkan ke dalam syurga. Ketahuilah, ini merupakan tanda-tanda ketidakwarasan, sepertimana anda melihat orang yang dibunuh terlantar di atas tanah setelah menjadi mayat, namun tiba-tiba mayatnya bergerak. Bukankah hal itu mustahil. Begitu juga dengan cara memohon harapan kepada Tuhan perlu diiringi dengan usaha dan amalan yang diridhai-Nya juga.

Begitu juga apabila kita menaruh harapan kepada Allah SWT, kita perlu menitikberatkan soal kesederhanaan dan janganlah sama sekali kita berharap tanpa sebarang rasa takut kepada Ilahi sehingga dengan mudahnya tanpa amalan dan usaha kita berkata " kami bergantung harap kepada Ilahi atau bertawakkal kepada Allah ", ataupun bukanlah di dalam keadaan sangat takut dan khuatir terhadap penerimaan Allah terhadap amalnya, sehinggakan siang dan malamnya dihabiskan dengan beribadah dan bermunajat kepada Allah SWT tanpa melakukan sebarang pekerjaan lain yang berkait rapat dengan kehidupan sehariannya. Lalu berkata, disebabkan rasa takut dan khuatir terhadap azab Allah SWT kami menghabiskan masa dan hayat kami dengan beribadah dan mentaati-Nya."

Akhir kalam, InsyaAllah semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka ini, moga harapan kita kepada Allah SWT merupakan harapan yang direstui-Nya. Dan berdasarkan harapan kita kepada Allah SWT, sama-samalah kita berdoa mengharapkan lutf dan belas kasih-Nya. Dan sama-samalah berdoa semoga kezuhuran Imam Zaman (ajfs) semakin hampir, dan semoga kita dapat menjadi pembantu dan penolong hakikinya, insyaAllah. Juga dengan harapan Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kedua ibu bapa kita dan memberi akibat baik di dunia dan di akhirat…Ilahi Amin.


FATIMAH AZ-ZAHRA'

No comments: