Popular Posts

Saturday, February 5, 2011

Kewafatan Rasulullah Muhammad Al-Mustofa Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaika Ya Rasulullah Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Assalamualaika Ya Muhammad Ibna ‘Abdillah
Salam ke atasmu wahai Rasulullah dan rahmat serta barakahNya
Salam ke atasmu Ya Muhammad Bin Abdullah.
Assalamualaika Ya Khiyaratallah Assalamualaika Ya Habiballah
Salam ke atasmu wahai Pilihan Allah
Salam ke atasmu wahai Kekasih Allah.
Assalamualaika Ya Safwatallah Assalamualaika Ya Aminallah
Salam ke atasmu wahai Pilihan Allah
Salam ke atasmu wahai Amin (wahyu) Allah.

Asyhadu Annaka Rasulullah Wa Asyhadu Annaka Muhammad Ibnu ‘Abdillah
Aku bersaksi bahawa engkau adalah Pesuruh Allah dan aku bersaksi bahawa engkau adalah Muhammad Bin Abdullah.

Wa Asyhadu Annaka Qad Nashahta Li Ummatika Wa Jahadta Fi Sabili Rabbik
Dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya engkau telah menasihati ummatmu untuk kebaikan dan berjihad di jalan Tuhanmu.

Wa ‘Abadtahu Hatta Atakal Yaqin
Dan engkau menyembahNya sehinggalah yakin (kematian) menemuimu.

Fa Jazakallahu Ya Rasulallahi Afdhala Ma Jaza Nabiyyan ‘An Ummatih
Maka balasan Allah wahai Rasulullah balasan yang terbaik dari pihak sekumpulan ummat kepada nabi mereka.

Allahumma Sholli ‘Ala Muhammadin Wa Aali Muhammad Afdhala Ma Shollaita ‘Ala Ibrahima Wa Aali Ibrahim
Tuhanku sampaikanlah salawat ke atas Muhammad Wa Aali Muhammad salawat yang terbaik yang telah Engkau sampaikan kepada Ibrahim dan Aali Ibrahim.

Innaka Hamidun Majid
Sesungguhnya Engkau Yang Terpuji dan Maha Besar.



Khatimul Anbiya’, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dilahirkan pada tahun 571 Masihi bersamaan hari Jumaat, 17 Rabiul Awal di Makkah Al-Mukarramah. Ketika berumur 40 tahun Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah dilantik oleh Allah Subhanahu Wa Taala sebagai seorang Rasul yang menerima wahyu Tuhan, yang juga sebagai hujjah bagi seluruh ummat manusia. Selama 13 tahun Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih berjuang dalam menyampaikan agama Islam di Makkah, kemudian disebabkan tekanan yang semakin banyak daripada orang-orang kafir dan musyrikin, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah berhijrah ke Madinah. Selepas 10 tahun bertungkus lumus menyampaikan hukum-hukum Tuhan dan membina pemerintahan Islam buat pertama kali, tibalah saat bagi seorang hamba yang mendambakan Tuhannya mencapai liqa’ yang diimpi, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih pada hari Isnin 28 Safar tahun 11 Hijrah, ketika berumur 63 tahun telah kembali ke alam Malakut dan mengucapkan selamat tinggal pada dunia fana. Makam sucinya di Madinah Munawwarah di sebelah Masjid Nabi yang mana setiap tahun ribuan pencinta Nubuwwah, khususnya pada musim haji, datang daripada seluruh pelusuk dunia untuk menziarahi Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih.

Tahun Sebelas Hijrah, Tahun Terakhir

Pada bulan Muharram tahun kesebelas, sebelum Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih jatuh sakit, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah memerintahkan ummat muslimin supaya bersiap sedia untuk bergerak ke sempadan Rum daripada negeri Syam. Ketika itu sebilangan bukan muslim Jaziratul Arab dan rasul-rasul palsu telah bersedia untuk memerangi Madinah. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah melantik Usamah Bin Zaid Bin Haritsah yang berumur kurang daripada 20 tahun sebagai pemimpin dan juga telah mengarahkan sebahagian sahabat seperti Abu Bakar, Umar Bin Khatab, Abu Ubaidah Bin Jarah dan Saad Bin Abi Waqas untuk segera bergabung dengan tentera pimpinan Usamah. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah memberikan bendera kepada pemimpin remaja ini dengan tangan Baginda sendiri dan memerintahkannya : Bergeraklah dengan segera sehinggakan sebelum khabar pergerakanmu sampai kesana, engkau dan para tenteramu telah lebih dahulu sampai disana. Tujuan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih memerintahkan para sahabat yang lebih berumur seperti Abu Bakar dan lain-lain untuk berada dibawah pimpinan seorang remaja untuk memerangi Ampratur Rum ialah supaya selepas daripada ini, tidak ada lagi alasan untuk menjadikan umur seseorang sebagai dalil untuk menolak kepimpinan seseorang.

Timbul persoalan disini, mengapa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak menghantar Amirul Mukminin Ali Alaihissalam bersama mereka? Adakah mereka-mereka yang telah dihantar bersama tentera Usamah lebih mempunyai pengalaman ketenteraan dan keberanian khusus? Jika begitu, mengapa mereka tidak dilantik sebagai pemimpin tentera? Perjalanan ini telah berlanjutan selama hampir dua bulan. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih mengetahui bahawa hari-hari terakhirnya telah semakin hampir, namun Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih masih menekankan sebahagian sahabat untuk meninggalkan Madinah dan bergabung dengan tentera Usamah secepat mungkin.

Namun, malangnya pergerakan yang sangat ditekankan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih ini tidak berjaya, pertamanya dikeranakan pembantahan sebahagian sahabat terhadap kepimpinan Usamah yang masih remaja, kemudian disebabkan alasan persediaan perjalanan dan akhirnya disebabkan sampainya berita berkenaan keadaan kesihatan Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih serta pulangnya Abu Bakar, Umar dan sebahagian yang lain daripada pusat ketenteraan Jurf ke Madinah.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih walau dalam keadaan sakit tenat, demam dan sakit kepala yang mana kain telah diikat di kepala Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih apabila mendengar akan bantahan mereka untuk pergi berperang telah pergi ke masjid dan naik ke mimbar lalu bersabda :

Wahai manusia, terimalah kepimpinan Usamah yang mana aku bersumpah dengan nyawaku jika (sekarang) kalian meragui kepimpinannya yang mana sebelum ini kalian telah meragui kepimpinan ayahnya juga, sedangkan dia mempunyai kelayakan sebagai pemimpin seperti mana ayahnya yang layak untuk makam ini juga.



Selepas daripada hari tersebut, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sentiasa mengulangi kata-katanya kepada mereka-mereka yang datang menziarahinya dengan kata-kata seperti : (Jahazuu Jaisya Usamah), bersegeralah bergabung dengan tentera Usamah dan gerakkanlah tentera, malah kadang-kadang Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : (La‘anallah Man Takhallafa ‘An Jaisyi Usamah), laknat Allah ke atas barangsiapa yang meninggalkan tentera Usamah.

Ibnu Abil Hadid meriwayatkan daripada syeikh (ustaz) nya Abu Yaaqub Mu’tazili di dalam syarahan Khutbah 156 Nahjul Balaghah menulis : Apabila Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih semakin bertambah sakit, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mengarahkan tentera Usamah untuk bergerak ke Syam dan memerintahkan Abu Bakar dan lain-lain para pembesar Muhajirin dan Anshar untuk menyertainya. Dalam keadaan ini, jika sesuatu terjadi ke atas Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih,kekhalifahan Ali Alaihissalam tidak akan memiliki banyak halangan.

Usamah disebabkan kesihatan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan bantahan ramai terhadap kepimpinannya, telah memohon daripada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih untuk memberi izin kepadanya bergerak bersama para tentera selepas Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kembali pulih. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak menerima permintaan tersebut lalu bersabda : Pergi sekarang juga. Usamah berkata lagi : Adakah saya perlu bergerak dengan hati yang berat dan risau akan kesihatanmu Ya Rasulullah? Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : Fikirkan tentang kemenangan! Namun alangkah malang dan dukanya, mereka yang hadir di sisi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak mengambil perhatian akan perintah Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan mereka melebihkan kepentingan peribadi dan cita-cita sendiri.

Wasiat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih Berkenaan Quran dan Itrah

Syeikh Mufid Rahimahullah berkata : ke semua mazhab bersepakat bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih pada hari-hari terakhir hidupnya telah bersabda :

Wahai manusia aku (pada hari kiamat) akan mendahului kalian dan kalian akan mengikutiku sehingga ke telaga Kautsar, ketahuilah aku akan menyoal kalian akan Tsaqalain (dua benda yang bernilai yang telah aku tinggalkan kepada kalian) dan menghakimi (perlakuan kalian terhadap keduanya). Maka lihatlah bagaimana perlakuan kalian terhadap kedua itu selepasku, kerana Allah Subhanahu Wa Taala telah mengkhabarkan kepadaku bahawa kedua itu tidak akan berpisah antara satu sama lain sehinggalah bertemu denganku, aku juga telah memohon perkara yang sama daripada Tuhanku serta Dia telah menunaikannya, ketahuilah bahawa aku telah meninggalkan kepada kalian dua benda : pertama Kitab Allah dan kedua Itrahku, keluargaku. Janganlah membelakangi mereka yang mana dengan itu kalian akan berpecah belah, janganlah meringankan perkara berkenaan mereka kerana kalian akan musnah, janganlah mengajar mereka kerana mereka lebih mengetahui daripada kalian, wahai kumpulan manusia janganlah selepas pemergianku, kalian kembali kepada kekufuran dan berpecah antara satu sama lain…

Ketahuilah Ali Bin Abi Thalib adalah saudara dan wasiku, berperanglah (berusahalah) dalam memperlajari Al-Quran sebagaimana aku berperang dalam menyampaikannya…

Syeikh Mufid Rahimahullah berkata : Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mengulang perkara yang sama pada banyak majlis dan pertemuan.

Khutbah Terakhir Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih di Masjid Madinah

Kesihatan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih hari ke hari semakin tenat dan berdasarkan riwayat Ibnu Hashim dan yang lain , Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bagi mengurangkan demam dan kepanasan badannya supaya mampu untuk pergi ke masjid bagi melakukan pertemuan dan perpisahan terakhir dengan ummatnya, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah memohon untuk mengambil tujuh bekas air daripada telaga-telaga yang pelbagai di Madinah dan menyiram badannya dengan air-air tersebut, kemudian Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mengikat kain di kepalanya dan dengan satu tangan diletakkan di atas bahu Amirul Mukminin Ali Alaihissalam dan tangan yang lain di atas bahu Fadhl Bin Abbas, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah pergi ke masjid, kemudian duduk di atas mimbar dan berdasarkan riwayat Syeikh Mufid dan Thabarsi Rahimahumalllah, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah bersabda :

Wahai manusia, telah hampir waktunya untuk aku meninggalkan kalian, maka barangsiapa yang memiliki amanat disisiku, datanglah supaya aku dapat membayarnya, dan barangsiapa yang telah memberikan kepadaku pinjaman atau hutang, beritakan padaku, wahai manusia tidak ada sesuatu di antara Tuhan dan hamba-hambanya yang menjadi punca kebaikan dan menghalang keburukan kecuali amal dan perbuatannya, Aku bersumpah ketahuilah bahawa aku telah dipilih dengan kebenaran dan nubuwwah, tidak akan selamat seseorang kecuali amal baik dan Rahmat Allah Subhanahu Wa Taala. Ketahuilah aku yang merupakan RasulNya, jika mengingkariNya maka aku juga akan masuk ke neraka! Wahai Tuhanku adakah aku telah menyampaikan apa yang perlu aku sampaikan!?.

Kemudian Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih turun daripada mimbar dan menunaikan solat pendek dengan mengimami ummatnya, lalu pergi ke rumah Ummu Salamah, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih berada di bilik Ummu Salamah selama satu atau dua hari, kemudian Aisyah telah datang ke sisi Ummu Salamah dan memohon untuk membawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih ke biliknya dan mengambil tangunggjawab menjaga Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih, para isteri Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih juga bersetuju dengan cadangan tersebut, lalu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah dibawa ke bilik Aisyah.

Ketika subuh, dan seperti hari yang lain, azan terdengar berkumandang mengajak manusia untuk menunaikan solat, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : Hari ini orang lain perlu menggantikan aku untuk mengimami solat.

Aisyah berkata : Beritahulah Abu Bakar untuk pergi, dan Hafshah berkata : Beritahulah Umar untuk pergi. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih yang telah mendengar kata-kata mereka dan kesungguhan mereka yang menginginkan supaya ayahanda merekalah yang dihantar ke masjid dalam keadaan yang mana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih masih lagi hidup, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih lalu bersabda kepada mereka :

Bertenanglah! kalian umpama wanita-wanita yang bersama Yusuf.

Oleh kerana bimbang mereka berdua akan pergi ke masjid, (walaupun sebelum ini Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mengarahkan mereka supaya pergi bersama Usamah untuk berperang dengan Rum) dengan keadaan yang sangat lemah malah Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak mampu walau untuk berdiri dengan kakinya sendiri, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih seperti hari sebelumnya telah menyandar ke bahu Ali Alaihissalam dan Fadhl Bin Abbas, dan dengan kaki yang mengheret tanah, Baginda telah pergi ke masjid. Abu Bakar yang telah melihat Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah bersegera ke masjid dan sebelum Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tiba, dia telah mendahului ke mihrab. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih lalu telah mengisyaratkan dengan tangan dan mengarahkannya untuk mengundur ke belakang, kemudian Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sendiri mengambil tempatnya, berdiri di mihrab dan menunaikan solat, selepas salam Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kembali pulang ke rumah. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih memanggil Abu Bakar, Umar dan kumpulan yang berada di masjid lalu bersabda kepada mereka :

Bukankah aku telah mengarahkan kalian untuk pergi bersama tentera Usamah? Mereka menjawab : Benar wahai Rasulullah? Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : Lalu mengapa kalian tidak mengamalkan perintahku dan tidak pergi bersamanya?

Abu Bakar berkata : Aku telah pergi namun kembali pulang supaya aku dapat melihatmu sekali lagi. Umar berkata : Wahai Rasulullah, aku tidak pergi kerana aku tidak suka untuk bertanyakan keadaanmu daripada para musafir? Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih lalu bersabda tiga kali : (Nafazuu Jaisya Usamah), bergabunglah dengan tentera Usamah!



Disinilah disebabkan kesihatan yang lemah dan ditambah dengan kekecewaan akan perlakuan ummat, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah jatuh pengsan, ketika ini terdengar suara tangisan ummat Islam,wanita-wanita dan keluarga Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kembali sedar dan memandang orang-orang disekelilingnya lalu bersabda :
“iituni Bedawat Wa Katf Li Aktubu Lakum Kitaban La Tadhallu Badahu Abada”

Bawakan aku pen dan kertas supaya aku dapat menulis untuk kalian sebuah surat yang mana selepas itu kalian tidak akan pernah sesat.

Sebahagian dari yang hadir telah bangun supaya dapat membawakan apa yang telah diminta oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih, tetapi Umar telah menghalangnya dan berkata : Kembalilah, sesungguhnya Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak sedar apa yang sedang diucapkannya! Cukuplah disisi kita Kitab Allah.

Terdengar perbualan diantara hadirin yang hadir ketika itu, sebahagian berkata : Pergilah dan bawakanlah apa yang telah diminta, sebahagian yang lain menyebelahi Umar dan menghalang daripada melakukannya, keadaan menjadi bising dan huru hara, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih menjadi murka dan berkata : Bangunlah sesungguhnya perselisihan ini tidak layak untuk dilakukan dihadapan Rasululullah. Didalam riwayat lain :

Wahai Rasulullah, mahukah tuan kami bawakan pen dan kertas tersebut? Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : Adakah selepas semua kata-kata yang telah kalian lafazkan?! Kemudian Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih memalingkan wajahnya daripada mereka dan dengan itu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah menyatakan ketidak senangan Baginda akan kehadiran mereka.

Mereka telah bangun dan yang tinggal hanya orang-orang terdekat Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih seperti Ali Alaihissalam, Abbas serta puteranya Fadhl dan keluarga Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih yang lain. Mereka juga pergi selepas beberapa ketika. Telah diriwayatkan bahawa : Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : Bawakan saudaraku dan pakcikku. Ketika Ali Alaihissalam dan Abbas telah datang, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih memandang pakciknya dan bersabda :

Pakcikku, adakah pakcik akan menerima wasiatku, dan mengamalkan perjanjian-perjanjianku, dan membayar hutang-hutangku. Abbas berkata : Wahai Rasulullah, aku adalah lelaki tua dan engkau adalah seorang lelaki sangat pemurah, bagaimanakah aku mampu untuk memegang tanggungjawab atas semua perjanjian-perjanjianmu?

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih memandang Ali Alaihissalam dan bersabda : Wahai saudaraku, adakah kamu akan menerima wasiatku? Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih mengulangi apa yang telah disabdakan tadi…? Ali Alaihissalam berkata : Ya wahai Rasulullah. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih lalu bersabda : Jikalau begitu, dekatilah aku. Ali Alaihissalam datang ke hadapan dan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih lalu memeluknya dan menanggalkan cincin di jarinya serta bersabda : Ambillah ini dan pakailah ia, kemudian Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah meminta pedang, penghalang dan baju perang lalu memberikannya kepada Ali Alaihissalam begitu juga sehelai kain khusus yang sentiasa diikat di dada Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih ketika berperang dan bersabda :
Semua ini dengan nama Tuhan, bawalah ke rumahmu.

Hari berikutnya, keadaan Rasulullah semakin tenat dan Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah jatuh pengsan, segala pertemuan dengan Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak lagi dibenarkan. Ketika kembali sedar Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah bersabda : Bawakan kepadaku saudara dan penolongku, kemudian Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kembali tidak sedarkan diri, Aisyah berkata : Bawakan Abu Bakar bertemunya, Abu Bakar telah datang namun ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih membuka mata dan melihatnya, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih memalingkan wajahnya, Abu Bakar selepas melihat perlakuan itu, bangun dan berkata : Jika Baginda memerlukan aku, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih pasti akan bersabda kepadaku. Ketika Abu Bakar telah pergi, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kembali mengulangi kata-kata yang sama dan bersabda : Bawakan kepadaku saudara dan penolongku, Hafshah berkata : Bawakan Umar ke sisi Baginda. Umar telah datang tetapi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sebaik sahaja melihatnya, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah memalingkan wajahnya, setelah itu Umar juga bangun dan pergi. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih mengulangi sabda Baginda kali ketiga : Bawakan kepadaku saudara dan penolongku. Ummu Salamah bangun dan berkata : Bawakan Ali kepada Baginda yang mana Baginda hanya menginginkan Beliau, Ummu Salamah membawakan Ali Alaihissalam ke sisi pembaringan Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan apabila mata Baginda terpandang Beliau Alaihissalam, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mengisyaratkan untuk maju kehadapan, Ali Alaihissalam mendekati Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan membongkokkan kepalanya mendekati dada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bercakap dengan Beliau Alaihissalam lama dan secara khusus, ketika itu, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sekali lagi tidak sedarkan diri, Amirul Mukminin Ali Alaihissalam lalu bangun dan duduk di satu sudut, kemudian Beliau Alaihissalam keluar daripada bilik tersebut. Ketika mereka bertanya kepada Beliau Alaihissalam : Apa yang dikatakan oleh Rasulullah kepadamu?, Beliau Alaihissalam menjawab :

‘Allamani Alfa Babin Minal ‘Ilm Fataha Li Kullu Babin Alfa Babin Wa Aushoni Bi Ma Ana Qaim Bihi InsyaAllah

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mengajarku seribu pintu ilmu yang mana telah dibukakan setiap pintu seribu pintu yang lain untukku. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mewasiatkan kepadaku kepada sesuatu yang insyaAllah aku akan mengamalkannya.

Ketika telah tiba detik-detik terakhir, detik seorang hamba akan kembali menemui Rabnya, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah bersabda kepada Ali Alaihissalam : Wahai Ali, letakkan kepalaku di pangkuanmu kerana perintah Tuhan telah sampai, ketika nyawaku telah diambil, letakkanlah badanku ke arah qiblah, mandikan daku, sembahyanglah untukku serta kafankan daku dan janganlah berpisah dariku sehinggalah engkau telah kebumikanku. Ali Alaihissalam meletakkan kepala Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih di atas pangkuannya dan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kembali tidak sedarkan diri.

Fatimah Salamullah Alaiha yang berada disisi mereka yang juga melihat kejadian tersebut, kini tidak mampu lagi menahan diri, lalu datang kesisi Ayahanda dan memeluknya lalu menangis dan membaca syair ini :

Wa Abyadhu Yastasqa Al-Ghamam Biwajhih
Tsumalul Yatami ‘Ismatu Lil Arami.

Puteriku, ini adalah kata-kata pakcikmu Abu Thalib, jangan berkata sebegitu katakanlah :
Wa Ma Muhammadun Illa Rasulun Qad Khalat Min Qablihil Rusulu Afaim Mata Au Qatalan qalabtum ‘Ala A’qabikum.

Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang.

Fatimah Salamullah Alaiha menangis teresak-esak, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mengisyaratkan untuk mendekatinya apabila melihat puteri kesayangannya sedang menangis, ketika itu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mengatakan sesuatu secara perlahan yang mana telah menyebabkan wajah Beliau Salamullah Alaiha kembali ceria dan kemudian Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih menghembuskan nafas terakhirnya.

Terdapat riwayat menyatakan bahawa kemudian Fatimah Salamullah Alaiha telah ditanya : Apakah yang telah dikatakan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kepadamu yang telah menghilangkan kesedihan dan kedukaanmu?

Beliau Salamullah Alaiha berkata : Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mengkhabarkan daku bahawa orang pertama daripada keluarga Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih yang akan bergabung bersamanya adalah aku dan jarak kematianku dengannya tidak terlalu panjang, disebabkan ini kesedihan dan kedukaanku terubat.

Berdasarkan riwayat-riwayat mahsyur diantara para perawi hadis Syiah, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah wafat pada hari isnin 28 bulan Safar. Tetapi disisi Ahli Sunnah, riwayat mahsyur adalah pada 12 Rabiul Awal. Ketika itu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah berumur 63 tahun.

Oleh kerana Amirul Mukminin ingin memandikan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih mengikut wasiat yang telah diberikan kepadanya, Beliau Alaihissalam telah memanggil Fadhl Bin Abbas supaya dapat membantunya. Beliau Alaihissalam mengarahkan Fadhl supaya menutup matanya dan hanya memberikan air kepada Beliau Alaihissalam, Ali Alaihissalam telah memandikan, meletakkan hunuth dan mengafankan Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih, kemudian Beliau Alaihissalam telah menyembahyangkan jenazah Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih seorang diri, selepas itu, Beliau Alaihissalam keluar daripada rumah dan memandang semua ummat kemudian berkata :
Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih ketika hidup dan wafatnya adalah imam dan pemimpin kita, sekarang datanglah berkumpulan-berkumpulan untuk menyembahyangkannya. Kemudian, Beliau Alaihissalam telah mengarahkan Abbas Bin Abdul Muthalib untuk pergi ke sisi Abu Ubaidah Jarah yang merupakan orang yang menggali kubur untuk penduduk Makkah supaya dia dapat menggali kubur untuk jenazah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih. Kubur Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah digali di bilik yang sama ketika Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih wafat dan dimakamkan di sana.
Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih ingin dimakamkan telah terdengar daripada belakang rumah, orang-orang Anshar Madinah telah bersuara : Ya Ali, demi Tuhan janganlah kamu melupakan hak kami, benarkanlah salah seorang daripada kami juga untuk menolong mengebumikan Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih supaya kami juga dapat mengikut berbangga akan perkara ini. Ali Alaihissalam telah mengizinkan Aus Bin Khauli, salah seorang daripada mereka yang menyertai perang Badar dan dia merupakan salah seorang daripada pembesar Qabilah Bani Auf. Aus telah masuk ke dalam rumah, lalu Imam Alaihissalam berkata kepadanya :

Masuk lah ke dalam kubur, Ali Alaihissalam telah mengangkat jenazah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan memberikannya kepada Aus, lalu Aus meletakkannya di atas tanah, kemudian Ali Alaihissalam berkata : Sekarang keluarlah dari sana, selepas itu, Amirul Mukminin Alaihissalam telah masuk ke dalam kubur dan membuka ikatan kafan di sebelah kepala lalu meletakkan pipi Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih di atas tanah, kemudian mereka meletakkan tanah sehinggalah badan suci Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih selesai dimakamkan.

Solawatullah ‘Alaihi Wa ‘Ala Aalihit Thoyyibanat Thohirinal Ma’sumin Wa Laknatullahu ‘Ala A’da-ihim Ajma‘in Minal Aan Ila Yaumiddin.



Telah bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih:

1. Seumpama Bahtera Nabi Nuh as

Al-Suyuti dalam kitabnya Ihya al-Mait bi Fadail Ahlul Bait meriwayatkan dari al-Bazaar meriwayatkan dari Ibnu Abbas, berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda yang bermaksud:

" Perumpamaan Ahlul Baitku ibarat Bahtera Nuh. Sesiapa yang ikut berlayar bersamanya dia akan selamat, dan sesiapa yang enggan dan terlambat, dia akan tenggelam." [ Ibnu Hajar, Zawaid Musnad al-Bazzar, hlm.277; Al-Tabrani, al-Mu'jam al-Kabir, Juzuk I, hlm.168 ]

2. Bintang Keselamatan

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dan Musaddad dalam musnadnya, al-Hakim, al-Tirmidzi dalam Nawadir al-Usul, Abu Ya'la dan al-Tabrani dari Salamah bin al-Akwa' dia berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda yang bermaksud:

" Bintang-bintang di langit adalah petunjuk keselamatan bagi penghuni langit dan Ahlul Baitku adalah penyelamat umatku." [Al-Hakim, al-Mustadrak, Juzuk III, hlm.457]

3. Mencegah dari Kesesatan

Al-Tirmidzi meriwayatkan sebuah Hadith dari Jabir ia berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda yang bermaksud:

" Wahai manusia, sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kalian apa yang mencegah kalian dari kesesatan selama kalian berpegang teguh dengannya iaitu Kitab Allah dan Itrahku, Ahlul Baitku." [Al-Tirmidzi, Sahih, Bab Manaqib Ahlul Bait al-Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih, Juzuk 22, hlm. 308]

4. Model kepada Anak-anak
Al-Dailami meriwayatkan dari ‘Ali Alaihissalam, beliau berkata bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda:

" Didiklah putra-putrimu tiga perkara - Kecintaan kepada Nabimu, kecintaan kepada Ahlul Baitnya dan membaca al-Quran. Sesungguhnya pembawa al-Quran berada di bawah naungan Allah pada hari di mana tiada naungan kecuali naungan-Nya bersama para Nabi dan para (Asfiya') orang-orang pilihan-Nya." [Kanzul Ummal, Juzuk VIII, hlm.278]

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda: “Hanyasanya aku diutus untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak"

Khidmat Imam Zaman Ajjalallahu Farajah
Ya Aba Soleh Eltimasi Doa

No comments: