Popular Posts

Friday, February 18, 2011

Salam Perpaduan!



Bismillahirrahmanirrahim

Maulid Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih

Wa iz qala I’sa Ibni Maryam Ya Bani Israil Inni Rasulullah Ilaikum Musoddiqan Lima Baina Yadai Minattaurah Wa Mubashshiran Bi Rasulin Ya’ti Min Ba’di Ismuhu Ahmad.

Dan (ingatlah) ketika Isa Putra Maryam berkata: "Hai Bani Israel, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab (yang turun) sebelumku, iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)" . (Ash-Shaf, 6)

Innallaha Wa Malaikatahu Yusholluna ‘Alan Nabi Ya Ayyuhal Lazina Aamanu Shollu ‘Alaihi Wa Sallimu Taslima

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat keatas Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke-atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.(Al-Ahzab,56)

Syukur ke Hadrat Allah Subhanahu Wa Taala telah memberikan kelebihan kepada ummat kita dengan kewujudan Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih yang melebihi ummat yang sebelumnya....Syukur ke Hadrat Ilahi! Salam dan selawat ke atas Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih yang merupakan amin wahyu Tuhan, makhluk terbaik daripada semua makhluk, hamba terpilih daripada semua hambaMu. Baginda pemimpin rahmat, petunjuk segala kebaikan dan kunci keberkatan, sebagaimana Baginda telah mengorbankan jiwanya dalam menjalankan perintahMu, yang beruasaha dengan segala tenaga untuk menyebarkan agamaMu...jadikan kami untuk melangkah dijalannya di dunia dan bersamanya di akhirat...

Hari kelahiran Nabi Mulia Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih seperti yang diketahui oleh para ahli sejarah dan ulama adalah bersamaan Tahun Gajah (‘Amu Al-Fil), tahun yang mana tentera Abrahah telah menyerang Makkah untuk merosakkan Kaabah yang bersamaan tahun 570 Masihi.



Kebanyakan ahli sejarah bersepakat berkenaan bulan kelahiran Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih iaitu pada bulan Rabiul Awal, namun mengenai hari kelahirannya mereka mempunyai perbezaan pendapat. Riwayat yang terkenal di kalangan para ahli hadis syiah, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah dilahirkan pada hari Jumaat 17 Rabiul Awal, selepas terbitnya matahari dan dikalangan ahli sunnah pula ialah pada hari Isnin 12 Rabiul Awal.

Ayahanda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih Abdullah, Putera Abdul Muthalib manakala Ibunda Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih Aminah Puteri Wahab. Datuk Baginda Abdul Muthalib Bin Hisyam Bin Abdul Manaf Bin Qushoi Bin Kilab Bin Marrah Bin Ka‘ab Bin Lu’yi Bin Ghalib Bin Fahr Bin Malik Bin Nadhir Bin Kananah Bin Khuzaimah Bin Mudrakah Bin Albas Bin Mudhir Bin Nizar Bin Ma‘ad Bin ‘Adnan, kesemuanya beragama Tauhid dan merupakan lelaki-lelaki yang hebat pada zaman masing-masing.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah dilahirkan didalam sebuah keluarga daripada keluarga yang terbaik dan termulia dikalangan Arab; mereka bertanggungjawab dalam menguruskan jemaah-jemaah haji yang datang ke Rumah Allah.

Perkara penting berkenaan keturunan dan datuk-datuk Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih adalah kesemuanya beragama Tauhid dan beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Antara dalil Naqli bagi membuktikan kesahihan perkara ini adalah :

1- Allah Subhanahu Wa Taala didalam Al-Quran berfirman:

Dan bertawakallah kepada (Allah) Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang, Yang melihat kamu ketika kamu berdiri (untuk sembahyang), dan (melihat pula) perubahanmu di antara orang-orang yang sujud. (Ash-Syuara’, 217-219)

Berdasarkan riwayat dan dalil-dalil sebahagian ahli tafsir berkenaan ayat تقلبك فيالساجدين dikatakan bahawa maksud daripada ayat tersebut adalah masa perubahan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih semasa didalam sulbi-sulbi dan rahim-rahim suci.Daripada ayat ini dapat dibuktikan bahawa Datuk-datuk Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kesemuanya beragama Tauhid dan bersujud ke Hadrat Allah Subhanahu Wa Taala.



2- Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda :

“ aku telah dipindahkan daripada sulbi-sulbi lelaki-lelaki suci ke rahim-rahim wanita suci...”

3- Sebuah riwayat di dalam Majmau’ Al-Bayan Thabarsi Rahimahullah selepas kata-kata yang telah dibawakan di atas Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda :
“Allah telah memindahkan Aku daripada sulbi-sulbi lelaki-lelaki suci ke rahim-rahim wanita suci sehinggalah Dia telah memasukkan aku kedalam dunia kalian tanpa dikotori oleh sebarang kotoran jahiliyyah.”



Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih ketika masih belum dilahirkan (riwayat lain ketika masih kecil didalam buaian) telah kehilangan Ayahandanya ketika beliau dalam perjalan pulang daripada Syam (Syiria) di Madinah. Selepas daripada itu, tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah terletak kepada Datuknya Abdul Muthalib, pembesar daripada Quraisyh, dan Beliau telah menyerahkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kepada Halimah daripada Qabilah Bani Saad untuk disusui.

Pada hari ketujuh, Abdul Muthalib telah mengorbankan kambing biri-biri sebagai tanda kesyukuran dan menjemput beberapa tetamu. Didalam majlis tersebut, Beliau telah menamakan Puteranya di hadapan masyarakat Quraisyh dengan nama Muhammad. Ketika Beliau ditanya : Mengapa engkau memilih nama Muhammad untuk Puteramu,sedangkan dikalangan masyarakat Arab tidak terlalu ramai yang memiliki nama tersebut? Beliau menjawab : Aku ingin dia dipuji di langit dan bumi.



Hasan Bin Tsabit berkata :

Tuhan telah memberikan namaNya sendiri kepada Rasulullah. Kerana Allah Subhanahu Wa Taala adalah Mahmud dan RasulNya pula adalah Muhammad, kedua-dua nama ini adalah daripada satu huruf-huruf asli dan memberikan makna yang sama.

Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tinggal bersama Qabilah Bani Saad sehingga berumur 5 tahun dan selepas daripada itu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih kembali pulang ke sisi keluarganya. Masa berlalu, suatu hari Aminah telah bergerak ke Madinah untuk menziarahi kubur suaminya, Abdullah dan ahli keluarga disana. Beliau juga telah membawa Puteranya bersama, mereka tinggal selama sebulan di Madinah dan ketika dalam perjalanan pulang Beliau telah meninggal dunia di Abuwa’.

Abdul Muthalib selepas peninggalan Aminah, lebih daripada sebelumnya telah menjaga Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih; Setiap kali ketika duduk di sisi Kaabah dan pembesar-pembesar Quraisyh, ketika matanya terpandang Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih, Beliau akan mendudukkannya disisinya dan sentiasa berkata : Demi Tuhan, Dia akan mencapai sebuah makam yang besar.

Ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih berumur 8 tahun, Datuknya pula telah meningal dunia dan mengikut wasiat yang telah ditinggalkan, tanggungjawab untuk menjaga Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah diserahkan kepada Abu Thalib. Abu Thalib yang merupakan seorang lelaki beriman, berpegang pada Tauhid dan juga memiliki syaksiah hebat yang terkenal di kalangan Quraisyh. Beliau tidak pernah lalai dan alpa dalam mempertahankan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih daripada segala ancaman dan bahaya. Ketika Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih berumur 12 tahun, Beliau telah membawa Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersamanya didalam safar perniagaan ke Syam (Syiria).

Didalam safar ini, rombongan Quraisyh telah berhenti di sebuah tempat bernama Basrah. Seorang pendeta bernama Buhaira yang tinggal ditempat tersebut telah terpandang Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih lalu mengkhabarkan berkenaan masa hadapan Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan agama yang akan tersebar ke seluruh dunia.



Sebuah hadis daripada Imam Baqir Alaihissalam bahawa : Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih memilki sepuluh nama; lima daripadanya terdapat didalam Al-Quran dan lima yang lainnya didalam kitab lain. Nama-nama yang terdapat didalam Al-Quran terdiri daripada: Muhammad, Ahmad, Abdullah, Yaasin dan Nun. Sebahagian ulama mengatakan bahawa didalam Al-Quran terdapat 400 nama Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan yang paling masyhur terdiri daripada : Shaahid (Saksi), Syahid, Basyir, Da‘i, Rahmatun Lil‘alamin, Rasulullah, Khatimun Nabiyyin, Nabi, Ummi, Raauf dan Rahim.

Jabir Bin Abdullah Ansori telah meriwayatkan daripada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih yang bersabda : Aku adalah orang yang paling mirip dengan Nabi Adam dan Nabi Ibrahim Alaihimassalam adalah yang paling mirip denganku. Selain itu, Allah Subhanahu Wa Taala telah menyebutkan namaku didalam Taurat dan Injil serta mengajarkan kepadaku KalamNya, namaku telah diambil daripada NamaNya. Dia adalah Mahmud dan aku dinamakan dengan Muhammad. Didalam Taurat aku juga telah dinamakan dengan Ahid; kerana disebabkan Tauhid dan menyembah Yang Satu, jasad-jasad ummatku akan diharamkan daripada api neraka. Didalam kitab suci Tarsayan, aku telah dinamakan dengan Ahmad; kerana aku dikalangan ahli langit adalah Mahmud dan ummatku adalah orang yang memuji. Didalam Zabur, aku telah dinamakan dengan Mahi; kerana disebabkan aku, bumi telah memusnahkan menyembah berhala-berhala. Didalam Al-Quran pula aku dinamakan dengan nama Muhammad; kerana pada hari Qiamat seluruh ummat akan memujiku, kerana pada hari Qiamat, tidak ada sesiapa yang akan dapat memberi syafaat melainkan dengan izinku.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih seperti yang diketahui telah kehilangan kedua ibu bapanya sejak daripada kecil, namun ia tidak menjadi penghalang Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih untuk memiliki perlakuan, tutur bicara dan peribadi yang mencerminkan keindahan akhlak yang sempurna. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak ada tandingan dari segi kebersihan, pakaian yang bersih kemas, rambut yang tersisir rapi, mulut dan badan yang berbau harum yang merupakan sebahagian daripada peribadi Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih.

Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak pernah sesekali gelojoh ketika menjamu makanan seperti kanak-kanak yang lain, tidak tamak atau berebut-rebut dan sentiasa cukup baginya dengan makanan yang sedikit. Tarbiyah sempurna ini telah berjaya membentuk Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih untuk tidak pernah sesekali merungut dalam menghadapi segala kesusahan lapar dan dahaga.

Para Rasul Ilahi tidak memiliki maqam dan kedudukan yang sama, tetapi mereka memiliki kedudukan yang pelbagai disisi Tuhan dan di kalangan mereka, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih adalah yang terbaik. Dua contoh riwayat berkenaan perkara ini :

1- Berita baik bagi para Nabi terdahulu : Imam Baqir Alaihissalam berkenaan ini berkata : para Rasul akan membawa berita gembira akan kedatangan Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sehinggalah Nabi Masih telah dilantik menjadi Rasul dan Baginda Alaihissalam telah diberitakan dengan khabar gembira risalahnya Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih.



2- Kitab-kitab langit : Kitab langit yang telah diturunkan kepada Rasul Islam adalah Al-Quran yang mana Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih berkenaannya telah bersabda : kelebihan kata-kata Al-Quran ke atas kata-kata yang lain, umpama kelebihan Tuhan ke atas makhlukNya. Apabila Al-Quran mempunyai kelebihan ke atas kitab-kitab yang lain, oleh itu, orang yang membawanya pasti adalah Pesuruh Allah, Nabi dan Rasul yang terbaik juga.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sentiasa memelihara adab terutama apabila berhadapan dengan orang lain; Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sentiasa akan menjawab panggilan setiap orang dengan perkataan “Labbaik”. Anas Bin Malik berkata : Aku berada bersama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih selama 10 tahun, namun Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak pernah walau sekali mengungkit dan menyoal perkara yang telah aku lakukan, mengapa engkau tidak lakukannya atau perkara yang telah aku tinggalkan dengan bersabda : mengapa engkau tidak lakukannya?.

Sejak Baginda Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah kehilangan kedua ibu bapanya, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih tidak pernah lalai untuk memberi perhatian kepada mereka-mereka yang tidak memiliki perlindungan malah Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah mencipta sebuah budaya kepada seluruh masyarakat dan bersabda : Sayangilah dan belailah anak-anak yatim dan lindungilah mereka yang terasing, kerana Aku sendiri pada zaman kanak-kanak telah menjadi yatim, dan ketika telah dewasa pula terasing. Begitu juga Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah bersabda : Barangsiapa mengambil tanggungjawab untuk memelihara anak yatim dan membesarkannya, pada hari akhirat, dia akan mencapai kedudukan yang sama denganku.

Didalam kitab Nahjul Balaghah, Amirul Mukminin Alaihissalam telah diriwayatkan berkenaan cara hidup Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih : Contohilah kebersihan dan kesuciaan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih yang mana jalan dan cara Baginda adalah contoh tauladan untuk mereka yang menginginkan dan suatu kebanggaan bagi mereka yang inginkan perubahan. Hamba yang paling dicintai oleh Allah adalah sesiapa yang mengikuti Rasulnya dan berjalan mengikut langkah Baginda. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sentiasa duduk di atas lantai untuk makan, menjahit kasutnya sendiri.... Rasulullah seorang yang zuhud, yang telah membuang dari hatinya keduniaan, membuang ingatan dunia dari jiwanya begitu juga telah memadamkan tarikan dunia daripada pandangan matanya serta tidak menaruh harapan untuk kekal tinggal di dunia fana. Oleh itu, pengikut perlu mengikut Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan berjalan di jalan dan langkah Baginda Rasul; kerana jika tidak, mereka pasti akan musnah, sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menjadikan Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sebagai tanda kiamat dan khabar gembira syurga serta kegerunan neraka.

Berpakaian sederhana merupakan sebuah gambaran hidup sederhana dan cara untuk meninggalkan kekuasaan kebendaan. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sentiasa memandang dunia sebegitu dan tidak pernah sesekali menganggap pakain sebagai sesuatu yang sangat berharga. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sentiasa memberi perhatian kepada kesihatan dan keselamatan tubuh badan, kesederhanaan serta jenis kain yang baik untuk kesihatan, oleh itu, pakaian daripada kapas menjadi kegemaran Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih. Imam Ali Alaihissalam berkata : Pakailah pakaian daripada kapas kerana ia adalah pakaian Rasulullah. Warna hijau adalah warna pakaian yang menjadi kesukaan Baginda, namun Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sering memakai pakaian-pakaian yang berwarna putih dan bersabda : Pakaikanlah pakain berwarna putih kepada yang masih hidup dan kafanilah mereka yang telah meninggal dunia juga dengan kain putih. Namun warna merah, adalah warna yang tidak digemari Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih untuk dijadikan pakaian.


Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih setiap kali ketika ingin menyarungkan pakaian, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih pasti akan memulakan dengan sebelah kanan dan ketika menanggalkannya dimulai dengan sebelah kiri. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih sentiasa menggemari untuk melakukan setiap pekerjaan dengan tangan kanannya dan memulakan juga daripada sebelah kanan seperti memakai pakaian dan kasut serta menyikat rambut. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih juga telah bersabda berkenaan pakaian : Barangsiapa di dunia memakai pakaian yang mahsyur (iaitu pakaian yang apabila memakainya menarik perhatian orang lain), maka Allah Subhanahu Wa Ta’ala pada hari Qiamat akan memakaikannya dengan pakaian kehinaan.


Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih juga sentiasa menggalakkan dan menyuruh ummatnya untuk berbuat baik kepada isteri yang mana Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah bersabda : Yang terbaik dikalangan kalian adalah yang berkelakuan paling indah dengan isterinya dan ketahuilah sesungguhnya aku adalah yang paling berkelakuan baik daripada kalian dengan isteri-isteriku. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih akan menjahit sendiri kasut dan pakaiannya yang koyak, memelihara kambing biri-biri dan unta serta menolong juga didalam kerja-kerja rumah. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dengan segala kemuliaan dan kebesaran yang dimilikinya akan menolong pekerjaan-pekerjaan rumah dan menjaga kanak-kanak.

Seorang pemuda telah datang kesisi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan berkata : Wahai Rasulullah! Aku ingin pergi berjihad. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : Berjihadlah di jalan Allah jika kamu terbunuh, kamu akan dihidupkan disisi Tuhan dan mendapat rezeki di syurga. Jika kamu terbunuh, ganjaranmu disisi Tuhan, jika kamu pulang dengan selamat, dosa-dosamu akan diampunkan, seperti hari kamu baru dilahirkan daripada ibumu. Pemuda berkata : Wahai Rasulullah! Saya memiliki ayah dan ibu yang memerlukan saya dan tidak mahu berpisah daripadaku. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih menjawab : Berkhidmatlah kepada ayah dan ibumu. Dengan hak Tuhan yang jiwaku dibawah kekuasaanNya, keperluan mereka kepadamu dalam masa satu hari dan satu malam, lebih baik daripada satu tahun berjihad dijalan Allah.

Abu Ayyub Ansori telah datang kesisi Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan berkata : Wahai Rasulullah! Nasihatilah saya supaya saya dapat menyimpannya didalam ingatan dan mengamalkannya. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : Aku menasihatimu dengan lima perkara : berputus asa daripada sesuatu yang berada di tangan manusia, yang mana amalan ini adalah hakikat kecukupan; jauhilah ketamakan, kerana tamak membawa kefakiran; tunaikanlah solatmu umpama ia adalah solatmu yang terakhir dan kamu tidak akan hidup lama selepas ini untuk menunaikan solat yang lainnya; .....................dan lakukanlah perkara untuk saudaramu yang mana engkau suka ia dilakukan untuk dirimu sendiri.

Terdapat banyak ayat-ayat dan riwayat-riwayat yang terdapat didalam Al-Quran dan sumber-sumber riwayat Syiah dan sunni yang menceritakan berkenaan kelebihan berselawat ke atas Rasulullah dan Ahlul Baitnya. Antara Kelebihan-kelebihan yang paling penting adalah :

1- Penyebab keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala;
2- Penyebab kegembiraan dan keredhaan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih;
3- Mendapat syafaat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih;
4- Rasulullah akan memberikan hadiah daripada syurga untuk mereka-mereka yang berselawat;
5- Selawat merupakan kafarah dosa-dosa.
6- Menyempurnakan hajat-hajat dunia dan akhirat.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : ketika kamu telah memberikan nama kepada seseorang dengan nama Muhammad, maka janganlah bercakap buruk kepadanya. Jika dia datang kesisimu menyusul hajat, janganlah hampakannya dan janganlah memukulnya. Tahniah ke atas rumah yang didalamnya terdapat Muhammad! Tahniah ke atas majlis yang terdapat didalamnya Muhammad! Tahniah ke atas sahabat-sabahat yang dikalangan mereka terdapat yang bernama Muhammad!

Imam Sodiq Alaihissalam telah meriwayatkan daripada Ayahanda-ayahandanya bahawa Rasulullah melarang pemuda-pemuda daripada memakai pakaian yang menyerupakan mereka dengan wanita, Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih juga melarang wanita-wanita untuk memakai pakaian yang menyerupakan mereka dengan lelaki.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda :“Pada hari kiamat, orang yang paling dekat denganku adalah orang yang paling banyak bersolawat keatasku.”

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : empat golongan yang mana aku akan mensyafaati mereka pada hari Qiamat : Iaitu, orang yang memuliakan anak-keturunanku. Orang yang memenuhi keperluan mereka. Orang yang menolong urusan mereka ketika mereka sangat memerlukan pertolongannya. Dan orang yang mencintai mereka dengan hati dan lisan yang ikhlas. (hadis Riwayat ad-Dailami)

Imam Ali Alaihissalam meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah bersabda,

“Sebaik-baik manusia adalah orang Arab. Sebaik-baik orang Arab adalah kaum Quraisy dan sebaik-baik kaum Quraisy adalah Bani Hasyim.”(hadis Riwayat ad-Dailami).

Abdul Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah bersabda,

“Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah pendahulu bagi kalian. Aku mewasiatkan kepada kalian untuk berlaku baik kepada keluargaku, tempat kembali kalian adalah telaga syurga.”(hadis riwayat al-Hakim)

Ibnu Abbas berkata, ketika turun ayat: “katakanlah, aku tidak meminta sesuatu upah kepada kamu atas seruanku selain hanya berkasih sayang terhadap kerabatku.”

Lalu para Sahabat bertanya,”Wahai Rasulullah, siapakah yang dimaksudkan kerabat anda yang wajib kami sayangi?” Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi iWa Aalih menjawab,”Mereka adalah Ali Fatimah, kedua anaknya dan cucu-cucunya.” (hadis riwayat Ibnu al-Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Mardawiyyah di dalam tafsir mereka. begitu juga ath-Thabari di dalam al-Mujam al-Kabir.)
Ya Rasulullah!...

No comments: