Popular Posts

Friday, December 21, 2007

Ahlul Bayt AS Dalam Sunnah Nabi SAWA (2)

Hadith al-Thaqalain (Dua Pusaka Berat)

Pada tahun 10 Hijrah, Rasulullah Saw mengerjakan Haji Wada iaitu Haji Perpisahan bersama-sama ribuan umat Islam. Mengikut Ibn al-Athir bilangan umat Islam yang mengikut Rasulullah Saw mengerjakan Haji Wada ialah kira-kira 90,000 hingga 140,000 orang. Ketika di Padang Arafah Rasulullah Saw telah berkhutbah kepada umat Islam seperti berikut (yang bermaksud):

" Segala puji bagi Allah. Kami memujiNya dan memohon pertolonganNya
dan memohon keampunanNya akan segala dosa-dosa kami serta menyatakan taubat
Kami di hadapanNya. Kami memohon perlindungan daripada keburukan-keburukan
hati-hati kami dan kejahatan-kejahatan yang telah kami lakukan. Sesiapa
yang dipimpin Allah ke jalan yang lurus, maka tiada seorang pun yang
boleh menyesatkannya dan sesiapa yang tidka diberi petunjuk oleh Allah
maka tiada sesiapa yang dapat memandunya ke jalan yang benar. Dan Aku
mengisytiharkan kebenaran ini bahawa tiada tuhan yang lain melainkan Allah
dan aku mengisytiharkan kebenaran ini bahawa Muhammad itu hambaNya dan
Rasulnya. Wahai hamba-hamba Allah, aku nasihatkan kamu supaya menyembah
Allah dan aku mengajak kamu supaya berbuat demikian. Aku mulakan kata-kata
yang suci ini. Selepas ini aku akan menyatakan kepada kamu, wahai manusia,
dengarkanlah perkataan-perkataan yang aku ucapan ini. Aku tidak tahu adakah
aku akan menemui kamu di tempat ini selepas tahun ini. Wahai manusia, sesungguhnya
darah dan harta kamu itu adalah diharamkan bagi seseorang ke atas seorang
yang lain sehingga kamu menemui Tuhan kamu, seperti juga hari ini dan bulan
(suci) kamu ini. Kamu akan pasti menemui Tuhan kamu dan kamu akan ditanya
nanti. Aku telah memberitahu kamu.
Sesiapa yang memegang amanah hendaklah ia kembalikan
kepada pemiliknya. Semua riba adalah dihapuskan, tetapi bagi kamu modal
kamu. Jangan kamu meugikan dan jangan kamu dirugikan. Allah telah
menetapkan bahawa riba diharamkan dan riba yang dituntut oleh Abbas
bin Abdul Muttalib aku hapuskan (pada hari ini).
Semua tuntutan hutang darah yang dilakukan di zaman jahiliyyah
dibatalkan. Pertama sekali aku membatalkan tuntutan hutang darah yang dibuat
oleh Rabi a bin al-Harith bin Abdul Muttalib. Syaitan telah berputus asa
untuk mengajak (menghasut) orang yang bersolat tetapi dia akan sentiasa
menghasut di antara kamu, maka dia akan bergembira sekiranya kamu terlalai,
oleh itu hendaklah kamu berwaspada terhadapnya. Wahai manusia, pertukaran
bulan-bulan (seperti bulan-bulan haram) adalah menambahkan jalan-jalan
yang membawa kepada kesesatan dan melalui jalan itu, orang-orang kafir
terus-menerus berada di dalam kesesatan. Mereka menjadikannya halal bagi
satu tahun dan mengharamkannya pula pada tahun hadapan. Dengan berbuat
demikian mereka telah menghalalkan apa yang telah Allah haramkannya dan
mengharamkan apa yang telah Allah halalkan. Sesunguhnya masa itu berputar
seperti pada hari Dia menjadikan langit dan bumi. Sesunguhnya di
sisi Allah itu ada dua belas bulan, empat bulan adalah diharamkan,
tiga darinya bersambung-sambung dan satu lagi ialah bulan Rajab iaitu diantara
bulan Jamadil Akhir dan Sya aban.
Wahai manusia, kamu mempunyai beberapa hak ke atas wanita-wanita
kamu dan mereka mempunyai hak ke atas diri kamu. Adalah menjadi kewajipan
ke atas mereka supaya tidak mengizinkan sesiapa pun masuk ke dalam kamar
tidur mereka kecuali kamu dan tidak membenarkan orang yang tidak disukai
oleh kamu masuk ke dalam rumah kamu. Jika mereka melakukannya, maka Allah
membenarkan kamu memisahkan diri dari mereka dari kamar tidur dan kamu
boleh memukul tubuh mereka dengan syarat tidak meninggalkan bekas. Jika
mereka berhenti dari melakukan perkara-perkara tersebut, mereka mempunyai
hak ke atas kamu untuk memperolehi makanan dan pakaian dengan cara yang
baik. Perintahlah wanita-wanita yang berada di bawah tanggungjawab kamu
dengan baik kerana mereka di sisi kamu seperti tawanan kamu yang tidak
berkuasa keatas mereka. Kamu telah mengambil mereka sebagai amanah dari
Allah serta telah dihalalkan bagi kamu hubungan dengan mereka dengan kalimah
Allah A.W.J.

Hadith Kitabullah dan Sunnati


Wahai manusia ! Ingatlah aku telah menyampaikan pesan
kepada kamu. Aku tinggalkan bagi kamu (dua pusaka berat). Kamu tidak akan
sesat sekiranya kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya iaitu Kitab Allah
dan Sunnah NabiNya. Oleh itu ingatlah apa yang aku sampaikan ini.
Ingatlah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara. Oleh
itu mengambil harta seorang saudara tanpa keizinannya adalah diharamkan.
Tidakkah aku telah sampaikan (nasihat ini) ?
Para hadirin berkata, " Ya Allah, kami mengakuinya" dan
Nabi SAWberkata, " Ya Allah saksikanlah."
[1]

Dalam riwayat lain dua pusaka berat dinisbahkan kepada Al-Qur an dan Ahlul Bayt Nabi SA.W.A. Menurut beberapa riwayat, dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas mengerjakan Haji Wada , Nabi Muhammad SAW telah berhenti di suatu tempat yang bernama Ghadir al-Khum.Di situ Nabi Muhammad SAWtelah berkhutbah kepada umat Islam dan antara pesanannya ialah supaya umat Islam berpegang kepada dua pusaka berat iaitu al-Qur an dan Ahlul Baytnya selepas peninggalannya kelak. Al-Nasai meriwayatkan daripada Zaid bin Arqam seperti berikut (maksudnya):

" Ketika Rasulullah SAWA pulang dari Hujjat al-Wada dan berhenti di Ghadir Khum, lalu baginda memerintahkan supaya didirikan beberapa khemah dan setelah itu baginda bersabda (yang bermaksud): " Seakan-akan aku dipanggil (Allah) dan aku memenuhinya. Aku tinggalkan kepadamu al-Thaqalain yang satu lebih besar dari yang lain; Kitab Allah dan Itrahku, Ahlul Baytku. Perhatikanlah bagaimana kamu memperlakukannya terhadap kedua-duanya setelah sepeninggalanku nanti, lantaran kedua-duanya tidak akan berpisah sampai berjumpa semula denganku di al-Hawd."

Kemudian baginda menyambung lagi; "Sesungguhnya Allah adalah mawlaku dan aku adalah wali setiap mukmin. ( Lalu baginda mengangkat tangan Ali dan bersabda lagi): "barang siapa yang memerwalikanku maka ini adalah walinya juga. Wahai Tuhanku, cintailah siapa yang memperwalikannya dan musuhilah siapa yang memusuhinya." Kemudian Abu al-Tufail berkata: " Saya pernah bertanya kepada Zaid: "(Adakah) engkau mendengar(nya) dari Rasulullah?" Lantas Zaid bin Arqam menjawab: " Setiap orang yang berada dalam khemah-khemah itu melihat baginda dengan kedua-dua matanya dan mendengar (ucapan baginda) dengan kedua-dua telinganya." [2]

Hadith Kitabullah Dan Ahlul Bayt AS

Al-Tabarani meriwayatkan dalam lafaz yang panjang seperti berikut:

" Dari Zaid bin Arqam, dia berkata: " Rasulullah SAW telah berkhutbah di Ghadir Khum, di bawah beberapa batang pohon. Baginda bersabda: " Wahai manusia, hampir tiba saatnya aku akan dipanggil pulang. Dan aku pasti akan memenuhi panggilan itu dan aku akan diminta tanggungjawab dan kamu juga bertanggungjawab. Maka apakah yang akan kamu katakan nanti?" Mereka yang hadir menjawab: "Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan (risalah Ilahi), telah berjihad dan telah menunjukajar kami, semoga Allah akan membalas dengan sebaik-baik kebaikan!" Kemudian Rasulullah SAWmeneruskan lagi ucapannya: "Bukankah kamu menyaksikan bahawa tiadaTuhan melainkan Allah, Muhammad hamba dan pesuruhNya dan bahawa jannahNya (syurga) adalah hak, narNya (neraka) adalah hak, kematian adalah hak dan kebangkitan sesudah mati adalah hak dan Hari Kiamat pasti tiba - tiada keraguan tentang itu - dan bahawa Allah akan membangkitkan kembali semua yang dalam kubur?" Ya, kami menyaksikan," jawab mereka. " Wahai Tuhanku, saksikanlah," sabda baginda. Kemudian Rasulullah SAWmenyeru mereka: " Wahai manusia, adakah kamu mendengar?" " Ya," jawab mereka. Lalu baginda meneruskan ucapan baginda: " Wahai manusia, sesungguhnya Allah adalah maulaku, dan aku adalah maula kaum mukminin dan lebih berhak menjadi wali mereka, lebih dari diri mereka sendiri. Barang siapa yang mengakui aku sebagai maulanya, maka dia ini (Ali) adalah maulanya juga! Ya Allah, cintailah siapa yang mencintainya, dan musuhilah siapa yang memusuhinya!" Kemudian beliau melanjutkan: "Wahai manusia, bahawa aku akan mendahului kamu, dan kamu akan menemuiku di telaga al-Hawd, Hawd yang lebih luas dari apa yang boleh dicapai oleh penglihatanku hingga ke (kota) San a, di sana tersedia gelas-gelas perak sebanyak bintang-bintang di langit, dan aku akan bertanya kepada kamu - bila datang ke tempat itu tentang al-Tsaqalain, bagaimana kamu memperlakukannya seteah sepeninggalanku. Al-Tsaqal yang terbesar ialah Kitab Allah Azza Wa Jalla yang satu hujungnya di tangan Allah dan yang lain ialah di tangan kamu. Maka berpeganglah erat kepadanya, nescaya kamu tidak akan sesat dan tidak akan berubah (arah). Dan (al-Tsaqal yang kedua ialah) itrahku, Ahlul Baytku kerana Allah Yang Maha Mengetahui memberitahuku bahawa kedua-keduanya tidak akan berpisah (selama-lamanya) sampai menemuiku di al-Hawd."

Hadith al-Tsaqalain (al-Qur'an dan Ahlul Bayt) ini telah diriwayatkan oleh 110 orang sahabat dan telah diakui sahih dan mutawatir oleh ulama hadith. Hadith yang diatas (al-Qur'an dan sunnahku) adalah hadith hasan malahan Bukhari dan Muslim tidak mencatatkannya. Oleh itu Ahlul Bayt AS, berdasarkan hadith al-Tsaqalain, sepatutnya menjadi sumber rujukan dan tali pengikat kesatuan umat Islam serta menghidari mereka dari perpecahan.

No comments: