Popular Posts

Monday, September 7, 2009

Mengenal Bulan Tuhan




Perkara pertama yang patut dilakukan berhubung dengan “Bulan Mubarak Ramadhan” adalah mengenal bulan ini dengan benar, pengenalan yang diambil daripada Al-Quran dan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin Ilahi kepada manusia. Berturutan daripada ini, seorang manusia yang beriman, bagi menghadapi bulan ini pasti akan berusaha untuk mengetahui apakah sebenarnya Bulan Ramadhan dan pasti tidak akan lupa untuk mengumpulkan segala makrifat yang perlu berkenaan makam dan kelebihan bulan ini.

Sepertimana Imam Ali Zainul Abidin as yang memohon dan merayu makrifat daripada Tuhannya:

Tuhanku selawat buat Muhammad dan ahli keluarga Muhammad dan ilhamkanlah kami makrifat kelebihan Bulan Ramadhan dan ketinggian kehormatannya...(Sahifah Sajjadiyah/doa155)

Dalam usaha mengenal dan mengumpul makrifat itu sendiri merupakan suatu nikmat yang besar yang membuka jalan luas untuk menyiapkan manusia berhadapan dengan bulan mulia. Hakikatnya, pengenalan dan makrifat ini menunjuk manusia bagaimana menjalani bulan yang penuh keberkatan, maghfirah(keampunan) dan nikmat ini dengan sebaiknya. Anas Bin Malik meriwayatkan:

“Ketika sampai bulan Ramadhan, Rasulullah saaw bersabda: Maha Suci Allah, ketahuilah apa yang kamu menyambutnya dan apa yang akan menyambut kamu, dan Rasulullah saww mengulanginya sebanyak tiga kali.” (Bihar, j93, m/s347)

Abi Mas’ud Ansori meriwayatkan bahawa Rasulullah saww bersabda:

“Jika hamba mengetahui apa yang telah ditetapkan pada bulan Ramadhan, pasti dengan sepenuh hati akan mendambakan sepanjang tahun merupakan bulan Ramadhan.” (Bihar, j93, m/s346)


Mengenal dan Memahami Bulan Ramadhan Punca Syukur Kepada Ilahi

Mengenal rahsia sebenar bulan Ramadhan mengenalkan kita kepada keberkatan, jutaan hadiah dan pemberian Rabbani dalam bulan ini.

Suatu nikmat yang besar yang tidak diragukan lagi bagi setiap orang yang berjaya memanfaatkan sebaik mungkin bulan ini, yang berjaya membuka pintu kebahagiaan dan makrifat serta berjaya mendapatkan piala ketaqwaan dengan penuh bangga. Satu nikmat yang amat berharga yang tiada galang gantinya. Maka amat sesuai bagi setiap yang telah mencapai nikmat besar ini untuk bersyukur kepada Tuhannya:

“Jika kamu mengetahui apa yang telah ditetapkan bagi kamu pada bulan Ramadhan, kamu pasti akan memperbanyakkan mengucapkan syukur kepada Allah.” (Wasail As-Syiah, j6, m/s174)


Bulan Mubarak

Salah satu daripada sifat-sifat bulan Ramadhan yang terdapat dalam sebahagian daripada riwayat-riwayat dan doa-doa adalah sifat “Mubarak”. Sebagai contoh sebahagiannya:

1) Rasulullah saww bersabda: “Telah datang ke sisimu bulan Ramadhan, bulan mubarak, satu bulan di mana Allah Subhanahu Taala telah mewajibkan ke atasmu ibadah puasa.” (Tahzib Al-Ahkam, j4, m/s152)

2) Imam Ali as meriwayatkan bahawa pada satu hari Rasulullah saww telah bersabda: “Wahai manusia, telah datang pada kamu bulan Allah yang diiringi dengan barakah(keberkatan), rahmat dan maghfirah (keampunan).” (Wasail As-Syiah, j7, m/s227)

3) Salman Al-Farisi berkata bahawa Rasulullah saww telah berkhutbah kepada kami pada hari terakhir bulan Syaaban sambil bersabda: “Bulan Ramadhan telah muncul, satu bulan mubarak, satu bulan yang di dalamnya terkandung Lailatul Qadar yang fadhilatnya melebihi kebaikan seribu bulan.” (Mustadrak Al-Wasail, j7, m/s429)

4) Telah diriwayatkan daripada Rasulullah saww bahawa baginda pada setiap malam pertama bulan Ramadhan akan berdoa: “Syukur ke hadrat Ilahi yang telah memuliakan kami dengan bulan mubarak.” (Mustadrak Al-Wasail, j7, m/s446)

5) Diriwayatkan bahawa Imam Sodiq as pada malam terakhir bulan Syaaban dan malam pertama bulan Ramadhan membaca doa: “Wahai Tuhanku, telah hadir bulan mubarak ini yang Dikau turunkan di dalamnya Al-Quran, dan Dikau jadikannya petunjuk bagi manusia, penerang jalan hidayah serta pemisah antara hak dan bathil. (Al-Iqbal Bi Al-A’mal Al-Hasanah (Iqbal Syed Ibni Thawus, bab3, bhg4)

Gelaran Mubarak bagi bulan Ramadhan telah dikenali sebagai sifat yang paling mahsyur bagi bulan ini.


Makna Barakah dan Mubarak

Ulama bahasa memaknakan ((Barakah)) dengan makna - banyak dan membesar, diiringi dengan kukuh dan berkekalan.

Di dalam kitab Lisan Al-Arab terdapat riwayat yang dikutip daripada Ibnu Abbas yang menerangkan maksud barakah: ((Makna barakah adalah banyak dalam setiap perkara yang baik)). (Lisan Al-Arab/j1)

Namun Mubarak, digelar kepada sesuatu yang terdapat di dalamnya kebaikan yang banyak dan kebaikan itu cemerlang dan tersebar daripadanya. Zujjaj berkata: ((Mubarak adalah sesuatu yang keluar daripadanya kebaikan yang banyak)). (Lisan Al-Arab/j1)



Rahsia Mubarak Bulan Ramadhan

Tidak ada keraguan bahawa setiap sesuatu sama ada mubarak atau tidak, berfaedah atau tidak, apabila ia ada hubungkait dengan manusia, maka ia mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan dan perspektif wujud manusia serta hubungan sempurna dengan maslahat-maslahat hidupnya. Oleh sebab itu, bagi memahami mubaraknya bulan Ramadhan dan barakahnya ia bagi manusia maka perlu diberi perhatian dan difikirkan perkara-perkara dibawah:

1- Hakikat hidup dan wujud manusia selain berasal daripada campuran unsur kebendaan dan kehidupan kehaiwanan, manusia juga mempunyai unsur spiritual dan kehidupan insani. Unsur maknawi dan kemanusiaan ini adalah satu pemberian yang menjadikan manusia makhluk yang terbaik. Ini dijelaskan oleh Allah swt di dalam Surah Mukminun/14 dan surah Hajr/29.

Unsur wujud yang terbaik dan hakikat yang tertinggi yang membina asas kewujudan dan permata kehidupan seorang manusia adalah ruh dan jiwa insani yang tidak dimiliki oleh makhluk-makhluk yang lain. Selain dari nyawa yang juga terdapat pada lembu dan keldai, manusia telah dikurniakan akal dan jiwa yang berbeza. Tatkala permata berharga ini hilang, manusia akan jauh dari kehidupan insani dan makamnya hanyalah seperti haiwan-haiwan lainnya.

2) Keperluan fizikal hidup seorang manusia juga seperti keperluan kehidupan haiwani lainnya, tatkala tidak dipenuhi maka tidak mungkin kelangsungan hidupnya dapat dijaga dan dipelihara. Sisi kehidupan insani dan spiritual seorang insan juga begitu. Ia mempunyai keperluan dan kecenderungan asasi. Bagi menjaga dan memeliharanya kita perlu menyediakan dan memenuhkan sesuai dengan keperluannya.

Adalah jelas bahawa keperluan antara dua unsur wujud ini berbeza, bersesuaian dengan perbezaan mereka; pemakanan, pembesaran dll. Unsur haiwani dan fizikal manusia, memerlukan sesuatu yang daripada unsurnya sendiri. Namun kita seringkali lupa dan lalai bahawa unsur spiritual, roh, dan wujud insani kita memerlukan sesuatu yang dari unsurnya sendiri juga.

3) Oleh itu, tujuan dan matlamat bulan Ramadhan adalah bagi mendidik, membesarkan dan meninggikan jiwa. Untuk memenuhi keperluannya, kita perlu kembali kepada unsur-unsur selain daripada unsur-unsur yang hanya menyempurnakan keperluan badan luaran.

Hakikatnya, tujuan asal dan natijah akhir berpuasa yang telah diwajibkan pada bulan Ramadhan adalah agar kita bertaqwa. Allah swt berfirman di dalam Surah Baqarah/183:

“Wahai mereka yang telah beriman, telah tertulis bagi kamu kewajipan berpuasa; sepertimana telah diwajibkan bagi mereka sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Taqwa memelihara dan mengawal kemahuan-kemahuan haiwani dan nafsu manusia. Segala kelebihan yang dimiliki bulan Ramadhan bagi mempertingkatkan, memperbaiki dan memperindahkan unsur hakiki dan permata asli wujudnya manusia hanya dapat menjadi kenyataan apabila manusia mampu mengawal dan mengimbangkan kemahuan-kemahuan haiwani dan nafsunya serta mempertingkatkan kekuatan ruh bagi berhadapan dengan tarikan-tarikan nafsu yang membusuk.




4) Bagi memenuhkan keperluan hidup maknawi, menguatkan, mendidik dan menyenangkan ruh, insan memerlukan hubungan bulan Ramadhan ini dengan hidupnya. Walau bagaimanapun, kesan dan faedah kewajipan berpuasa pada bulan ini seperti kewajipan-kewajipan lain bukan sahaja terhad kepada unsur maknawi, malah juga menyediakan keuntungan dan keberkatan duniawi bagi individu dan masyarakat. Namun, tujuan asli, tugas asasi dan kesan penting bulan Ramadhan adalah kehidupan maknawi dan jiwa insani.

Maka, daripada ini, dapat kini difahami kepentingan bulan mubarak ini. Muhammad Bin Muslim telah meriwayatkan daripada Imam Baqir Alaihissalam:

“Allah swt mempunyai malaikat yang tugas mereka beristighfar, memohon keampunan bagi mereka yang berpuasa, setiap hari sepanjang bulan Ramadhan sehingga berakhir bulan ini dan setiap malam ketika tiba waktu berbuka mereka akan menyeru orang-orang yang berpuasa: Berbahagialah wahai hamba-hamba Allah, sedikit rasa lapar yang telah kamu rasakan dan dengan segera kamu akan kembali kenyang. Tahniah kepada kamu dan apa yang ada pada kamu.” (Wasail As-Syiah, j6, m/s176)


Imam Ja’far as berkata: “Tidurnya orang yang sedang berpuasa itu adalah ibadah,diamnya adalah tasbih,amalnya diterima & doanya dikabulkan.”
“Bagi orang yang berpuasa ada 2 kegembiraan; kegembiraan di saat berbuka & kegembiraan di saat bertemu dengan Tuhannya”
Imam Ali pada berkata pada salah satu hari raya: “Sungguh hari ini adalah hari raya bagi yang ALLAH terima puasanya dan ibadah malam harinya. Setiap hari dimana perintahnya ALLAH swt tidak dilanggar maka hari itu adalah hari raya.”



Ya Aba Soleh Eltimasi Doa
Fatimah Az-Zahraa
Khidmat Imam Zaman (as)
Email: heyatt_arredza@yahoo.co.uk