Popular Posts

Friday, October 30, 2009

Fatimah Masumah sa





Sejarah bulan ini tertumpu kepada seorang lagi Fatimah. Penantian kehadiran permata cahaya yang menerangi bahagia. Ketenangan hadirnya seorang lagi Fatimah tersebar ke seluruh Madinah, telaga Kausar Fatimah, mengalirkan airnya.

Ahlul Bait Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wasalam merupakan punca-punca cahaya yang menerangi alam, nama-nama mereka umpama bintang-bintang yang cemerlang berkelipan di langit-langit yang memberi keberkatan dan mencurahkan kebaikan, dan antara yang paling cerah dan menonjol di kalangan wanita keturunan mulia ini adalah puteri Imam ketujuh, Fatimah Kubra puteri suci Musa Ibni Jaafar Alaihis Salam.

Beliau sa. Adalah puteri terbaik Musa as. yang mana setiap kali nama Ayahanda dituturkan pasti akan diiringi nama beliau sa.. dan kini kita berada didalam minggu-minggu hari kelahiran beliau sa., 10 hari karamah dimana bermula daripada 1 Zulkaedah (hari kelahiran Hadrati Masumah sa.) hingga 11 Zulkaedah (wiladah Kekandanya Imam Ali Ibni Musa Ar-Ridha as.).

Kelahiran puteri ini sangat di nantikan oleh Ahlul Bait Alaihimussalam dan mempunyai kepentingan yang tersendiri kerana kelahiran beliau sa. telah diberitakan oleh Datuknya Imam Sodiq as. berulang kali sebelum kelahirannya, malah sebelum kelahiran Ayahandanya. Oleh sebab itu, para syiah sejak zaman itu lagi telah mengenal dan mengetahui makam tinggi yang dimiliki Beliau sa.

Salah satu riwayat daripada Imam Sodiq as. Bahawa satu hari telah datang sekumpulan syiah daripada Rei (sebuah negeri di Iran ) bertemu Imam Sodiq as. , Imam as. Berkata : Tahniah ke atas saudara-saudara kami dari ahli Qum .
Mereka berkata : Kami merupakan ahli Rei.
Tetapi Imam mengulang kata-kata yang sebelumnya.
Dan menyambung :

Ketahuilah sesungguhnya Allah swt. memiliki haram (tanah suci) iaitu Makkah, haramnya Rasulullah saww. merupakan Madinah, haram (tempat suci) Amirul Mukminin as. adalah Kufah dan ketahuilah Qum merupakan haramku (tempat suciku) dan anak-anak selepasku. Ketahuilah bahawa Qum adalah Kufah kecil kami.Ketahuilah bahawa syurga mempunyai 8 buah pintu yang mana 3 pintu daripadanya ke arah Qum. Seorang puteri dari keturunanku akan wafat di sana yang namanya Fatimah puteri Musa as.. Semua para syiah kami akan masuk syurga dengan syafaatnya.

Fatimah Masumah Salamullah Alaiha dilahirkan pada satu Zulqaedah, tahun 173 Hijrah, di Madinah Munawwarah. Puteri suci ini dari titik mula hidupnya telah dididik dalam keadaan dan dikalangan manusia yang mana ayah, ibu dan anak-anak yang dihiasi dengan kelebihan dan kecantikan akhlak yang terpuji. Ibadah, kezuhudan, taqwa, jujur, berdiri teguh dalam menentang kebathilan, pemurah, dan kesucian merupakan antara sifat agung keluarga ini. Lelaki-lelaki keluarga ini merupakan antara yang terpilih dan pemimpin hidayah, permata-permata bersinar imamah dan pemilik kapal penyelamat manusia.

Fatimah Masumah sa. dididik dalam keluarga yang merupakan sumber dan punca ilmu, taqwa dan pendidikan akhlak. Selepas kesyahidan Ayahandanya Imam Musa Al-Kazhim as., putera terbaiknya, iaitu Imam Ali Ar-Ridha as. pula bertanggungjawab mengambil alih tugas ayahandanya dalam mendidik, menjaga dan mentarbiyah saudara-saudara lelaki dan perempuan beliau as.. Natijah daripada dididikan beliau as., setiap daripada anak-anak Imam Musa as. telah mencapai makam yang tinggi dan menjadi buah mulut manusia. Dan tidak ada keraguan bahawa selepas daripada abangnya Imam Ridha as., Hadrati Masumah as. dari segi ilmu dan akhlak memiliki makam yang paling tinggi diantara anak-anak Imam Kazhim as..Hakikat ini jelas dibuktikan dengan riwayat-riwayat daripada para Imam as. berkenaan nama-nama, gelaran-gelaran dan pujian-pujian terhadap beliau sa..

Fatimah Masumah sa., puteri syurga, tenggelam didalam khusyuk ibadah, indah daripada segala kejelekan dan wangian sebuah penciptaan. Mungkin salah satu daripada dalil mengapa beliau sa. digelar dengan nama ((Masumah)) adalah bahawa kemaksuman Ibundanya Fatimah Az-Zahra’ telah terlihat didalam dirinya. Terdapat riwayat bahawa gelaran ini diberikan oleh Imam Ridha as., Allamah Majlisi ra. berkata : Imam Ridha as. telah berkata pada satu tempat : Barangsiapa yang menziarahi Masumah sa. di Qum, umpama dia telah menziarahiku.
Gelaran lain yang dimiliki oleh Fatimah Masumah sa. adalah ((Karimah Ahlul Bait)) , gelaran ini diberikan berdasarkan sebuah mimpi sodiq (yang dipercayai) oleh seorang ulama besar Syiah daripada Imam Maksum as. . Kisah ini diriwayatkan bahawa :

Marhum Ayatullah Sayyid Mahmud Mara’syi Najafi, datuk Ayatullah Sayyid Shahabuddin Mara’syi ra. sangat ingin mengetahui tempat kuburnya Fatimah Zahra sa.. Beliau ra. beribadah selama 40 hari. Malam ke-40, beliau beristirehat selepas menamatkan ibadahnya dan bertawassul. Didalam mimpi beliau telah bertemu dengan Imam Sodiq as..

Imam as. berkata kepadanya : “:pegang eratlah kepada Karimah Ahlul Bait”
Beliau ra. memikirkan bahawa maksud Imam as. adalah Hadrati Zahra sa., dan berkata : Aku adalah korbanmu, aku mengkhatam Quran bagi mengetahui tempat sebenar kubur mulia beliau sa. (Fatimah Zahra sa.) supaya aku dapat menziarahinya dengan lebih baik. Imam as. berkata : maksudku adalah kubur mulia Hadrati Masumah di Qum. Kemudian berkata as. : Disebabkan maslahat (kebaikan) , Allah swt. berkehendak kubur mulia Hadrati Zahra sa. kekal rahsia, oleh itu Allah swt. telah menetapkan kubur Hadrati Masumah sa. sebagai gantinya. Jikalau Allah swt. telah menzahirkan kuburnya Fatimah sa. dan menetapkan ketinggian, kelebihan dan kemulian baginya, Allah swt. telah memberikan ketinggian, kelebihan dan kemulian yang sama kepada kubur suci Hadrati Masumah sa.

Marhum Mara’syi ketika telah bangun daripada tidur, beliau ra. membuat keputusan untuk pergi ke Iran bagi menziarahi Hadrati Masumah sa.. Beliau ra. bersama keluarganya meninggalkan Najaf dan bermusafir dengan niat menziarahi kubur Karimah Ahlul Bait sa.

Makam paling tinggi syafaat, dimiliki oleh Rasulullah saww. yang mana didalam Al-Quran disebut dengan ((Makam Mahmud)). Begitu juga, dua orang puteri keturunan Baginda saww. yang memiliki syafaat yang luas yang mana mereka mampu mensyafaati seluruh ahli mahsyar. Dua puteri mulia ini adalah Siddiqah Athar, Fatimah Zahra sa. dan Syafiah hari pembalasan, Fatimah Masumah sa..Tidak ada wanita yang mampu menandingi keluasan syafaat yang dimiliki oleh beliau sa. (selepas Ibundanya Zahra sa.), dan dengan demikian Imam Jaafar Sodiq as. berkata : Dengan syafaatnya, semua syiah kami dapat masuk ke syurga.



Doa dan ziarah merupakan sayap-sayap yang membawa manusia terbang kepada Tuhannya. Doa dan ziarah umpama air yang menghilangkan dahaga manusia yang tergapai-gapai mencari makrifat iman, dan ziarah haram Masumah sa. memberikan sebuah harapan kepada ruh yang menjerit derita dengan segala kejahatan dan kekotoran dunia, memberi kesedaran kepada diri yang kadang alpa dan lupa, memberi khabar gembira syurga yang abadi selamanya. Ziarah makam Fatimah Masumah sa. memberi kekuatan dan kepercayaan pada diri, menyelamatkan daripada lemas daripada putus harapan, dan mengajak kepada usaha yang gigih. Ziarah Karimah Ahlul Bait sa. ini menyebabkan penziarahnya melihat diri perlu dan bergantung kepada Tuhan, merasa rendah berhadapan dengan Dia yang Esa, turun dan rebah daripada kenderaan bangga dan takabbur yang merupakan punca segala malapetaka dan kegelapan, dan meletakkan Fatimah Masumah sa. ini sebagai perantaraan berhadapan dengan Allah swt.. Oleh kerana itu, ziarah beliau sa. telah dijanjikan dengan pahala yang sangat besar dan ia adalah janji syurga, yang mana diriwayatkan daripada Imam Jawad as. : Barangsiapa yang menziarahi makcikku di Qum, maka syurga adalah miliknya.





Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Fatimah Masumah sa., antaranya :
Fatimah Masumah sa. telah meriwayatkan hadis ini daripada puteri Imam Sodiq as. dimana salasilah sanad (perawi) ini sampai kepada Fatimah Zahra sa.. Fatimah sa., puteri Rasulullah saww. berkata :

“Adakah kamu telah lupa sabda Rasulullah saww. pada hari Ghadir Khum yang bersabda : Barangsiapa Aku adalah maulanya, maka Ali merupakan maulanya, dan (adakah kamu telah lupa) sabda Baginda saww. yang lain yang bersabda : Kamu bagiku umpama Harun bagi Musa?.”

Fatimah Masumah sa. meriwayatkan daripada puteri Imam Sodiq as. yang mana salasilah sanad sampai kepada Fatimah Zahra sa. bahawa beliau sa. berkata : Rasulullah saww. bersabda : “Ketahuilah! Barangsiapa yang mati dengan kecintaan kepada Ahlul Bait as., adalah mati syahid.”

Ya Fatimah Masumah sa., Ishfai’ lana fil jannah

Ya Aba Soleh Eltimasi Doa
Sayyed Mohd Fadlie ben Yahya
Khidmat Imam Zaman (as)
Email: abalfazl@arridha.com

No comments: