Popular Posts

Saturday, May 19, 2012

Telah Lahir Wanita Pemimpin Syurga, Fatimah AzZahra'

Berbahagialah barangsiapa yang mengikuti Fatimah AzZahra' Salamullah 'Alaiha, Selamat Hari Wanita diucapkan sempena kelahiran Bonda Imam Zaman 'Alaihissalam, Fatimah AzZahra'. Tahniah diucapkan kepada semua wanita....Marilah kita bersama-sama merenung kebesaran dan kemuliaan Fatimah AzZahra'...Sollu 'Alan Nabi Wa Aalih...Salavat!



Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : “Allah Subhanahu Wa Taala telah memilih daripada para wanita dunia, empat orang wanita (Maryam, Asiyah, Khadijah dan Fatimah).”

       Dua puluh Jamadits Tsani, tahun ke lima selepas Bi’tsah (mengikut riwayat mahsyur) telah lahir seorang puteri suci yang telah menerangi rumah wahyu Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih dan Khadijah Salamullah ‘Alaiha dengan cahaya malakutnya. Daripada seorang ayah yang suci dan tiada bandingan serta seorang Ibu suci yang disegani, lahir seorang puteri yang telah menenggelamkan alam dengan lautan kesempurnaannya; dengan berkat umur singkat namun penuh bermakna telah mengagumkan dunia. Jika para malaikat mengetahui bahawa daripada keturunan Nabi Adam ‘Alaihissalam akan lahir seorang manusia dengan seluruh kelebihan akhlak dan cerminan keagungan ciptaan Ilahi, mereka tidak akan sesekali mempersoalkan akan penciptaan Adam ‘Alaihissalam!

Ataj‘alu Fiha Man(y) Yufsidu Fiha Wa Yasfikud Dima’

 “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah” [Al-Baqarah, 30]

     Kerana mereka membayangkan manusia sebagai makhluk yang jahat dan kejam, mereka tidak mengetahui akan ketinggian makam kemanusian seperti Fatimah Salamullah ‘Alaiha yang merupakan cermin kesempurnaan.

     Pada hari ini, perbincangan dan perbualan kita adalah mengenai Kautsarnya Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih, mengenai cahaya dan rahmat yang memenuhi alam malakut dan mengenai pohon thayyibah yang mana dengan akar dan asasnya yang dalam dan kukuh telah menghasilkan batang, ranting-ranting dan daun-daun yang sentiasa kehijauan yang kemudiannya membuahkan hasil yang bermanfaat.

     Hari kelahiran Zahra ‘Alaihassalam, hari bersinarnya uswah dan teladan serta cermin seluruh syakhsiah dan peribadi insan sempurna, hari kelahiran puteri dan wanita contoh Islam. Wanita yang telah disamakan dan dibandingkan dengan malam Lailatul Qadar oleh sebahagian riwayat.

     Pada hari ini, perbincangan mengenai kelahiran Ummul Fadhail dan pemimpin wanita dunia, cahaya mata, belahan jiwa dan permata hati Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih. Puteri yang sama yang mana Ayahandanya bersabda mengenainya bahawa : “Setiap kali aku rindukan bauan syurga, aku akan mencium Fatimah”. Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih juga bersabda : Ayahandamu korban untukmu.

     Daripada Imam Jaafar As-Sodiq Alaihissalam berkata : Perkahwinan Khadijah Alaihassalam dengan Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah menyebabkan kebencian wanita-wanita besar Makkah. Kerana mengikut adat dan pandangan jahiliyah, mereka tidak menyetujui perkahwinan antara seorang yang berkedudukan seperti Khadijah Alaihassalam dengan seorang yang miskin seperti Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih. Oleh itu, Khadijah Salamullah ‘Alaiha tinggal keseorangan. Ketika Beliau mengandungkan Fatimah ‘Alaihassalam, Fatimah ketika masih di dalam kandungan telah berbicara dengan Ibundanya, Fatimah juga sentiasa meminta Beliau untuk bersabar dan tabah. Khadijah ‘Alaihassalam telah merahsiakan perkara ini daripada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih, sehinggalah pada suatu hari Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih telah menemui Khadijah dalam keadaan Beliau sedang berbicara dengan seseorang. Baginda bertanya kepadanya dengan siapa kamu berbicara, Beliau menjawab dengan janin yang berada didalam rahimku! Ketika itu Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Aalih bersabda : Jibrail telah menyampaikan khabar kepadaku bahawa janin ini adalah perempuan, keturunanku adalah daripadanya dan Beliau merupakan Ibu kepada para Imam dan penggantiku.


Sedikit sedutan interview daripada Ustaz Haji Kamil Zuhairi dan ucapan terima kasih kepada JAIS :



Nyanyian lagu oleh saudara Haji Mustafa Baulu



Allahumma Solli 'Ala Fatimata Wa Abiha Wa Ba'liha Wa Baniha Wa Sirril Mustauda'a Fiha Bi 'Adima Ahato Bihi 'Ilmu

No comments: