Popular Posts

Friday, December 19, 2008

HARI INI DALAM SEJARAH : GEORGE W.BUSH DIBALING KASUT OLEH SEORANG PENGIKUT MAZHAB AHLUL BAIT DI IRAQ


*Gambar : Wira ummat Islam dan pengikut mazhab Ahlul Bait, Muntazhar az-Zaidi.

*Gambar : DIAIBKAN... Muntazhar az-Zaidi bangun secara tiba-tiba dari tempat duduk bahagian pemberita dengan memegang kasut di tangan kanannya ketika Bush dan Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki mengadakan sidang akhbar bersama di Baghdad, manakala gambar di bawah (dari kiri ke kanan) dia melontar kasut ke arah Bush sambil melaungkan "ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing! Ini salam perpisahan daripada balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq." Bush mengelak kasut yang dilontar dan berselindung di sebalik rostrum ketika Muntazhar mencapai satu lagi kasutnya sebelum melontar ke arah Bush sambil diperhatikan oleh Nuri al-Maliki yang tergamam.

BAGHDAD - Seorang wartawan televisyen ‘al-Baghdadia’, sebuah stesen milik Iraq yang berpangkalan di Kaherah, Muntazhar az-Zaidi ditahan selepas dia melemparkan dua kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush dalam satu sidang akhbar di Baghdad yang dianjurkan sempena lawatan perpisahan beliau ke Iraq.
Insiden itu menonjolkan kebencian mendalam yang terus dirasai di negara tersebut terhadap Bush yang mengakui perang di Iraq masih belum dimenangi.
Wartawan berkenaan bangun sewaktu Bush sedang mengadakan sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki seraya menjerit dalam bahasa Arab, “ini kucupan perpisahan untuk kamu, anjing!” lalu melempar kasut pertamanya.


Bush yang mendengar jeritan itu mengelak sambil menundukkan kepala di podium dan kasut pertama hanya mengenai bendera Amerika Syarikat dan Iraq di belakang kedua-dua pemimpin itu.

*Gambar : Bush mula bersedia untuk tunduk ketika kasut dilemparkan ke arahnya.

*Gambar : Bush tunduk di sisi Nouri (kanan) bagi mengelak kasut dilemparkan ke arahnya.

Ketika Bush yang terkejut dengan insiden tersebut mula kembali tenang, wartawan itu melemparkan satu lagi kasut bersaiz '10' sambil menjerit: “Ini pula salam perpisahan daripada balu-balu, anak yatim dan mereka yang terbunuh di Iraq.

Bush sekali lagi mengelak menyebabkan kasut itu hampir mengenai bahagian kanan kepalanya sambil Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki cuba melindungi Presiden Amerika Syarikat tersebut dengan tangan kanannya.

Kasut itu hanya sekadar mengenai dinding di belakang kedua-dua pemimpin. Anggota-anggota perkhidmatan rahsia dan ejen keselamatan Iraq mengerumuni wartawan itu dan segera menjatuhkannya. Mereka bergelut dengannya lalu mengheretnya keluar dari bilik sidang akhbar sambil Muntazhar dilihat mengerang serta menjerit. Tompokan darah wartawan itu terdapat di karpet di bilik sidang akhbar.

*Gambar: Anggota-anggota keselamatan mengerumuni Muntazhar selepas dia melemparkan kasutnya ke arah Bush.

Melemparkan kasut ke arah seseorang merupakan satu budaya Arab bagi menunjukkan penghinaan. Ketika patung bekas Presiden Iraq, al-Mal'un Saddam Hussein ditumbangkan di Baghdad pada April 2003, sekumpulan orang ramai memukul wajah patung itu dengan kasut mereka.
Tindakan wartawan itu mendapat pujian melangit daripada sebuah akhbar di Timur Tengah manakala ribuan penduduk Iraq berhimpun di jalan raya bagi menuntut pembebasannya.
"Melempar kasut ke arah Bush merupakan ciuman perpisahan yang terbaik. Ia menyuarakan bagaimana penduduk Arab membenci Bush," kata editor akhbar 'al-Gahd Arabic' di Jordan, Musa Barhoumeh.
Tindakan wartawan itu juga dianggap sebagai 'hero' oleh akhbar-akhbar di negara Arab.
Wartawan itu ditahan untuk disoal oleh pihak berkuasa Iraq bagi mengetahui sama ada terdapat mana-mana pihak yang mengupahnya untuk melemparkan kasut. Menurut seorang pegawai Iraq, beliau turut menjalani ujian dadah dan alkohol manakala kasut yang dilemparkan itu disimpan sebagai bahan bukti. Wartawan tersebut turut mengaku bahawa dia sudah merancang untuk melemparkan kasut itu sejak beberapa bulan lalu.
Sejurus selepas insiden itu, Bush memberikan reaksi : "Jangan bimbang mengenai insiden itu."
Sebahagian wartawan dalam bilik itu riuh rendah di mana Bush diberi penerangan bahawa mereka meminta maaf berhubung isu lempar kasut itu. "Jika anda mahukan fakta, kasut itu bersaiz '10'," gurau Bush.
Insiden lempar kasut itu turut menjadi perbualan paling hangat di kalangan para wartawan di Kabul di mana Bush turut mengadakan lawatan ke Afghanistan selepas Iraq.

No comments: