Popular Posts

Thursday, December 18, 2008

Perjanjian Wilayat



Hauzah Ar Ridha (as) Kuala Lumpur Malaysia 15 Disember 2008

Selamat Hari Raya Ghadir Khum Mubarak

Perjanjian Wilayat

Salam dan selawat buat Baginda Rasul saww. serta Ahlul Baytnya yang suci serta tahniah kita ucapkan buat mereka Maasumin as. atas Hari Perlantikan Imamah dan Wilayahnya Imam bagi segala Imam, Amirul Mukminin Ali Ibni Abi Tolib as. Tahniah juga buat kaum Muslimin pada hari ini kerana telah sempurna agama dan hujjat buat kita semua.Tahun kesepuluh Hijrah dimana kaum muslimin bersama Rasulullah saww. telah sampai kepada penamat ibadah haji dan pada tahun tersebut dinamakan sebagai “Hujjatul Wida’”, dan Rasulullah saww. berangkat pulang menuju ke Madinah.

Ketika rombongan sampai di tempat bernama “Rabig’ 3 kilometer dari Juhfah, tempat miqat para haji, Jibrail Al Amin telah turun membawa wahyu di tempat bernama “Ghadir Khum”. Telah turun ayat :


Surah Maidah. yang bermaksud: “ Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu,bererti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah memellihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir (QS 5: 67)”

Kemudian Rasul saww. memerintahkan semua kaum muslimin untuk berhenti disitu sementara kaum muslimin yang jauh dihadapan untuk berpatah balik, dan yang ketinggalan dibelakang dinanti agar dapat dikumpulkan semuanya. Ketika itu waktu zohor dan cuaca sangat panas. Rasulullah saww. mengimami solat zohor berjemaah, kemudian Rasul saww. mengarahkan untuk mendirikan mimbar menggunakan pelana unta supaya suara Baginda saww. dapat didengari oleh semua ummat manusia di situ.

Rasul saww. dengan suara yang kuat berkhutbah dan diantara sabda Baginda adalah seperti berikut:

“Kematianku sudah semakin hampir, undangan Allah aku terima, dan aku akan pergi meninggalkan kamu semua, aku mempunyai tanggungjawab (untuk menyampaikan) dan kamu juga mempunyai tangunggjawab (menerima dan mengamalkannya)”

Kemudian Rasul saww. bersabda :

“Aku tinggalkan kamu dua amanat yang berharga, pertama kitab ALLAH dan yang kedua itrah dan ahlul baytku, dua perkara ini tidak akan sesekali berpisah. Wahai manusia jangan tinggalkan Quran dan itrahku dan jangan meminggirkan mereka dalam amalan kamu supaya kamu tidak binasa”

Ketika ini, Rasul saww. mengambil dan mengangkat tangan Ali (as) dan mengenalkan kepada kaum muslimin dan bersabda :

“Siapakah disisi kaum mukminin lebih berharga dari diri mereka sendiri? Semua menyambut : Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”

Rasul saww. bersabda :

“Allah adalah maulaku, dan aku adalah maula kaum mukminin dan aku lebih aula dari diri mereka sendiri”

Kemudian Baginda bersabda :

“Wahai manusia barangsiapa mengakui aku adalah maulanya, maka Ali adalah maulanya, Tuhan menyukai orang yang menyukainya dan bermusuhan dengan orang yang bermusuhan dengannya”

Kemudian malaikat turun membawa wahyu, maka turun ayat :


ayat 3, Surah Maidah, yang bermaksud : “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku ridhai Islam itu agama bagimu.” (QS Al-Maidah: 3)

Ghadir dari kalam Maasumin as.

1)


AAmirul Mukminin Alahis Salam dan Ghadir

Berkata seorang lelaki kepada Amirul Mukminin Ali as. : Beritahukan aku kelebihan anda yang paling tinggi di sisi Rasul Sallallahu Alaihi Wa Aalihi Wasallam? Imam as. bersabda : Rasul saaw telah memilih Aku di Hari Ghadir dan menyatakan kewajipan wilayatku dari sisi Tuhan dengan perintahNya.

2) Hadrat Zahra Salamullah Alaiha dan Ghadir

Bekenaan peristiwa Ghadir Hadrat Zahra sa. telah bersabda :

Rasulullah saww. telah mengukuhkan perjanjian wilayat untuk Ali as. pada Hari Ghadir, sehingga dengan wasilah ini dapat menghancurkan segala harapan dan angan-angan para musuh.

3) Imam Reza as. dan Raya Ghadir

Imam Reza as. telah bersabda mengenai Raya Ghadir : Hari ini adalah hari raya bagi Keluarga Muhammad saww. Allah swt. akan melipat gandakan harta bagi setiap orang yang merayakan hari tersebut.

4) Imam Reza as. dan Hadiah-hadiah di Hari Ghadir

Telah diriwayatkan bahawa Imam Reza as. pada Hari Raya Ghadir telah menjemput beberapa orang dari sahabat-sahabat Beliau untuk makan malam dan menghantar hadiah-hadiah ke Rumah mereka serta berkhutbah tentang kelebihan-kelebihan hari ini.

5) Hadrat Ma’sumah Alaihas Salam dan Hadis Ghadir

Hadrat Fatimah Ma’sumah as. telah menukilkan hadis Ghadir dengan sanad dibawah, telah berkata : Hadrat Fatimah puteri Imam Musa B. Jaafar as., dari Fatimah puteri Imam Sodiq as., dari Fatimah puteri Imam Baqir as., dari Fatimah puteri Imam Zainal Abidin as., dari Fatimah dan Sukainah puteri-puterinya Imam Husain as., dari Ummu Kalsum puteri Fatimah Zahra Alaihas Salam menukilkan bahawa Ibunya Hadrat Zahra sa. puteri Rasulullah saww. telah bersabda kepada kaum muslimin : Adakah kamu telah lupa akan kata-kata Rasulullah saww. pada hari Ghadir Khum yang telah bersabda : Barangsiapa mengakui yang Aku adalah Maulanya, maka Ali adalah Maulanya.

Keperluan Mengenal Ghadir

Ghadir adalah natijah penciptaan dan yang terpilih dari seluruh agama Ilahi serta kesimpulan agama wahyu. Ghadir bukan hanya sebuah cerita sejarah; bahkan merupakan asas agama. Ghadir adalah buahnya Nubuwah dan penentu jalan perjalanan ummat Islam sehingga hari kiamat. Ghadir adalah himpunan peristiwa-peristiwa yang membina dan membentuk ada dan tiada (kewujudan) dan khutbah Ghadir merupakan undang-undang asas Islam dimana isi penting darinya adalah berdasarkan ayat berikut: ayat sempurnakan agama

Ghadir adalah Manifestasi Wilayah

Ghadir tidak hilang dan tidak lapuk dengan peredaran zaman, malah Ghadir sentiasa kekal dan hidup. Ghadir adalah manifestasi wilayah dan rukun hidup maknawi insan. Ghadir adalah hari sempurnanya agama dan penamat nikmatnya hak. Ghadir adalah tempat mengambil ujian dan Ali as. merupakan salah satu dari ujian bagi orang yang mengaku beriman, supaya dalam perjalanan ketaatan keatas pemimpinannya dan penerimaan wilayahnya, menunjukkan kebenarannya dalam amalan mereka. Rasul Islam saww. pada Hari Ghadir Khum menghendaki perjalanan pemimpin ummat, permulaannya pada tangan orang yang paling suci dan paling berwibawa dan berkemampuan dan air suci hak tidak dikotori pada pembaringan sejarah dan zaman serta pada penerusan keturunan dan pemikiran. Dengan asas ini maka Ghadir tidak akan pernah dilupakan ; bahkan namanya sentiasa dibawa dan akan sentiasa diingati.





Ghadir dari Kalam Imam Khomeini Rahimahullah

Bagi pandangan Imam Ruhullah Khomeini ra., Ghadir adalah hari raya yang paling besar dan penerus Nubuwwah. Berkenaan perkara ini beliau telah berkata : Hari yang penuh barakah ini (Raya Ghadir), adalah salah satu dari hari raya besar Islam dan dari riwayat-riwayat yang sampai pada kita, Ghadir adalah raya yang paling besar, ini dikeranakan ia adalah penerus Nubuwwah, penerus maknawiyat Rasulullah, penerus pemerintahan Ilahi, maka disebabkan semua perkara ini, ia merupakan hari raya yang paling besar.

Raya Ghadir dari Kalam Rahbar Muazzam Ayatullah Sayyid Ali Khamanei

Makam Muazzam Rahbar, Hadrat Ayatullah Khamanei mengenai Hari Raya Ghadir telah berkata : Hari Raya Ghadir yang dinamakan Raya Wilayah, adalah satu hari yang menjelaskan dan menentukan makna wilayah Islam dengan wasilah Rasul Mulia saww.. Bagi mereka yang ingin menyatakan satu contoh dari Islam, contoh yang terbaik adalah orang yang Rasul saww. pilih dan tentukan wilayahnya dari ilham Ilahi dan perintah Allah swt. Wilayah merupakan satu tajuk dari pemerintahan Islam dan penentu daripada pentadbiran masyarakat dan politik buat Islam, satu makna yang tepat dan terperinci dimana ia merupakan makna asli wilayah.

Ghadir dari Pandangan Ahlul Sunnah

1) Thabari dalam Kitabnya Al-Wilayah

Sebahagian dari riwayat Ghadir didalam kitab-kitab Ahlul Sunnah, dengan terang menjelaskan bahawa ayat Akmaluddin (sempurnya agama) di Juhfah dan pada Hari Ghadir diturunkan selepas sabda Rasulullah saww. atas perintah Allah swt. mengenai Ali as. kepada muslimin. Antara ayat-ayat berkenaan Amirul Mikminin Ali as. yang turun pada Hari Ghadir adalah ayat : “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku ridhai Islam itu agama bagimu.” (QS Al-Maidah: 3) dan ia adalah sebab turun ayat ini yang juga disokong oleh sebahagian ulama-ulama Ahlul Sunnah. Dari kata-kata Hafiz Abu Jaafar Muhammad B. Jarir Thabari, dalam Kitab Al-Wilayah dengan sanadnya dari Zaid B. Arqam meriwayatkan : Turun ayat ini, pada Hari Ghadir Khum berkenaan Amirul Mukminin Ali as. Thabari dalam kitab ini menjelaskan : Rasulullah saww. membawa Ali bersamanya ke atas mimbar, dan mengangkat tangan Ali as. keatas, sehingga kelihatan putihnya kedua-dua ketiak mereka, dan Rasul saww. menjelaskan mengenai Ali as. tentang apa yang diperintahkan oleh Allah swt.

2) Hafiz Abul Qasim

Hafiz Abul Qasim, Hakim Hakani, melalui perantaraan Abu Said Khudri meriwayatkan : Ketika turun ayat “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku ridhai Islam itu agama bagimu.” (QS Al-Maidah: 3), Rasul Islam saww. bersabda : Tuhan meredhai risalahku dan wilayah Ali B. Abi Talib selepasku.

Telah berkata Imam Ali Ibn Musa Ar-Reza as:

“ Barangsiapa yang berada di Najaful Ashraf pada hari ini bagi menunaikan ziarah Imam Ali bin Abi Talib as akan mendapat ganjaran yang tinggi (besar). Bersedekahlah pada hari ini sebanyak mungkin yang kamu mampu dengan nama Allah swt kepada mereka yang kurang berkemampuan, kerana “Hari Al-Ghadir” adalah dikhususkan untuk membantu mereka yang berhak.”

Rasulullah saww bersabda:

Siapa yang ingin hidup seperti hidupku dan wafat seperti wafatku serta masuk ke surga yang telah dijanjikan kepadaku oleh Tuhanku yaitu Jannatul Khuld, maka hendaklah ia berwilayah (berpemimpin) kepada Ali dan keturunan sesudahnya, karena sesungguhnya mereka tidak akan mengeluarkan kamu dari pintu petunjuk dan tidak akan memasukkan kamu ke pintu kesesatan (Shahih Bukhari, jilid 5, hal. 65, cet. Darul Fikr)

Khidmat Imam Zaman

Ya Aba Soleh Eltimasi Doa..Wassalam

Allhamdulillah allazi ja'alana minal mutamassikina bi Wilayati Amirul Mukminin Al Haidar Ali Ibni Abi Thalib as.

Best wishing of Eidul Meesaq 1429H.




No comments: