Popular Posts

Sunday, March 6, 2011

Penderitaan Adalah Kafarah Kepada Dosa

Imam Ja’far al-Sadiq ‘Alaihissalam berkata Nabi Musa bin Imran ‘Alaihissalam mempunyai seorang saudara dalam iman, yang amat dicintainya dan dihormatinya. Pada suatu ketika seorang lelaki datang menemui saudaranya itu dan meminta kepadanya pergi menemui seorang raja yang zalim dari kalangan Bani Israil. Saudara Nabi Musa ‘Alaihissalam itu berkata dia tidak hubungan dengan raja tersebut dan tidak pernah meminta lelaki itu sebarang pertolongan. Lelaki itu berkeras juga dan berkata Allah akan memberikan ganjaran yang besar kepadanya jika saudara Nabi Musa itu memenuhi hajatnya pergi menemui raja tersebut. Saudara Nabi Musa itu akhirnya pergi juga kerana berasa kasihan kepada lelaki itu. Ketika raja itu melihat saudara Nabi Musa ‘Alaihissalam yang alim itu, raja itu amat menghormatinya dan memberikannya apa juga yang dikehendakinya. Kemudian selang beberapa hari, raja tersebut ditimpa sakit dan meninggal dunia. Ketika itu ramai orang hadir untuk membawa mayatnya dan semua pasar di negara itu ditutup kerana berkabung dan meratapi kematian raja tersebut. Kemudian dengan takdir Allah, saudara Musa ‘Alaihissalam yang alim itu meninggal dunia pada hari yang sama. Tetapi disebabkan dia tinggal sendirian dan menutup pintu rumahnya dari dalam, maka tidak ada sesiapa pun yang tahu tentang kematiannya. Hal ini berlaku sehingga tiga hari. Begitu juga Nabi Musa ‘Alaihissalam tidak mengunjunginya selama tiga hari. Pada hari keempat Nabi Musa berfikir tentang saudaranya itu dan pergi ke rumahnya. Apabila Nabi Musa membuka pintu dan masuk ke dalam rumah, beliau mendapati saudaranya itu telah meninggal dunia. Ulat-ulat sedang menyelusuri tubuhnya dan membaham wajahnya. Melihat keadaan ini Nabi Musa amat terharu dan berdoa kepada Allah,”Tuhanku, musuh Engkau mati dan sekumpulan ramai orang berkumpul meratapinya. Dan pada masa yang sama’sahabat’Mu meninggal dunia dan ulat-ulat memakan tubuh dan wajahnya.” Allah SWT menjawab kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam ,”Wahai Musa, ‘sahabat’Ku pergi menemui orang zalim itu dan meminta pertolongan daripadanya. Raja zalim itu menghormatinya dan memberikan apa juga permintaannya. Justeru, sebagai ganjaran di dunia, Aku kumpulkan di dunia ini rakyatnya meratapinya supaya dia tidak lagi meminta kepadaKu di akhirat kelak. Dan aku izinkan ulat di atas tubuh orang mu’min itu kerana dia telah pergi menemui raja zalim itu dan meminta sesuatu, daripada berdoa kepadaKu. Dengan cara ini Aku mahu supaya tidak ada lagi dosa yang tinggal ke atasnya yang akan menerima balasan di akhirat kelak.”

Imam Muhammad al-Baqir ‘Alaihissalam berkata jika Allah SWT mahu memberikan kemuliaan kepada seseorang, dan orang itu ada dosa-dosa dalam hisabnya, Dia (Allah SWT) mengizinkannya menderita dengan beberapa penyakit; jika tidak demikian, Dia meletakkannya dalam keadaan kemiskinan; dan jika tidak demikian Dia meningkatkan penderitaannya pada saat kematiannya. Dan apabila Allah mahu menghina seseorang dan orang itu mempunyai beberapa amal baiknya dalam hisabnya, Dia akan memberikannya kesihatan yang baik; jika tidak demikian Dia memberikannya dengan kekayaan; jika tidak demikian, Dia mengurangkan penderitaannya pada saat kematiannya.

Imam yang sama meriwayatkan Allah SWT mengisytiharkan dengan bersumpah bahawa apabila seseorang menghajatkan rahmatNya, Dia akan menghukumnya di atas segala amal buruknya di dunia ini, kadang-kadang dengan mengurangkan sumber rezekinya, kadang-kadang dengan penyakit pada tubuhnya dan kadang-kadang dengan meresahkan fikirannya. Dan jika masih berbaki lagi amal buruknya itu, penderitaan di saat kematiannya akan ditingkatkan. Begitu juga Allah SWT mengisytiharkan jika seseorang patut mendapat kemurkaanNya, dia akan dibalas segala kebaikannya di dunia ini dan kadang-kadang dengan meningkatkan sumber rezekinya, kadang-kadang dengan kesihatan tubuh badannya yang baik dan kadang-kadang dengan memberikan keselesaan dalam fikirannya. Dan jika masih berbaki, maka penderitaan di saat kematiannya dikurangkan.

Imam yang sama ‘Alaihissalam berkata bahawa seorang Nabi dari kalangan Nabi-nabi Bani Israil berjalan melewati seorang mu’min yang baru sahaja meninggal dunia di sebabkan terhempap tembok yang jatuh. Sebahagian daripada anggota tubuhnya berada di bawah tembok dan sebahagian lagi tubuhnya di luar tembok. Bahagian tubuhnya yang di luar tembok di makan anjing dan burung-burung pemakan bangkai. Selepas menyaksikan kejadian ini, Nabi berkenaan memasuki sebuah kota di mana ada orang besar baru sahaja meninggal dunia. Tubuhnya di bungkus dengan kain sutera dan wangi-wangian di bakar di sekelilingnya. Menyaksikan dua keadaan yang bertentangan itu, Nabi berkenaan rasa amat hairan. Dia berkata,”Wahai Tuhanku, tidak diragui, Engkau Maha Berkuasa. Engkau tidak pernah melakukan kezaliman kepada makhluk-makhlukMu. Tetapi aku kini bingung untuk memahami mengapa lelaki yang beriman itu menemui kematiannya dalam keadaan yang menyedihkan padahal lelaki yang tidak pernah beriman kepadaMu itu menemui saat kematiannya secara aman dan di hormati.” Allah SWT mewahyukan kepada Nabi tersebut,”Tidak diragui Aku Maha Berkuasa. Rahsia kejadian yang bertentangan itu disebabkan orang yang beriman itu mempunyai dosa, maka Aku tidak mahu menghukumnya di akhirat kelak, maka dia menemui kematiannya seperti itu yang akan menghapuskan dosa-dosanya daripada dirinya. Dan orang kafir itu mempunyai beberapa amal kebaikan ketika hidupnya, maka Aku mengizinkan kesenangan di dunia ini diberikan kepadanya sebagai balasan terhadap amal kebaikannya itu. Dan pada hari akhirat kelak dia tidak mempunyai apa-apa lagi amal kebaikan.”

Ibn Abi Umair meriwayatkan daripada senarai periwayat-periwayat, bahawa Nabi Musa ‘Alaihissalam sedang berjalan di tepi tebing sungai. Pada ketika itu seorang nelayan datang ke tempat itu dan terus bersujud kepada matahari dan berdoa kepadanya. Selepas menyembah matahari itu, dia terus mencampakkan jaringnya ke sungai dan dalam tempoh masa yang singkat, dia dapat menarik jaringnya itu ke darat dengan ikan yang banyak. Kemudian dia mencampakkan jaringnya sekali lagi dan kali ini juga jaringnya dipenuhi ikan. Dia terus mengulangi perbuatannya untuk kali ketiga dengan hasil yang sama dan dengan hati yang puas dia pergi dari situ dengan hasil tangkapannya itu. Selepas beberapa ketika seorang yang lain datang ke tebing sungai itu. Dia mengambil wudhuk dan berdiri mengerjakan solat kepada Allah. Selepas mengungkapkan doa dan tunduk kepada Allah, doa terus mencampakkan jaringnya ke dalam sungai tetapi apabila diangkatnya jaringnya itu tiada ada seekor ikanpun yang terlekat. Dia mencampakkan lagi jaringnya ke dalam sungai itu dan hasilnya masih lagi kosong. Dia mencampakkan jaringnya ke dalam sungai buat kali ketiga tetapi hasilnya tetap juga kosong. Kemudian pada kali keempat, dia berjaya mendapat seekor ikan yang kecil. Pada saat ini, dia bersyukur kepada Allah, memuji-mujiNya dan berlalu dari situ dengan ikan kecil tersebut.

Melihat perkara ini, Nabi Musa ‘Alaihissalam amat takjub dan menyeru kepada Allah,”Tuhanku, orang pertama datang dan secara terang-terang mengingkari perintahMu dengan menyembah matahari. Tetapi setiap kali dia mencampakkan jaringnya ke dalam sungai dia berjaya mendapat ikan yang banyak sehingga dia berpuasa hati dan berlalu dari tebing sungai ini. Kemudian orang kedua datang ke tebing sungai ini, beliau merupakan orang yang beriman, mengambil wudhuk dan berdiri berdoa kepadaMu. Dia memuji-muji kemurahan rahmatMu dan berdoa kepadaMu dengan bersungguh-sungguh tetapi untuk kali ketiga berturut, dia tidak mendapat walau seekor ikan pun. Pada kali keempat, dia hanya memperolehi seekor ikan yang kecil. Walaupun demikian dia tetap bersyukur kepadaMu dan memuji kemurahan rahmatMu. Tuhanku, aku tidak mengetahui mengapa Engkau mengizinkan perbezaan ini.”

Allah SWT memerintahkan Nabi Musa ‘Alaihissalam melihat kejadian itu dari sudut pandangan kanan. Di situ Nabi Musa ‘Alaihissalam dapat melihat Allah SWT memberikan ganjaran kepada orang beriman itu di akhirat kelak. Kemudian Nabi Musa ‘Alaihissalam diperintahkan melihat pada sisi kiri pula. Maka di situ dia akan dapat melihat apakah balasan yang disediakan untuknya pada hari akhirat kepada orang kafir itu. Kemudian Allah berfirman kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam ,’Wahai Musa, dengan hasil yang terakhir dan muktamad itu apakah yang akan diperolehi oleh orang kafir dan apakah kerugian yang akan menimpa orang-orang yang beriman?”

Pada peringkat ini, Nabi Musa ‘Alaihissalam terus bersujud dan berkata,”Tuhanku, adalah menjadi kewajipan kepada orang-orang yang beriman kepadaMu redha kepada apa yang Engkau berikan kepada mereka.”

1 comment:

Mardawiyyah said...

terima kasih atas posting yg sgt menarik .menitik air mata ana membacanya for at least ia menguatkan jiwa utk meneruskan perjuangan hidup yg adakalanya amat memeritkan.moga akhi sentiasa dalam lembayung maghfirah Ilahi serta kasih,perlindungan dan reda para ma'sumin a.s