Popular Posts

Saturday, February 26, 2011

MENGAPA MERUJUK AHLUL BAIT




OLEH AYATULLAH HAZARA

Sempena kelahiran Rasulullah saw saya merayu tuan-tuan dengan sepenuh hati supaya memerhatikan ahlul bait (kaum keluarga Rasulullah saw). Inilah hadiah kita untuk Rasulullah saw sempena kelahiran baginda. Kerana Rasulullah saw tidak pernah meminta upah dalam menyebarkan agama suci ini.

Dalil untuk merujuk warisan ahlul bait ini adalah berdasarkan hadis yang dikutip oleh at-Tirmidzi dalam Sahih Sunan at-Tirmidzi; ‘Nashr bin Abdurrahman al-Kufi menceritakan kepada kami, Zaid bin al Hasan – iaitu al Anmathi – menceritakan kepada kami, daripada Ja’far bin Muhammad, daripada ayah Ja’far iaitu Muhammad, daripada Jabir bin Abdullah, ia berkata: Aku pernah melihat Rasulullah saw melaksanakan ibadah haji pada hari Arafah, saat itu beliau sedang berkhutbah di atas untanya; al Qashwa. Aku mendengar beliau bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya aku telah meninggalkan (sesuatu) untuk kalian, sepanjang kalian berpegang teguh kepada sesuatu itu nescaya kalian tidak akan pernah tersesat, iaitu kitab Allah dan itrati keluargaku.’ Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, hadis nombor 3786, bab sifat-sifat utama keluarga Nabi saw.

Dalam memahami siapakah yang dimaksudkan dengan ahlul bait, kajian merujuk kepada hadis dari kitab yang sama, ‘Qutaibah menceritakan kepada kami, Muhammad bin Sulaiman al Ashbahani menceritakan kepada kami daripada Yahya bin Ubaid, daripada ‘Atha’ bin Abu Rabah, daripada Umar bin AbuSalamah – anak tiri nabi -, ia berkata: Ayat ini diturunkan kepada nabi, ‘Sesungguhnya Allah bermaksud untuk menghilangkan dosa darimu, hai ahlul bait, dan membersihkanmu sebersih-bersihnya,’ (al-Ahzab: 33) tentang keluarga beliau. Beliau kemudian memanggil Fatimah, Hasan dan Hussain, dan menutupi mereka dengan pakaian. Sementara itu, Ali berada di belakang beliau, dan beliau pun menutupinya dengan pakaian. Beliau kemudian berdoa, ‘Ya Allah, sesungguhnya mereka adalah keluargaku. Maka hilangkanlah dosa daripada mereka, dan sucikanlah mereka sesuci-sucinya.’ Ummu Salamah berkata, ‘(Apakah) Aku bersama mereka ya Nabi Allah.’ Rasulullah menjawab, ‘Engkau tetap pada tempatmu, dan engkau tetap dalam kebaikan.’ Lihat Sahih Sunan at-Tirmidzi, hadis nombor 3787, bab sifat-sifat utama keluarga Nabi saw.

Pemilihan ahlul bait sebagai sumber rujukan ini dapat dikira tepat berdasarkan dua hadis di atas memandangkan terdapat hadis Rasulullah saw yang menuntut sahabat baginda dan umat Islam berwaspada kepada ‘kesesatan’ yang terjadi dalam kalangan sahabat selepas kewafatan beliau.

Hadis yang dimaksudkan ialah, ‘Daripada Ibnu ‘Abbas r.a katanya: ‘Pada suatu ketika Rasulullah saw berkhutbah memberi pengajaran kepada kami. Sabda beliau, ‘Hai sekalian manusia! Kamu semuanya akan dikumpulkan ke hadapan Allah tanpa alas kaki, tanpa pakaian, dan tanpa dikhitan. (Bacalah firman Allah): ‘Seperti Kami ciptakan pada awal ciptaan, begitulah Kami kembalikan dia, itulah janji Kami yang pasti Kami tepati.’ (al Anbiya: 104). Ketahuilah! Makhluk yang mula-mula diberi pakaian pada hari kiamat adalah Ibrahim alaihissalam. Dan ketahuilah, bahawa beberapa umatku akan dihadapkan, lalu mereka ditarik ke kiri. Kataku, ‘Wahai Tuhanku! Mereka itu adalah sahabat-sahabatku!’ Lalu dijawab oleh Allah, ‘Engkau tidak tahu apa-apa yang mereka perbuat sepeninggalanmu.’ Maka kujawab seperti jawapan hamba Allah yang saleh (Nabi Isa a.s), ‘Aku menjadi saksi bagi mereka selama aku berada di antara mereka. Maka setelah aku wafat, Engkaulah yang mengawasi mereka. Dan Engkau Maha Menyaksikan segala-galanya. Jika Engkau siksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu, dan jika Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.’ (al Maidah: 117-118). Lalu dikatakan kepadaku, ‘Mereka telah murtad semenjak engkau tinggalkan.’ Lihat Sahih Muslim, hadis nombor 2440, bab orang-orang murtad.

Hadis lain yang dapat dirujuk ialah, ‘Daripada Uqbah bin Amir r.a katanya: Nabi saw pernah bersabda mengenai para korban perang Uhud. Beliau naik ke mimbar seolah-olah memberi amanat kepada yang masih hidup dan yang telah syahid. Sabda beliau, ‘Aku mendahului kalian ke telaga. Lebar telaga itu sejauh antara Ailah ke Juhfah. Aku tidak menyangsikan bahawa kamu akan kembali musyrik sepeninggalku. Tetapi yang aku takutkan ialah kamu terpengaruh oleh dunia. Kemudian kamu berbunuh-bunuhan, dan akhirnya kalian musnah seperti kemusnahan umat yang sebelum kalian.’ kata Uqbah, ‘Itulah yang terakhir kali aku melihat Rasulullah saw berkhutbah di mimbar.’ Lihat Sahih Muslim, hadis nombor 2133, bab telaga Rasulullah. Hadis ini turut diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dengan versi lain. Lihat Sahih Bukhari hadis nombor 1771, bab syurga dan neraka dan hadis nombor 1856, bab mimpi.

Oleh kerana itu saya berpandangan adalah lebih baik merujuk tradisi ahlul bait untuk mendapatkan sumber hukum selepas al-Quran, dan hadis Rasulullah saw. Saya akan mendatangkan tiga bukti dari sahih Bukhari dan Muslim bahawa belum tentu selamat untuk merujuk selain ahlul bait. Sekiranya kita hanya merujuk sahabat Nabi Muhammad, ternyata sahabat-sahabat telah banyak berubah selepas kewafatan Rasulullah saw, ada yang terlupa atau tidak tahu ‘urusan’ yang paling mudah, dan ada yang memang merubah hukum tanpa rasa bersalah. Malah ketika hidup Rasulullah saw sendiri, terdapat sahabat yang tidak menghormati Rasulullah saw. Buktinya terdapat dalam Sahih Muslim sendiri.

1. Sahabat biadab, dan kurang ajar meninggalkan Nabi Muhammad ketika baginda sedang memberi khutbah Jumaat di atas mimbar sehingga yang tinggal hanyalah dua belas orang:

Daripada Jabir bin Abdullah r.a, katanya: ‘Pada suatu ketika Nabi saw sedang berdiri mengucapkan khutbah. Sekonyong-konyong tiba satu kafilah dari Syam; maka jamaah berlarian menyambut kedatangan kafilah itu sehingga yang tinggal di masjid hanya dua belas orang saja lagi. Kerana itu maka turunlah ayat: ‘wa idz ra-au tijaratan au lahwanin fadhdhu ilaiha wa tarakuka qaima’ (ayat 11 surah al Jumuah iaitu: Dan apabila mereka melihat perniagaan atau permainan, mereka bubar untuk menuju kepadanya, dan mereka tinggalkan kamu berdiri sedang berkhutbah.) Lihat Sahih Muslim hadis nombor 817, bab turunnya ayat sebelas surah al Jumu’ah.

2. Sahabat merubah hukum:

Daripada Abu Sa’id al Khudri r.a katanya: ‘Pada masa Rasulullah masih hidup, kami membayar zakat fitrah untuk setiap orang, baik anak kecil mahupun dewasa, merdeka mahupun hamba, iaitu satu gantang makanan berupa keju, atau gandum, atau kurma, atau anggur kering. Pada masa pemerintahan Mua’wiyah bin Abu Sufyan, dia berpidato di hadapan jemaah haji atau ‘umrah, katanya antara lain: ‘Dua mud gandum negeri Syam sama dengan segantang kurma’. Kerana pidatonya itu maka orang banya membayar zakat fitrahnya sepert itu. Kata Abu Sa’id, “Tetapi aku tetap saja membayar seperti apa yang telah kulakukan sejak zaman Nabi sampai akhir hayatku.” Lihat Sahih Muslim hadis nombor 938, bab waktu membayar zakat fithrah.

3. Lagi perubahan hukum:

Daripada Ibnu Thawus r.a, daripada bapanya, katanya Abu Shahba’ bertanya kepada Ibnu ‘Abbas r.a, ‘Tahukah anda bahawa talak tiga yang diucapkan sekaligus, pada masa Rasulullah saw dihukumkan hanya jatuh satu kali, begitu pula pada masa pemerintahan Abu Bakar. Kemudian pada masa pemerintahan ‘Umar dinyatakan jatuh tiga kali?’ Jawab ‘Ibnu Abbas r.a: ‘Ya, benar begitu!’ Lihat Sahih Muslim, hadis nombor 1420, bab Talak Tiga.

4. Ada sahabat mudah lupa atau memang tidak tahu:

Daripada Ubaidillah bin Abdullah r.a katanya ‘Umar bin Khattab r.a pernah bertanya kepada Abu Waqid al Laitsi tentang bacaan yang dibaca Rasulullah saw dalam solat idul adha dan idul fitri. Jawab Abu Waqid, ‘Beliau pernah membaca dalam kedua solat eid itu surah Qaf dan surah al Qamar.’ Lihat Sahih Muslim hadis nombor 839, bab surah (ayat) yang dibaca dalam solat eid.

5. Terdapat juga sahabat yang bermulut celupar terhadap Rasulullah saw:

Daripada ‘Aisyah r.a katanya: ‘Abu Bakar datang ke rumahku dan ketika itu di rumahku ada dua orang gadis Ansar sedang menyanyikan lagu yang pernah dinyanyikan orang dalam peperangan Bu’ats. Dan keduanya bukanlah gadis penyanyi yang sesungguhnya. Maka berkata Abu Bakar, ‘Kenapa sampai ada suling setan di rumah Rasulullah saw?’ Hari itu adalah hari eid. Maka bersabda Rasulullah saw, ‘Hai Abu Bakar! Setiap kaum mempunyai hari raya. Dan hari ini adalah hari raya kita.’ Lihat Sahih Muslim hadis nombor 840 bab boleh bergembira ria.

Sekiranya saya menziarahi Rasulullah saw saya tidak akan tergamak mengucapkan kata-kata di atas, seakan menuduh Rasulullah saw jahil, tidak tahu sambil mengaitkan isi rumah baginda dengan syaitan.

Hal-hal di atas mungkin sahaja berlaku kerana tatkala Nabi Muhammad sedang berkhutbah Jumaat pun ada sahabat yang keluar berlari-larian mendapatkan barang dagangan, meninggalkan baginda terkontang-kanting di atas mimbar. Mujur ada dua belas orang sahabat yang setia.

Sekali lagi, adalah lebih baik merujuk ahlul bait dalam persoalan apa pun di dunia hari ini. Sumber seperti qiyas, istihsan (memerhatikan pelbagai hukum yang ada jika terdapat titik persamaan lalu memilih yang paling dekat dengan kebenaran dan keadilan berdasarkan akal dan perasaan), istislah (mendahulukan satu kemaslahatan atas kemaslahatan yang lain) dan ta’awul (iaitu meskipun hukum ditemui dalam al-Quran atau sunnah tetapi jika ada sesuatu keadaan dan pertimbangan, kita dibenarkan berpaling dari apa yang disarankan nas lalu mendahulukan ijtihad berdasarkan pendapat) tidak dapat menandingi kekuatan dan kebenaran merujuk al-Quran, Rasulullah saw dan ahlul bait seperti yang telah saya buktikan di atas.

Secara dasarnya seseorang muslim tidak boleh mencipta hukum syariat sendiri. Allah berfirman pada ayat 1 surah al-Hujurat: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mendahului Allah dan Rasul-Nya (dalam masalah syariat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Akhir sekali, sempena kelahiran Rasulullah saw marilah kita berselawat untuk baginda dan ahli keluarga baginda. Dalil untuk berselawat kepada ahli keluarga baginda ini datang dari Sahih Bukhari sendiri:

Daripada Abu Humaid Assa’idi r.a: Sahabat-sahabat bertanya: ‘Hai Rasulullah! Bagaimanakah caranya kami selawat kepada tuan?’ Rasulullah saw bersabda : ‘Bacalah yang ertinya: ‘Wahai Tuhan! Berilah rahmat atas Muhammad, keluarganya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberikan rahmat atas keluarga Ibrahim. Berilah keberkatan atas Muhammad, keluarganya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberikan keberkatan kepada keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.’ Lihat Sahih Bukhari, hadis nombor 1476, dan 1477, bab Nabi Ibrahim dan Ismail.

1 comment:

Hamba Allah said...

KELEBIHAN MENGENAL AB

Ibn Sinan daripada al-Mufadhdhal bin ‘Umar berkata: Abu Abdullah a.s berkata kepadaku: Sesungguhnya Allah s.w.t adalah Satu, lalu Dia memperkenalkan kepada hamba-Nya akan diri-Nya, kemudian Dia telah menyerahkan kepada mereka urusan-Nya dan mengharuskan mereka syurga-Nya. Sesiapa Allah mahu membersihkan hati-nya (an yutahhira qalba-hu) di kalangan Jin dan manusia, maka Dia memperkenalkan kepadanya wilayah kami (wilayati-na). Dan sesiapa yang Dia mahu memadamkan hatinya, maka Dia menahannya dari mengenali kami.

Kemudian beliau berkata: Wahai Mufadhdhal, demi Allah, sesungguhnya Adam tidak berhak diciptakan Allah dengan tangan-Nya, (ma istaujaba Adam an yakhluqa-hu l-Lahu bi-yadi-hi) dan dihembuskan padanya roh-Nya melainkan dengan wilayah Ali a.s (illa bi-wilayati Ali). Allah tidak bercakap dengan Musa sebarang percakapan melainkan dengan wilayah Ali a.s. Dan Allah tidak memperkuatkan Isa ibn Maryam sebagai bukti (ayatan) bagi alam semesta melainkan dengan khudhu’ kepada Ali a.s, kemudian beliau berkata: Makhluk Allah tidak layak “melihat” Allah melainkan dengan mentaati kami[1].

(dipetik dari, al ikhtisas, syaikh mufid),

syed fadzlie,
jika hendakkan soft copy, sila email saya di morenaire@yahoo.com